Terkini dan sensasi

Sabtu, 31 Mac 2012

Gelap demi Earth Hour

Assalamualaikum...(^ ^)


Dah terang kembali setelah bergelap selama satu jam kerana menyokong program Earth Hour. Seperti tahun lepas Mas memang akan bergelap, hanya ditemani cahaya lilin sahaja. Cuma malam ni lilin takde. Tapi orang sebelah ni pasang lampu luar rumah dia, jadi teranglah ke rumah Mas sikit. Dia lupa ada Earth Hour kot?

Sebelum jam 8.30 sempat goreng Cekodok Bilis dan buat sejag air Teh O, sambil bergelap tu sambil makan cekodok dan hirup air teh panas. Nikmat sungguh, hehehee! 

Sebenarnya bagus kita menyokong Earth Hour ni, sekurang²nya kita tahu menghargai bumi dari pemanasan global yang semakin berleluasa. Lagi pun bukan lama bergelap tu, 1 jam je.

gelap betul


Bersukaria di Family Day

Assalamualaikum...(^ ^)

Hari ni penat sertai Family Day dengan rakan² pejabat di Sekolah Alam Shah Putrajaya.

Family Day ni anjuran Kelab Sukan Kebajikan tempat Mas berkerja. Walaupun hari hujan tapi Family Day berjaya dijalankan dengan lancar, sangat seronok. Pelbagai acara sukaneka diadakan dan boleh dikatakan setiap acara Mas ambil bahagian, anak² pun tak ketinggalan menyertai sukaneka.

Tapi walau banyak sukaneka yang Mas sertai satu je yang berjaya menang, takpelah janji seronok kan? Walaupun penat yang penting Family Day ni memang seronok, di samping dapat bersukaria dapat jugak mengeratkan hubungan silahturrahim antara rakan² kerja. Bila kat pejabat asyik stress dengan kerja je, bila ada Family Day camni dapat kurangkan stress sikit. 

Rasanya tak banyak nak cerita, apa kata kita layan gambar. Inilah yang sempat Mas rakamkan.

acara musical chair kanak²

acara isteri ikat rambut suami

acara cari gula² dalam tepung

acara kemuncak, tarik tali

Jumaat, 30 Mac 2012

Tak bertimbang rasa!

Assalamualaikum...(^ ^)


Sebenarnya memang ramai orang tak sabar bila berada di jalanraya, masing² nak cepat dan pentingkan diri sendiri. Ada sesetengah tu sampai hilang rasa timbang rasa pada orang lain.

Kejadian petang tadi masa Mas balik dari riadah kayuh basikal, kat traffic light ada sebuah kereta driving school berhenti. Dalamnya ada seorang perempuan yang baru belajar memandu, bila lampu dah hijau dia terus jalan kereta perlahan².

Tapi kereta kat belakang dia memang jenis tak sabar, selamba je dia hon banyak kali kat kereta driving school tu. Pastu terus memotong dengan lajunya. Kesian budak perempuan tu, hampir terbabas. Dahlah baru belajar memandu tiba² ada pemandu lain buat camtu, kesian Mas tengok.

Geram betul dengan sikap pemandu camni, tak bertimbang rasa langsung. Dia tak sedar ke sebelum dia cekap memandu dia pun seperti budak perempuan tu belajar memandu dengan driving school jugak. Tapi bila dah cekap, camtu pulak sikap dia. 

Ingatlah, kita kena saling hormat dan timbang rasa antara satu sama lain bila di jalanraya.

Mama ingat tau!

Assalamualaikum...(^ ^)


Perbualan dengan anak² semasa dalam perjalanan ke sekolah boleh memberikan kesan yang mendalam pada kita dan mereka. Masa itulah mereka nak berkongsi apa yang mereka pelajari di sekolah. Ini perbualan Mas dengan Arfan pagi tadi.

Arfan : Mama tahu tak, kalau nak masuk tandas kita kena langkah kaki kiri dulu.

Mas : Oooo ye ke? Mana Arfan tahu ni.

Arfan : Belajar kat sekolahlah. Mama ingat tau, kalau nak masuk tandas langkah kaki kiri. Pastu kalau nak keluar tandas langkah kaki kanan.

Mas : Ok, mama akan ingat. Arfan pun kena ingat jugak.

Arfan : Mestilah ingat, kan Arfan dah belajar.

Tengok, kadang² perkara remeh temeh camni kita selalu lupa kan? Bila sesekali anak² bercerita pada kita apa yang mereka belajar di sekolah baru kita terfikir. Rupanya selama ni kita masuk tandas main langkah je, tak kisah kaki kanan ke kiri.

Sebab itulah, antara kita dan anak² kena ada "give and take". Apa saja kebaikan yang mereka belajar elok dimanfaatkan bersama².

Khamis, 29 Mac 2012

Habiskan nasi tu!

Assalamualaikum...(^ ^)


Kadang² kita geram bila tengok budak² seperti anak atau adik kita makan tak habis. Membazir je, sayang tengok makanan dibuang begitu saja.

Kalau anak² Mas ada saja alasannya kalau makan tak habis. Dah kenyanglah, sakit perutlah, nasi rasa pedaslah dan macam² lagi. Geram bila dengar, kalau dipaksa camne pun memang mereka tak akan habiskan nasi tu.

Jadi Mas gunakan pendekatan yang lebih bijak, bukannya nak mereka percaya tapi cara psikologi camni lebih berkesan. Bila mereka makan tak habis terutamanya nasi, Mas akan cakap camni.

"Kalau kakak dan Arfan makan tak habis, nanti nasi tu menangis tau. Malam nanti dia datang sambil nangis. Pastu nasi tu cakap, makanlah saya! makanlah saya!

Terus laju² mereka habiskan nasi. Siap tanya, betul ke mama? Mas senyum je sambil anggukkan kepala, dalam masa yang sama Mas ingatkan mereka supaya fikirkan orang yang susah nak dapat makanan. Setakat ni mereka faham dan setiap kali makan mereka akan cuba habiskan makanan.

Biasanya cara begini lebih berkesan daripada kita marah anak².

Selera besar

Assalamualaikum...(^ ^)

Lambatnya update! Sibuk kemas bilik bos, biasalah 5S.


Biasanya Mas akan bagi Atikah belanja sekolah RM3.00 setiap hari. Macam biasalah Mas akan suruh dia berjimat sikit, kalau boleh simpan RM1 setiap hari. Biasanya dia akan belanjakan duit untuk beli makanan sahaja, air memang dia bawa bekal air kosong dari rumah. Mas memang tak benarkan dia beli air yang dijual di kantin sekolah tu.

Tapi bila tiap kali Mas tanya..
"Kakak, habis ke duit belanja sekolah hari ni?"

Mesti dia akan jawab, habis. Mula Mas syak macam², apalah yang dia beli kat sekolah tadi. Jadi terus soal satu persatu, apa yang dia belanjakan. Katanya semua duit digunakan untuk beli makanan bukannya beli benda yang bukan².

Jadi Mas pun tanya lagi..
"Apa makanan yang kakak beli sampai habis semua duit RM3."

Jawapan dia..
"Kakak beli nasi lemak RM1 pastu kakak beli roti hotdog 2 bungkus. Sebungkus roti tu RM1, jadi habislah duit kakak semuanya."

Mas pun saja tanya lagi.. 
"Betul ke kakak beli makanan, tak akanlah sampai banyak camtu."

Terus dia jawap dengan rasa geram..
"Betullah mama, kakak kan selera besar!"

Hehehee, nak tergelak pulak! 

Rabu, 28 Mac 2012

Contohi haiwan kecil ini

Assalamualaikum...(^ ^)


Kagum Mas lihat ni!

Walaupun haiwan kecil ini tidak dikurniakan akal fikiran tapi ia mampu berusaha untuk membina tempat tinggal. Walau hanya menggunakan bahan² dari alam semulajadi, ia rajin berusaha siang dan malam tanpa henti selagi sarangnya tak siap. Tak pernah mengeluh dan kenal erti jemu.

Tapi kita manusia bagaimana? 

Susah mengeluh, payah sikit mengeluh. Duduk rumah kecil dan sempit mengeluh, berangan nak rumah banglo. Sepatutnya bersyukur asalkan kita ada tempat berteduh, renung²kan dan sentiasa bersyukur!

Tabiat hisap jari

Assalamualaikum...(^ ^)


Sejak dari umur 2 bulan, Atikah mula hisap ibu jari tangan kirinya. Masa tu Mas takde nak halang, biarkan je. Bagi Mas bagus camtu, tak perlu nak bagi puting plastik. Mas berfikiran yang bila besar nanti dia akan berhenti sendiri tabiat tu.

Tapi ternyata sangkaan Mas tu salah, makin dia membesar makin menjadi tabiat hisap jari tu. Takde langsung tanda² nak berhenti. Setiap kali tidur mesti jari berada di dalam mulut, dan silalah percaya yang tabiat ini berlarutan sehingga sekarang. Dah umur 9 tahun tu, tapi hisap jari tu tetap tak berhenti.

Masa dia kecil bermacam² cara dah Mas lakukan tapi tabiat tu memang susah nak dihentikan. Dah cuba tampal plaster, letak garam, letak cili sos, letak belacan, letak kicap dan bungkus dengan kain pun pernah tapi tetap gagal. Semacam je dia hisap jari tu. Kalau kita halang dia berhentilah sekejap, tapi bila dia duduk sorang² jari mesti dalam mulut.

Salah Mas jugak tak halang dari dia kecil, kalau tak mesti ia tak jadi tabiat. Cuma bila dah besar takdelah sepanjang masa jari tu ada dalam mulut macam masa kecil, dia akan hisap jari bila tidur dan bila duduk tengok TV sorang². Halanglah camne pun, bila kita tak sedar dia buat balik. Geram betul!

Kawan² ada tak cara atau petua camne nak suruh dia berhenti hisap jari, memanglah normal tapi tak nak tabiat tu berlarutan sehingga dia dewasa nanti. Tak manis, dahlah perempuan.

Selasa, 27 Mac 2012

Salah orang nampak, salah sendiri?

Assalamualaikum...(^ ^)


Ramai orang camni kan? Salah orang dia asyik nampak je tapi salah dia sendiri tak pernah disedari, atau pun saja buat² tak sedar. Cemuihhh dengan orang camni!

Tak kisah kalau dia nak tegur kesalahan kita, kalau betul caranya pasti kita boleh terima dengan hati terbuka kan? Tapi bila dia buat salah, melenting bila orang tegur. Asyik cakap "Mana ada aku buat salah, mana ada." Padahal salah dia tu dah terang² depan mata tapi tetap buat tak sedar.

Mas tak cakap yang diri ni sempurna sangat, akui memang ada jugak bersikap begini tapi akan cuba elakkan untuk cari salah silap orang sahaja. Perbaiki diri, muhasabah diri sebab kita ni manusia biasa yang memang tak akan lepas dari melakukan kesilapan.

Tapi yang Mas kesalkan orang yang tak nak sedar langsung, nak betul je sepanjang masa. Tak pernah nak akui salah silap dia, salah orang sebesar zarah pun dia nampak.

Cuba sekali kau lihat kesalahan diri, pasti kau akan rasa apa yang orang lain rasa.

Jom kayuh basikal!

Assalamualaikum...(^ ^)


Lepas buat pemeriksaan kesihatan minggu lepas, rasa seram pulak tengok berat badan sendiri. Jadi terus ambik keputusan untuk senaman sikit dengan kayuh basikal. Mula² cadang nak pergi Taman Botani tapi waktu sewa basikal di situ hanya sampai pukul 4.30 petang, terus terbatal niat. Hampa jugaklah, tak dapat nak berbasikal.

Tapi nasib menyebelahi Mas, kawan beritahu di Bahagian Pendidikan Kesihatan KKM ada sediakan basikal untuk aktiviti berbasikal. Apa lagi terus tempah dan tepat jam 5.30 petang kami ambik basikal dan mulakan kayuhan. Sangat seronok, kayuh kat tepi tasik. Sejam jugak kami ambil masa kayuh pergi dan balik sepanjang tasik. Walaupun penat, tapi badan rasa segar sikit sebab dapat keluarkan peluh.

Selepas ni aktiviti kayuh basikal akan jadi aktiviti wajib setiap minggu, mungkin 2-3 kali seminggu. Bukannya apa badan kita ni kalau tak senaman langsung, rasa berat kan? Bila dapat keluarkan peluh walau hanya bersenam selama 30 minit, itu dah cukup berbaloi. Kalau nak ikutkan takde masa, memang kita selalu bagi alasan. Tapi kena pandai cari masa, demi kesihatan tubuh badan sendiri.

Esok Mas kayuh basikal lagi, selang sehari.


Isnin, 26 Mac 2012

Bukannya mudah!

Assalamualaikum...(^ ^)


Ternyata menulis blog ni bukannya mudah. Mungkin mula² nak menulis nampak mudah sebab keinginan untuk menulis itu selalu ada. Setiap hari, ada saja yang difikirkan untuk dijadikan satu entri di dalam blog. Kadang² semasa memandu pun boleh terdetik sesuatu idea untuk ditulis dalam blog.

Tapi tak tahu kenapa bila dah berhadapan dengan laptop idea tu seperti hilang tanpa jejak, kita tak tahu nak mula dari mana kan? Renung skrin laptop, tangan dah bersedia di keyboard tapi masih tiada apa yang ditaip. Idea yang dah lama difikirkan lenyap begitu sahaja, seolah dibawa angin lalu.

Sebab itulah sebelum menulis kita perlu bersedia, bersedia dengan apa yang nak dicoretkan di dalam blog. Ada tajuk, ada isi, ada penutup dan yang penting ada manfaat dan pengajaran. Sebab para pembaca tidak hanya membaca tajuk sahaja tapi mereka nak dapat sesuatu dari penulisan kita, dan bukannya mudah nak hasilkan penulisan sebegitu.

Ianya jugak tidak mudah apabila apa yang kita tulis disalah ertikan, kita tulis dengan niat nak menyampaikan ilmu tetapi orang anggap kita nak berbangga diri.

Status halal haram

Assalamualaikum...(^ ^)


"Kau jangan minum air coke tu, haram!"
"Jangan makan burger McD, daging dia haram!"

Boleh ke camni, senang² je kita nak tentukan yang satu produk tu haram dengan hanya mendengar orang ramai bercakap. Bukankah semua itu perlukan bukti yang betul² sah dan sahih. Ini melibatkan makanan yang akan menjadi darah daging kita, tak boleh sesuka hati kita nak cakap.

Mas pelik kenapa ada orang senang melabelkan satu produk tu haram, kadang² hanya dengan melihat gambar di internet. Padahal belum tentu gambar tu betul atau tidak. Ini tak, terus pukul canang dan cerita sana-sini yang produk tersebut haram.

Kenapa tak siasat dulu sebelum berkongsi atau bercerita, banyak saluran yang boleh kita hubungi untuk dapatkan bukti yang sah. Seeloknya hubungi JAKIM dulu, tanya pada pegawai di sana. Mereka lebih arif dan tahu produk mana yang halal dan haram, dan bila dah dapat bukti yang sahih baru kita sebarkan cerita tersebut.

Ingat, berhati² kalau nak sebarkan cerita mengenai status halal haram ni.

Ahad, 25 Mac 2012

Cabaran memasak

Assalamualaikum...(^ ^)

Kadang² tengah memasak ni ada jugak dugaan, tanpa dijangka je.

Mas memasak hari ni memang mencabar, pelbagai dugaan datang. Kalau tak sabar dan ikutkan hati memang tak masak dah, beli je kat kedai. Tapi bila fikirkan suami dan anak² terpaksa teruskan jugak.

Cabaran tu takdelah teruk sangat, tapi cabaran camni memang dugaan bagi kita yang tengah memasak. Sebab benda² tersebutlah yang paling penting dalam memasak. Tengah Mas syok memasak tadi tiba² gas habis, memang kacau betullah. Tapi nasib baik husband ada nombor telefon penghantar gas. Cuma berasaplah menunggu orang tu hantar gas ke rumah, ambik masa ½ jam jugak! 

Bila gas sampai baru lega, terus sambung masak seperti biasa. Pastu lagi sekali diduga bila tengah masak nasi tiba² periuk nasi rosak, terus tak boleh on. Terbantut terus nasi Mas yang tengah dimasak, terpaksalah sambung masak kat dapur gas. Memang mencabar betul dugaan memasak hari ni!

Tapi walau ada cabaran, berjaya jugak siapkan masakan untuk suami dan anak². Inilah menu yang penuh cabaran hari ini, Daging Goreng Bercili, Nenas Cincang Berlada dan Ikan Bilis Tumis Lada Kicap. Berselera mereka makan, hehehee!


Sengaja cari glamour dan menunjuk?

Assalamualaikum...(^ ^)


Mas ada terbaca sesuatu kat satu laman sosial, katanya orang yang ada blog sendiri ni sengaja nak cari glamour dan menunjuk. Benar atau tidak kawan², cuba bagi pendapat dan pandangan dari perspektif anda sendiri.

Bagi Mas terpulang pada cara kita berblog, kalau niat kita berblog memang nak menunjuk dan kejar glamour maka niat itu akan menjurus ke arah itu. Tapi jika kita niat nak menyampaikan ilmu yang berguna dan memberi manfaat kepada pembaca, istilah glamour dan menunjuk tak akan wujud.

Kalau blog kita dah dikenali dan orang suka membaca apa yang kita tulis, tak mustahil kita akan glamour. Glamour bukan kerana nak menunjuk, tapi ia adalah satu bonus kerana kita menulis sesuatu yang menarik. Mas tengok ramai blogger yang glamour kerana penulisan mereka.

Jadi istilah cari glamour dan menunjuk tu bergantung pada niat. Kalau betul niat tu maka betullah dan kalau tidak pasti ia akan jadi sebaliknya. Tepuk dada tanya hati kita sendiri!

Sabtu, 24 Mac 2012

Makan malam menggemukkan?

Assalamualaikum...(^ ^)


Mesti ramai dari kita yang berfikiran bahawa makan pada waktu malam boleh menggemukkan, Mas pun ada berfikiran sebegitu. Tapi semalam Mas ada pergi pemeriksaan kesihatan yang dibuat di pejabat, dan Mas diberitahu yang makan pada waktu malam itu tidak menggemukkan. Asalkan kita makan dengan cara yang betul.

Kalau tak makan malam ia akan buat kita tidur dalam keadaan yang lapar, bila bangun keesokkan hari pasti kita tak sabar nak makan kan? Jadi ia akan galakkan kita makan dengan kuantiti yang banyak semasa sarapan. Maklumlah satu malam tak makan, perut memang lapar gila!

Jadi seeloknya pada sebelah malam kita makan, menu yang sesuai ialah satu senduk nasi dengan sayur yang banyak dan seketul ayam atau seekor ikan. Pelbagai jenis mee pun boleh, lebih kurang semangkuk sukatannya. Atau 2 keping roti dan segelas susu. Makanlah pada waktu awal malam antara jam 7-8 malam.

Tapi elakkan makan pada lewat malam. Kalau rasa lapar jugak, minum segelas susu atau makan sebiji buah. Asalkan boleh alas perut sehingga ke sarapan pagi. Pastu jangan makan fast food pulak pada waktu malam, itu memang tak sihat dan tak membantu kita untuk diet secara seimbang.

Selepas ni kita jangan tak makan malam, kita ambil makanan yang seimbang.

Jumaat, 23 Mac 2012

Anak dan handphone

Assalamualaikum...(^ ^)


Baca di blog Namee pasal kisah budak sekolah dan handphone, terus terfikir nak berkongsi kisah anak Mas dengan handphone.

Mas belikan anak sulung handphone seawal umur dia 6 tahun. Awalnya, sebab apa? Sebab masa tu lepas waktu sekolah dia akan tinggal sorang di rumah, bukan setiap hari tapi semasa husband kerja shift siang. Jadi untuk pastikan keadaan dia selamat di rumah, handphone itu adalah keperluan.

Mas cuma isi kredit sebanyak RM5 dan ajar dia cara² nak telefon mama dan babah sahaja. Pastu Mas simpan jugak nombor telefon mak dan ayah saudara dia, ini sebagai alternatif jika dia tak dapat hubungi Mas dan husband.

Sekarang dia dah umur 9 tahun dan masih gunakan handphone yang sama. Alhamdulillah dia tak gunakan kemudahan itu ke arah yang tidak baik, hanya telefon dan sms mama dan babah je. Topup pun Mas yang isikan, tak benarkan dia beli sendiri. Lagi pun Mas tak belikan dia handphone canggih, hanya handphone biasa. Janji boleh sms dan call.  

Bagi Mas boleh belikan handphone untuk anak² jika rasa ia satu keperluan yang penting. Dalam masa yang sama sentiasa pantau anak kita menggunakannya, jangan bagi kebebasan sewenang²nya.

Kisah menyayat hati

Assalamualaikum...(^ ^)


Masa tengah buat carian gambar di google pasal kes culik, Mas ternampak satu gambar ni. Teruk jugak gambarnya, terus Mas klik pada gambar tu untuk baca apakah cerita disebaliknya.

Satu persatu Mas baca kisah tersebut, tak disedari air mata mengalir. Sangat menyayat hati dan rasa simpati sangat dengan nasib gadis di dalam kisah tu. Dirogol, diseksa dengan sangat kejam dan dibunuh. Tak dapat nak bayangkan bagaimana dia menahan kesakitan diseksa sedemikian rupa.

Walaupun kejadian berlaku 20 tahun lepas tapi memang terbukti ada manusia yang sangat kejam. Zaman sekarang pun terbukti ada yang bersikap kejam terhadap kanak² dan wanita. Jadi sentiasalah berhati² dan berwaspada setiap masa kerana orang kejam sebegini dia tak kisah siapa mangsanya.

Kawan² boleh baca kisah menyayat hati tersebut di sini, sedih sangat!

Khamis, 22 Mac 2012

Dah agak dah!

Assalamualaikum...(^ ^)


Hari tu gempar kata hilang, ni gempar kata lari dari rumah pulak.

Sebenarnya mula² dengar pasal kes penculikan ni Mas dah agak, rasa macam penculikan dia senang sangat. Tak akanlah takde langsung orang nak bantu masa dia kena culik. Tapi Mas ada jugak kongsi cerita kes tu atas dasar prihatin dan sekadar beri pendapat.

Remaja ni lupa agaknya yang mereka akan jadi ibu jugak. Bagaimana perasaan mereka kalau anak mereka sendiri buat begitu, tentu akan rasa sedih kan? Ibu marah, ibu berleter dan ibu mengongkong itu adalah perkara normal. Ada sebabnya dia buat begitu, bukannya dia tak sayang!

Arwah mak Mas dulu, lagi garang dan kuat berleter. Kalau ikutkan tak suka dan nak memberontak memang perasaan tu ada, tapi Mas fikir mungkin mak marah dan berleter sebab kita buat salah. Jadi apa salahnya kalau kita perbetulkan dulu kesalahan diri sebelum nak memberontak tak tentu pasal, fikir dulu baik buruknya.

Jadi ingat ibu bapa sebelum nak buat sesuatu, jangan ikutkan hati dan perasaan. Kasihanilah pada mereka yang risau akan keselamatan kita.

Tak akan berputus asa

Assalamualaikum...(^ ^)


Kita tak perlu terlalu cepat berputus asa kan? Kerana tak semua yang kita inginkan akan kita dapat dengan mudah, kadang² ia memerlukan kesabaran dan ketabahan.

Tapi apa yang Mas mahukan memang buatkan Mas makan tak kenyang dan tidur tak lena, kadang² terganggu jugak fikiran. Sampai camtu sekali kan? Bila sampai ke satu tahap Mas macam dah putus asa je. Tapi bila difikirkan kembali Mas rasa sangat bersalah pada Yang Maha Esa, seolah² Mas menidakkan qada dan qadarNya.

Hurmmm, Mas dah terlalu alpa dengan kehendak Mas. Sepatutnya Mas tak boleh terlalu berharap tetapi terus berusaha dan berdoa untuk mendapatkannya. Sekarang Mas pujuk diri, hati dan perasaan supaya tidak terlalu cepat untuk berputus asa. Kena redha dan tabah, rezeki dari Allah itu tak akan pernah putus untuk hambaNya.

Cuma lambat dan cepat untuk Dia berikan dan tunaikan. Usaha, doa dan tawakal adalah jalan terbaik, Insya Allah akan dimakbulkan!

Rabu, 21 Mac 2012

Berbual dan beri nasihat pada anak

Assalamualaikum...(^ ^)


Sebagai ibu yang berkerjaya ni kadang² memang kita takde masa nak berbual dan beri nasihat pada anak². Petang sampai rumah dah pukul 6, pastu sibuk nak masak, nak mandi, nak basuh baju dan macam² lagi. Bila dah masuk pukul 9 malam anak² dah tidur, jadi memang susah nak luangkan masa.

Tapi semua itu jangan dijadikan alasan, sebagai ibu bapa kita kena bijak mencari masa untuk berbual dan beri nasihat pada anak². Jangan asyik sibuk dengan kerja dan urusan peribadi je. 

Mas bagi contoh diri sendiri. Memang sebelah petang dan malam, Mas takde masa nak berbual² dengan mereka. Balik kerja Mas dah sibuk uruskan kerja rumah, lepas maghrib anak² dah pergi mengaji. Pastu balik mengaji Mas luangkan masa tengok homework mereka, pukul 9 lebih camtu mereka dah masuk tidur.

Jadi Mas ambik masa untuk berbual dan beri nasihat pada mereka semasa perjalanan dari rumah ke sekolah. Masa itulah Mas tanya bagaimana pelajaran di sekolah, ada masalah tak di sekolah dan rumah serta macam² lagi. Masa tu jugak Mas beri sedikit nasihat dan pesanan, Mas rasa itulah masa yang sesuai kerana waktu itu hanya kita dengan anak² sahaja. Pastu waktu pagi minda mereka masih segar jadi mereka mudah terima apa yang kita nasihatkan.

Tak susah kan, kita yang kena bijak menguruskan masa sebenarnya.

Nasi Arab di Restoran Saba

Assalamualaikum...(^ ^)


Semalam tengok kat blog member Mas, dia makan Nasi Arab. Terus rasa teringin nak makan. Lagi pun memang dah lama tak makan nasi ni, kali terakhir makan rasanya tahun 2009. Jadi balik kerja semalam terus ajak husband pekena Nasi Arab kat Restoran Saba di Cyberjaya. Sanggup tak makan tengahari semata² nak makan Nasi Arab, nasi dia kan banyak! 

Kami makan set large half Mandi Chicken. Memang banyak nasinya, cukup untuk kami makan 4 beranak. Pastu bila tengok ayam tu macam tak cukup je, tambah pulak half Kabsah Chicken. Makan di sini boleh tahan, nasi dia memang sedap dan lembut. Cuma tak boleh makan selalu, sebab ayamnya tu diperap dengan ajinomoto.

Tapi makan kat sini dah mahal sekarang, kalau dulu mereka hanya caj harga makanan sahaja. Tiada pun 6% goverment tax dan 10% service charge tu. Biasalah, restoran dah makin maju jadi kenalah caj semua tu. Pelanggan pun dah makin ramai.

Bagi belum pernah cuba makan Nasi Arab, pergilah cuba makan kat restoran ni.

Selasa, 20 Mac 2012

Akhirnya kami bertemu

Assalamualaikum...(^ ^)


Jangan cemburu kawan²!

Akhirnya dapat juga Mas bertemu dengan Uncle Gedek yang glamour ni. Ingatkan tak dapat jumpa dah sebab Uncle janji kalau sempat dia datang, tapi tak sangka pulak sebelah petang dalam pukul 4 Uncle telefon kata nak jumpa. Apa lagi terus kami pergi ngeteh kat restoran di Anjung. 

Memang seronok dapat jumpa Uncle, orangnya tak seperti yang kita tengok di blog. Bila dah jumpa depan² dia memang seorang yang berbeza, masih hensem dan tak nampak langsung macam orang dah berusia. Suara lagilah, macam pakwe hensem umur 20an, hehehee! Satu lagi Uncle memang pemurah dengan senyuman dan suka gelak.

Sepanjang jumpa tu kami borak² sambil gelak², macam dah lama kenal. Tak percaya, pergi baca kat blog Uncle tu.

Untuk Uncle Gedek..
Seronok jumpa Uncle, lain kali datang Putrajaya kita jumpa lagi ye!

Pengurusan masa anak²

Assalamualaikum...(^ ^)


Nak uruskan dan besarkan anak ni bukannya mudah, nak pulak kalau mempunyai anak yang ramai. Pelbagai perangai dan karenah kita kena hadapi, tak semua mereka mempunyai sikap dan perangai yang sama kan?

Tapi walau susah mana pun mesti kita nak pengurusan masa anak² teratur, bila dah teratur barulah mereka akan lebih berdisiplin dan patuh pada arahan. Cuma jangan biarkan anak² menguruskan masa mereka sendiri, seeloknya kita bantu agar pengurusan masa itu lebih sistematik dan bermanfaat.

Misalnya kita buatkan jadual rutin harian untuk mereka. Anak² ni dah terbiasa dengan jadual waktu sekolah dan jadual bertugas di sekolah, jadi jika kita buat jadual rutin harian mereka akan senang mengikutnya. Dalam jadual itu masukkan masa untuk ulangkaji, solat, menonton televisyen, riadah, mengaji dan jugak masa untuk masuk tidur. Cara ini lebih bagus dan sistematik, setiap waktu mereka hanya perlu melihat jadual tersebut tanpa kita berpesan hari² pada mereka.

Masa itu emas jadi biarlah ianya diurus dengan lebih berkesan. 

Semua kena main peranan

Assalamualaikum...(^ ^)


Lagi kes anak hilang, kali ini remaja berusia 15 tahun. Kenapa perkara sebegini boleh terjadi lagi? Sedangkan kita baru sahaja dikejutkan dengan berita bunuh dan bakar kanak² berusia 5 tahun tu, belum selesai lagi kes tersebut.

Satu perkara sahaja, semua kena main peranan. Jangan bila perkara dah terjadi kita nak menuding jari pada sesetengah pihak dan salah menyalahi. Tak guna dah semua tu, sepatutnya sebelum ia terjadi kita dah tahu peranan kita untuk menanganinya.

Pertama, peranan ibu bapa. Ini yang paling penting dan utama. Ingat wahai ibu bapa, sekecil dan sebesar mana pun anak kita mereka sentiasa di ambang bahaya bila berada di luar rumah sendirian. Jadi jangan biarkan mereka ke mana² seorang diri, biarlah kita sentiasa menjadi peneman walaupun mereka hanya ingin ke kedai di hadapan rumah. Sekurang²nya kita nampak mereka di depan mata.

Kedua, peranan masyarakat. Bersikaplah jaga tepi kain orang sikit dalam hal sebegini, jangan hanya tahu nak jaga tepi kain dalam hal² gossip je. Kalau nampak sesuatu perkara yang mencurigakan di depan mata cuba ambik tahu, dan bertindak cepat jika perkara itu nampak membahayakan nyawa seseorang. Janganlah hanya pandang sebelah mata sahaja! 

Ketiga, peranan pihak berkuasa. Perlu adakan pemantauan dan rondaan di kawasan yang dikesan banyak jenayah berlaku, terutamanya kawasan atau jalan² yang ramai anak atau remaja sekolah lalu lalang. Lagi bagus kalau ada pengawasan CCTV di kawasan tersebut kerana jika berlaku jenayah ia lebih mudah untuk dikesan.

Semua ada peranan, semua ada tanggungjawab. Jadi sama² kita lakukannya!

Isnin, 19 Mac 2012

Cinta bukannya memiliki

Assalamualaikum...(^ ^)


Cinta bukannya memiliki kerana cinta dan keinginan untuk memiliki adalah tidak sama. Keinginan untuk memiliki menjadikan diri kita seorang yang obsesi, obses terhadap diri yang kita cintai itu sehingga kita tidak boleh menerima seandainya dia tidak menjadi milik kita.

Obsesi itu jugak membuatkan kita berasa benci saat tidak dapat memiliki, waktu itu kita telah lupa bahawa Allah adalah pemilik segalanya. Kerana obses dan perasaan ingin memiliki cinta itu kita tidak dapat menerima qada dan qadar serta segala ketentuan. Kita lupa bahawa cinta itu bukan milik kita tetapi milik Allah. Allah mempunyai hak untuk memberi dan hakNya jugak untuk mengambil kembali apa yang kita miliki kerana itu adalah milikNya.

Ingatlah, cinta itu anugerah dari Allah yang menjadikan kita redha dengan ketentuanNya. Seandainya kita redha kita akan sedar bahawa cinta bukan memiliki tetapi satu anugerah, saat kita sedar pasti keindahan cinta itu dapat dirasai. Kita akan bersyukur seandainya cinta itu menjadi milik kita yang abadi, dan kita akan pasrah seandainya cinta itu tidak dapat dimiliki.

Jadilah insan yang kenal erti cinta, bukannya insan yang obses terhadap cinta!

Tak perlu menuding jari

Assalamualaikum...(^ ^)


Mas bukanlah sempurna sangat nak berkata dan nak beri nasihat pasal hal aurat ni, tapi tak salah kalau berkongsi pendapat mana yang Mas rasa patut. Lagi pun kalau kita nak sampaikan ilmu dan nasihat tak perlu kita seorang cendekiawan atau pun cerdik pandai, janji ilmu yang kita sampaikan memberi kesan di hati pembaca.

Bila sentuh bab aurat tak perlu kita nak menuding jari pada sesiapa, lelaki cakap perempuan tak pandai jaga aurat dan perempuan pun begitu cakap pada lelaki. Yang penting pastikan yang kita menjaga aurat dengan sempurna baru kita boleh tegur orang lain.

Cara nak menegur tu pulak biar betul, janganlah sampai mengaibkan orang. Kalau boleh tegurlah cara bersemuka, itu lebih bagus. Janganlah tegur di khalayak ramai sehingga menjatuhkan air muka seseorang. Insya Allah, kalau betul dengan caranya pasti orang itu akan tergerak hati untuk berubah.

Sama jugak kita mengajar anak menutup aurat, tak bolehlah kita paksa. Kita kena pandai menangi hati dia untuk belajar menutup aurat, terangkan pada dia kenapa perlu menutup aurat dan apa kelebihannya. Hati anak ni putih bersih, dia pasti ikut. Kalau apa yang kita corakkan tu betul, maka baiklah yang kita akan dapat.

Sama² kita berubah ke arah kebaikan, amin!

Ahad, 18 Mac 2012

Manfaat dari blog

Assalamualaikum...(^ ^)


Mas tak pernah sangka dengan berblog macam² yang boleh dapat, bukan sekadar tulis kisah peribadi sahaja tapi kalau entri yang ditulis itu berilmu pasti ia dapat memberi manfaat kepada pembaca. Bila penulisan kita hidup di hati pembaca dari situ kita akan dapat sesuatu dari blog, betul tak?

Tapi kena ingat, menulis biarlah ikhlas dari hati dan dengan niat nak menyampaikan ilmu. Kalau hanya niat nak cari publisiti dan terkenal dengan cara yang singkat, lupakanlah! Tak guna kita tulis blog kalau hanya nak mengaibkan orang, menjatuhkan orang dan mencaci orang. Semua itu tak akan mendatangkan manfaat pada kita dan blog.

Contohilah blogger hebat ini, 6 tahun dia menulis blog. Akhirnya segala usaha yang dicurahkan kepada blog mendapat pengiktirafan. Mas memang jadikan dia idola dan harap suatu masa nanti Mas boleh jadi macam dia. Walaupun hanya mengenali melalui blog tapi setiap penulisan dia memberi kesan pada Mas, tulisan yang ringkas tapi padat dengan nasihat dan pengajaran.

Moga kita dapat manfaat dari blog dan dikenali kerana penulisan yang berilmu!

Sabtu, 17 Mac 2012

Memasak ni mudah

Assalamualaikum...(^ ^)

Hari ini Mas cuba masak menu baru lagi, memang tak pernah masak pun sebelum ni. Macam biasalah rujukan Mas kalau nak masak ialah kakak ataupun blog DTS.

Semalam masa pergi beli bahan basah kat pasar malam Putrajaya ternampak ikan tongkol, teringin pulak nak masak Gulai Ikan Tongkol seperti yang makan dengan nasi dagang tu. Terus beli seekor ikan tongkol sederhana dengan harga RM5, murah betul. Ikan tongkol Mas beli ni jenis lembut.

Sebenarnya memasak ni mudah je, yang penting kita berani mencuba. Kalau tak jadi jangan putus asa, lain kali cuba lagi. Alhamdulillah, Gulai Ikan Tongkol yang Mas cuba masak menjadi jugak. Husband pun puji sedap. Katanya lepas ni bolehlah masak untuk nasi dagang pulak, hehehee!

Jom tengok hasilnya, Gulai Ikan Tongkol. Macam biasa ada menu lain seperti Sambal Sotong, Tumis Air Bayam dan ulam timun muda, burppp kenyang!



Duduk antara dua sujud

Assalamualaikum...(^ ^)


Dah lama Mas terfikir pasal pekara ni, jadi Mas nak berkongsi untuk manfaat kita bersama. Mungkin anda seperti Mas yang tak tahu dan tak sedar tentang perkara ini, sebab selalu tengok orang duduk antara dua sujud dengan cara yang berlainan. Tapi Mas pulak duduk cara seperti dalam gambar, jadi terfikir dan terus terfikir nak buat sedikit research mengenai duduk antara dua sujud ni.

Cara duduk ini adalah perkara sunat dalam solat iaitu sunat Hai'ah, mereka yang tertinggal sunat Hai'ah tidak perlu sujud sahwi seperti mereka yang tertinggal sunat Ab'adh. Tetapi walaupun sunat, bagus kalau kita ikut kan? Kerana dengan mengikutinya solat kita sentiasa tertib dan terpelihara.

Info yang Mas dapat dari sini.
Duduk antara dua sujud secara ifitrasi maknanya : Melipat kaki kiri, renggangkan dan duduk di atasnya, tegakkan telapak kaki kanan dan hujung jarinya menghadap kiblat. 

Daripada Aisyah, katanya..
"Nabi SAW menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan telapak kanannya." (Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Umar, katanya..
"Di antara sunat shalat ialah menegakkan telapak kaki kanan dan menghadapkan jari-jemari ke arah kiblat, serta duduk di atas kaki kiri." (Nasa'i)

Daripada Abu Humeid, menerangkan shalat Rasulullah SAW..
"Kemudian dilipatkan kaki kiri dan di duduknya, kemudian ia bangkit sehingga setiap tulang kembali ke tempatnya, dan selepas itu ia jatuh ke lantai melakukan sujud." (Ahmad, Sunan Abu Daud & Tirmidzi)

Jumaat, 16 Mac 2012

Malu tu biar bertempat

Assalamualaikum...(^ ^)


Bak kata perpatah... 
"Malu bertanya sesat jalan"

Semua orang ada sifat malu, baik lelaki mahupun wanita. Sifat malu ni adalah sifat semulajadi yg ada dalam diri kita. Rasanya kalau semua orang takde rasa malu, porak perandalah dunia. Tapi malu tu biarlah bertempat, malu pada keadaan atau perkara sepatutnya. Ini tidak, buat kejahatan tak malu dengan Allah tapi bila kena tangkap tahu pulak malu. Tutup muka bagai supaya orang tak nampak.

Pastu satu lagi, malu bertanya. Buat apa nak malu, bukan salah pun kita bertanya kan? Kalau betul kita tak tahu lebih baik bertanya daripada kita sesat jalan, dan lagi malu kalau kita salah buat perkara tu sebab tak tahu dan malas bertanya.

Cuma segelintir orang memang tak tahu malu, sanggup buat perkara yang mengaibkan demi nak dapat perhatian. Hilang sudah rasa malu, sepatutnya dia rasa malu dengan Allah akibat perbuatannya.

Amboi mahalnya!

Assalamualaikum...(^ ^)


Amah buat satu kerja gaji RM700.
Indonesia mula melatih pembantu rumah utnuk dihantar ke Malaysia yang hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah dengan gaji  minimum RM700 sebulan. 

Berdasarkan peraturan itu, jika seorang pembantu rumah diambil untuk menjadi tukang masak, dia akan hanya menjalankan tugas memasak serta tugas berkaitan tukang masak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengasuh bayi. (petikan dari Berita Harian)

Mahalnya!

Kalau pembantu rumah tu lakukan 4 tugas seperti memasak, basuh kain, jaga anak dan kemas rumah maknanya kita kena bayar RM2800. Memang lumayan, gaji Mas sebulan pun tak banyak camni. Kalau camtu lebih berbaloi kerja sebagai pembantu rumah kan?

Jadi selepas ni kena fikir 10 kali dulu sebelum ambil pembantu rumah, tak pun hanya ambil untuk mengasuh anak kita sahaja. Semua kerja lain kita buat sendiri, itu lebih bagus!

Kalau Mas memang tak mampu, baik urus kerja rumah sendiri. Lebih selesa!

Khamis, 15 Mac 2012

Kalau nak naik belon panas

Assalamualaikum...(^ ^)

pengalaman kami naik belon panas tahun 2011


Sekarang ni fiesta belon panas sedang hangat menyerang di Putrajaya dan pastinya ramai yang tidak mahu lepaskan peluang untuk merasa pengalaman menaiki belon panas tu. Walaupun hanya naik sekejap je selama 10 minit tapi ia adalah satu pengalaman yang sangat seronok.

Sedikit makluman.
Hanya 2 sesi saja yang dibuka, sesi pagi dari jam 8 pagi hingga 11 pagi dan sesi petang dari jam 6 petang hingga 9 malam. Kaunter tiket sesi pagi akan dibuka pada jam 7.30 pagi dan sesi petang pada jam 5.30 petang, hanya 300 tiket sahaja yang dijual bagi setiap sesi.

Harga tiket yang dijual adalah RM10 seorang dan seorang hanya boleh membeli 4 tiket sahaja. Tiket yang dibeli pada sesi pagi tidak boleh digunakan pada sesi petang, mesti digunakan untuk sesi pagi sahaja. Untuk naik belon panas bergantung pada keadaan cuaca, kalau cuaca tidak mengizinkan untuk naik mereka akan bayar balik duit tiket yang dibeli.


Tapi bukan mudah nak merasa pengalaman itu, perlu banyak bersabar dan punya semangat yang cekal. Di sini Mas sertakan sedikit tips yang perlu dilakukan kalau betul² ingin merasa pengalaman itu, semua ini adalah berdasarkan pengalaman sendiri.

Jangan datang on time, misalnya sesi petang kaunter tiket akan dibuka pada jam 5.30 petang. Janganlah tepat pukul 5.30 baru nak datang, memang tak merasalah nak naik sebab waktu itu orang dah beratur hampir 2 km. Datanglah awal sikit dalam pukul 4.00 petang ke, barulah ada peluang.

Satu lagi yang penting kalau nak naik lebih dari 4 orang, jangan seorang je yang beratur. Sebab seorang hanya boleh beli 4 tiket sahaja, jadi beraturlah 2 atau 3 orang.

Selamat mencuba untuk kawan² yang ingin cuba naik, Mas teringin nak cuba naik lagi tahun ni. Tapi tengok mood jugaklah, kalau rajin!

Tangani anak berbohong

Assalamualaikum...(^ ^)


Sesetengah anak² kecil memang suka berbohong, sama ada mereka berbohong untuk melepaskan diri atau kerana takut dimarahi. Sebagai ibu bapa kita perlu bijak menangani pemasalahan ni, jangan terlalu percaya kata² anak atau kita terus memarahi mereka kerana berbohong. Tapi cuba kita selidik dulu sama ada dia bercakap benar atau berbohong.

Sebagai contoh anak² Mas, ada sesetengah perkara Mas tahu mereka berbohong. Tapi Mas tak akan terus marah pada mereka, Mas akan cuba siasat sebab apa mereka berbohong. Tapi kebiasaannya mereka berbohong kerana takut dimarahi, mereka fikir mamanya tak tahu.

Cara menanganinya, mula² Mas akan tanya berulangkali. Betul atau tidak dia buat perkara tu. Kalau mereka masih tak mengaku, Mas akan cakap begini..
"Takpe kakak bohong mama, memang mama tak nampak apa yang kakak buat. Tapi kakak kena ingat Allah sentiasa nampak apa sahaja yang kita buat, tak kiralah kita buat perkara tu sorok²."

Bila Mas dah cakap camtu baru mereka nak mengaku, jadi selepas tu Mas akan terangkan kenapa kita tak boleh berbohong dan apa yang kita dapat kalau berbohong. Baru mereka sedar dan berjanji tak akan buat lagi, senang kan? Tak perlulah kita nak marah dan pukul mereka.

Rabu, 14 Mac 2012

Wordless Wednesday [58]

Assalamualaikum...(^ ^)

Dengar kata ikan² ni dijampi supaya mereka jinak dan tak gigit orang. Nasib baik ikan² tu tak jampi Mas jadi ikan duyung, hehehee!

Kelah Sanctuary di Sabah

Biar buta mata jangan buta hati

Assalamualaikum...(^ ^)


Orang buta biasanya hati mereka tak buta!

Tapi orang yang celik dan boleh melihat kadang² buta hati, tak boleh nak melihat sesuatu dari aspek yang betul. Asyik semuanya salah di mata mereka.

Kejadian berlaku pada Mas hari Isnin lepas, secara tiba² enjin kereta mati semasa berhenti di lampu isyarat. Mas pun tak pasti masalah apa. Panik jugaklah masa tu, cuba hidupkan enjin tapi tak boleh. Pastu masa tengah panik, orang belakang pulak boleh tekan hon banyak kali. Padahal masa tu Mas dah keluar dari kereta dan angkat tangan minta di ke lorong sebelah.

Tapi mungkin disebabkan dia buta hati kot, tetap jugak nak tekan hon sekuat hati. Sepatutnya dia boleh fikir, tak akanlah orang nak berhentikan kereta mereka di tengah jalan kalau takde masalah kan? Apa salahnya kalau dia keluar dari kereta dan tolong bantu, bukannya tekan hon sekuat hati.

Memang beginilah mentaliti masyarakat kita, mata tak buta tapi buta hati. Cuba letakkan situasi itu berlaku pada dia sendiri, bagaimana dia rasa. Jadi peringatan pada kita semua, kalau melihat sesuatu berlaku di depan mata pandanglah dengan mata hati. Tengok dulu apa yang sebenarnya berlaku, jangan tau nak marah je.

Selasa, 13 Mac 2012

Hot Air Balloon kembali lagi

Assalamualaikum...(^ ^)

gambar koleksi peribadi


Sekali lagi Putrajaya akan dibanjiri orang ramai dari serata tempat bagi menyaksikan pelbagai bentuk dan rupa belon panas. Tak kurang yang ingin merasai pengalaman menaiki belon tersebut. Ditambah pulak musim cuti sekolah, lagi ramai orang.

Setiap tahun memang Mas tak akan ketinggalan menyaksikan fiesta ini, tapi rasanya tahun ni macam tak dapat pergi je. 15hb dan 16hb tu waktu kerja, 17hb pulak husband Mas kerja dan 18hb pulak ada event Advertlets dari pagi sampai tengahari. Kalau ada kesempatan pun sebelah petanglah Mas cuba luangkan masa ke sana.

Masih ingat lagi tahun lepas, Mas sanggup berbaris seawal jam 6 pagi semata² nak merasa pengalaman naik belon panas ni. Memang satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak boleh dilupakan. Walaupun terpaksa berasak² dan hanya 10 minit je naik belon tu, ia tetap satu kenangan yang terindah. Kawan² boleh tengok di entri ini pengalaman tersebut.

Pesta Belon Panas kali ini akan diadakan pada 15-18 Mac 2012 bertempat di Monumen Alaf Baru Putrajaya. Untuk maklumat lanjut boleh ke website mereka iaitu www.myballoonfiesta.com.

Ini sedikit gambar kenangan pengalaman naik belon panas tahun lepas.



Hidup perlu perancangan

Assalamualaikum...(^ ^)


Perjalanan dalam kehidupan tidak seharusnya berpandukan dengan apa yang terbentang di depan mata sahaja, ia perlukan perancangan supaya kita dapat menempuhi kehidupan ini dengan lebih bermakna dan sempurna. Tapi biarlah apa yang dirancang itu mengikut kemampuan diri sendiri supaya ia lebih mudah untuk dilaksanakan. 

Setiap perancangan itu harus diisi dengan matlamat, misi serta visi yang disenaraikan dengan lengkap. Dengan cara ini perancangan itu akan menjadi panduan dalam menentukan hala tuju kehidupan, ia mesti meliputi prestasi dalam menjaga kualiti kerja dan dalam kehidupan peribadi.

Misalnya sebagai seorang pelajar, mesti kita ada matlamat dan perancangan apa yang ingin dilakukan bila dah tamat belajar nanti. Mesti kita nak kerja yang bagus bersesuaian dengan kelulusan kita, tak akan hanya nak berserah pada nasib. Ikutlah nak dapat kerja apa pun, mesti takde orang nak kehidupan camtu kan?

Matlamat dan perancangan jugak mesti teratur, jangan hanya rancang tapi tidak berusaha untuk merealisasikannya. Camne nak berjaya kalau hanya harap kejayaan datang sendiri di depan mata. Jika ada matlamat yang belum tercapai kita boleh menilai semula, perbaiki apa kelemahannya dan jika perlu kita rancang sesuatu yang lain. Barulah perancangan hidup tu berjaya!

Hidup ini jangan hanya berserah dan menyerah, usaha dan rancang dengan teratur. Jika gagal, jangan putus asa kerana kita hanya mampu merancang tapi Allah yang tentukan segalanya.

Biar mereka menangis

Assalamualaikum...(^ ^)


Pertama nak ucapkan takziah pada keluarga arwah adik Nurul Nadirah Abdullah, semoga ibunya tabah menghadapi dugaan yang besar ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Dunia sekarang semakin menakutkan dan manusia jugak semakin kejam. Kalau kes rogol dah takde dah istilah rogol dan tinggalkan di tepi jalan, dah jadi kebiasaan rogol, bunuh dan bakar. Yang paling kejam sekali apabila perkara ini dilakukan terhadap kanak² yang masih kecil. Ya Allah, minta dijauhkan perkara sebegini terjadi kepada anak² kita.

Jadi sebagai seorang ibu Mas nak berpesan pada ibu² di luar sana, sentiasa berwaspada dan mengawasi setiap gerak geri anak kita. Tak kiralah di kawasan berhampiran dengan rumah sekali pun, sebab kita tak tahu waktu bila bahaya itu nak datang. Jangan ingat kawasan rumah kita dah cukup selamat untuk anak² bermain bersendirian.

Satu perkara yang paling penting, jangan benarkan anak kita ke kedai atau ke mana saja berseorangan. Tak kisahlah kedai tu dekat dengan rumah ke, kalau orang dah berniat jahat dia tak kira di mana saja. Berhampiran dengan kita pun dia boleh buat.

Pantau, pantau dan pantau! Jangan selalu ikut kehendak anak, mereka nak kemana saja jangan biarkan. Biar mereka menangis meraung, yang penting kita sentiasa pastikan keselamatan mereka.

Isnin, 12 Mac 2012

Mata, hati, jiwa

Assalamualaikum...(^ ^)


Mata melihat segalanya, sama ada perkara yang baik atau buruk dan halal atau haram.

Hati menafsir apa yang dilihat oleh mata, perlu atau tidak ia diikuti dan dilakukan.

Jiwa perlu selari dengan hati. Jika jiwa tenang, hati dapat membuat keputusan dengan tepat dan sempurna. Tapi jika hati berkecamuk dikhuatiri keputusan yang dibuat berlandasan nafsu semata² dan terlalu mengikut perasaan.

Sebab itu kita perlu memandang dari mata hati dan jiwa, bukan dari pandangan mata kasar sahaja.

Rajuk wanita

Assalamualaikum...(^ ^)


Rajuk dan wanita memang tidak dapat dipisahkan, betul tak wanita? Kalau tak merajuk tu tak sah rasanya kan? Kadang² disebabkan perkara kecil dan remeh pun nak merajuk, cakap ni macam terkena kat batang hidung sendiri je.

Rajuk wanita ni ada 2 cara, satu rajuk yang mengada² dan satu lagi sebab hendak kan perhatian. Biasanya yang mengada² ni jarang lelaki nak suka dan nak pujuk pun malas. Mana taknya tak tolong bukakan pintu kereta pun nak merajuk, memang mengada sungguh tu.

Rajuk yang nak dapatkan perhatian pulak biasanya wanita memang nak pasangannya peka terhadap dirinya. Misalnya seorang isteri dah penat masak untuk suami tapi masakannya tak dipuji sedap ke tidak, merajuklah dia kan? Seolah² suami tak hargai penat lelah dia memasak, jadi dengan cara merajuk pasti suaminya akan beri perhatian dan sedar rajuk isterinya itu sebab apa. 

Tapi rajuk tu janganlah lama sangat, nanti pasangan bosan pulak. Kerap sangat merajuk pun tak boleh, muak pulak pasangan nak pujuk. 

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com