Terkini dan sensasi

Jumaat, 27 April 2012

Bila marah

Assalamualaikum...(^ ^)


Kita ni bila tengah marah kadang² kita tak sedar apa yang dicakap, biasanya kita akan terlepas cakap dan cakap ikut sedap mulut je. Tanpa disedari percakapan itu telah mengaibkan pasangan sendiri, maklumlah masa tu tengah geram dan marah pada pasangan.

Ingatlah, jaga sikit percakapan bila tengah marah. Jangan mudah nak lepaskan pada kawan². Kalau kawan boleh dipercayai takpelah, buatnya yang jenis mulut longkang. Habis dijajanya apa yang kita cakap pada semua orang, tak ke naya?

Pastu yang mendengar tu janganlah api²kan pulak bila kawan kita tercerita sesuatu yang mengaibkan tentang pasangannya. Cuba tenangkan dia dan minta dia kawal kemarahan, barulah tak terjadi perkara yang tak diingini.

Sebab itulah orang selalu cakap, bila marah sebaiknya kita diam. Diam itu boleh membantu meredakan kemarahan, sebab kalau kita lagi bising lagilah membuak kemarahan tu.

Rabu, 25 April 2012

Wordless Wednesday [60]

Assalamualaikum...(^ ^)

Dah mula makan kismis.

Biasanya orang makan 10 biji pagi dan 10 biji malam, tapi kalau Mas banyak ni boleh habis 3 hari je.

Mas lagi suka kismis besar camni, rasa dia masam². Sedap!


Selasa, 24 April 2012

Selera

Assalamualaikum...(^ ^)


Pagi² ini je yang selera untuk dijamah. Kalau beli makanan lain mesti makan sesuap, pastu selebihnya jadi teman tong sampah. Sedih sangat, memang membazir betul!

Tengahari memang paksa diri makan nasi walaupun hanya dua tiga suap, kalau tak mesti badan lemah sangat. Itu pun kadang² habis nasinya, kadang² tak. Jadi Mas lebihkan pengambilan sayur, ulam-ulaman, ikan dan buah-buahan.

Malam pulak memang tak makan yang berat, hanya ambil nestum secawan dan buah-buahan. Bukannya apa sebab pukul 9 malam mata dah mula terpejam, ngantuk derrr! Kalau dulu, berjaga sampai pukul 1 pagi pun sanggup.

Isnin, 23 April 2012

Simptom malas update

Assalamualaikum...(^ ^)

syoknya kalau rajin update macam dulu, kat mana² je


Kalau dulu Mas pelik, kenapalah blogger² yang mengandung mesti malas nak update blog. Tengok blog rasa nak muntahlah, rasa peninglah, rasa loyalah dan rasa malas nak menaip. Terfikir jugak kenapa sampai jadi camtu sekali.

Tapi bila dah mengalami sendiri, barulah Mas tahu, memang benar simptom tu wujud. Bukan dibuat² atau dipaksa², tengok blog memang rasa pening, loya dan membosankan. Nak blogwalking pun sama, malas jugak! Tapi kalau tiba² terblogwalking tu maknanya tiba² rajin sekejap.

Sekarang memang dah terbukti, update pun ikut sesuka hati je. Kadang² tu dah menjelang petang baru ada entri, pastu satu hari memang satu entri dan entri pun pendek sangat. Nak buat camne, itu pun paksa diri menaip sambil kepala berpinar².

Maaf sangat pembaca massaari.com!

Ahad, 22 April 2012

Asyik berkepit je!

Assalamualaikum...(^ ^)


Sejak dah tahu nak dapat adik ni, camnilah perangai Arfan. Pantang Mas duduk rilek, mesti nak berkepit je. Pastu dok rapat²kan muka dia dengan dada kita. Bila Mas tanya, apasal camni? Terus dia cakap Arfan suka dok kat mama, hehehee!

Kalau keluar ke mana² pun sama, nak berkepit dengan mama. Duduk kat kedai makan pun nak duduk sebelah Mas. Biasanya tak mahu, asyik nak duduk dengan babahnya je.

Tapi takpelah, Mas layankan je. Lagi pun tak lama lagi tak boleh nak manja sangat dah, sebab dah nak ada adik. Jadi sekarang ni kasi peluang kat dia habiskan saat² akhir sebagai anak bongsu!

Sabtu, 21 April 2012

Masterchef hari ini

Assalamualaikum...(^ ^)

Dah cuba nak masak tadi, tapi tak boleh. Bau ikan pun dah rasa nak muntah!

Nasib baik husband masih bercuti, dia yang jadi masterchef hari ni. Mas cuma sediakan bahan², urusan memasak kerja dia. Menu hari ni cuma Sambal Ikan Siakap dan ulam-ulaman. Walaupun ringkas tapi sekali sekala rasa masakan husband, sedap jugak. Licin nasi seperiuk!

Terima kasih abang masak hari ni.


Jumaat, 20 April 2012

Berhati² bila nak makan

Assalamualaikum...(^ ^)


Sekarang ni memang berhati² kalau nak makan apa². Kalau nak beli tu fikir 2-3 kali dulu, boleh ke makanan tu beri kesan sampingan. Sebab dah 2 kali terkena! Tapi sejak mengandung, sebelum ni tak pernah kalau makan apa pun.

Kes pertama, makan kerang. Sebelum ni makanlah banyak mana pun, takde apa masalah. Tapi hari Isnin lepas teringin sangat nak makan, jadi makan sikit buat lepas kempunan. Tapi dia punya penangan, terus kena cirit birit yang sangat teruk. Sampai selang ½ jam pergi ke tandas, memang badan jadi lemah sangat. Rasanya itulah cirit birit yang paling teruk Mas kena, memang serik dah nak makan kerang. Dah janji pada diri sendiri tak akan makan dah sampai bila², huhuhuu!

Kes kedua, semalam nampak pisang tanduk goreng, terus teringin nak makan. Belilah 2 keping, buat lepas rasa teringin. Pastu lepas ½ jam tiba² kena tuju angin, perut jadi keras dan sakit kat sebelah rusuk kiri. Bukan sakit sikit², sakit yang teramat sangat. Dari pagi sampai nak balik kerja memang tak senang duduk, letak minyak pun tak hilang sakitnya. Balik rumah, apa lagi meraung depan husband. Sakit rasa macam nak mati je! 

Memang serik bila kena camni sampai 2 kali, rasa nak putus nyawa!

Khamis, 19 April 2012

2 months

Assalamualaikum...(^ ^)

Maaf kawan², otak Mas ni memang tepu gila. Takde idea langsung nak update apa dalam blog, jadi terpaksalah cerita pasal kandungan Mas. Tak kisah kan, halal kan? 

Hari ni genap dah usia kandungan Mas 2 bulan, cepat je. Hari² dok membelek perut ni, tak sabar nak tunggu dia membesar. Ngek kan Mas ni, macam mengandung sulung. Padahal masa mengandung Atikah dan Arfan dulu tak kisah pun, sedar² perut dah besar.

Tapi kali ni berbeza, mungkin sebab dah lama tak mengandung kot? Itu yang jadi terjakun, anak² pun tiap² hari tanya.

"Baby dah besar mana?" 
"Baby dah boleh gerak ke belum?" 
"Bila kitaorang boleh tengok baby dalam perut mama?" 
Hehehee, macam² lagilah pertanyaannya.

Sedikit info apabila kandungan berusia 2 bulan.

Tahniah, embrio anda sekarang bergelar fetus, yang bermakna "zuriat". Uterus anda meregang untuk memuatkan penghuni baru ini, yang sekarang berukuran sekitar 0.6 inci / 1.6 sentimeter. Banyak perubahan berlaku pada minggu ini, ekor embrio telah hilang dan semua organ, otot dan saraf mula berfungsi. Sekarang tangan boleh dibengkokkan di pergelangannya, dan jari kaki yang berselaput dahulu beransur hilang. Kelopak mata mula menutupkan mata.

inilah rupa baby bila dah 2 bulan

Rabu, 18 April 2012

Emping beras

Assalamualaikum...(^ ^)


Pernah makan emping beras tak?

Sedap tau, tumbuk pastu gaul dengan gula kabung dan kelapa parut. Kalau Mas buat lagi suka kisar bagi hancur sikit emping tu, pastu masukkan gula kabung dan kelapa parut kemudian kisar sekali lagi. Dah siap kisar masukkan dalam loyang kemudian tekan² bagi padat dan boleh makan.

Kalau mengadap emping tumbuk ni memang susah nak berhenti makan, satu loyang boleh habis Mas sorang je. Dulu kalau arwah mak ada, mesti dia selalu buat. Tapi cara tradisional, tumbuk guna lesung kaki. Lagi sedap rasa empingnya.

Tapi sekarang dah lama tak makan, kalau teringin kena balik kampung dan beli kat Pekan Sehari Temerloh. Kat area Selangor ni memang tak pernah jumpa pun orang jual.

Hurmm teringin pulak nak makan, nampaknya kena balik Temerloh cari. 

Selasa, 17 April 2012

7 minggu 5 hari

Assalamualaikum...(^ ^)


Begini ceritanya, hari ni Mas MC sebab kena cirit birit. Dari jam 2 pagi sampai 6 pagi tak henti berulang ke tandas, badan rasa lemah sangat sebab tak tidur beberapa jam. Pastu dari pukul 8 pagi sampai 1 tengahari tidur je sebab badan tak larat sangat, pukul 2 terus husband ajak pergi klinik.

Terlanjur dah pergi klinik, husband cakap lebih baik buat terus buku rekod mengandung. Lagi pun Mas tak sihat, lebih elok check up terus. Proses check up yang dilalui dari jam 2.30 hingga ke 4.30 petang. Lama jugak sebab banyak prosedur yang perlu dilalui, ambil darah, check urine dan jumpa doktor.

Sempat jugaklah doktor scan tadi tapi belum nampak bentuk baby lagi, hanya nampak kantung saja. Bunyi jantung pun belum dapat dengar lagi, doktor cakap usia kandungan Mas dah 7 minggu 5 hari. Tak sangka betul, ingatkan baru 4-5 minggu je. Check up akan datang pada 18/5 untuk scan lagi sekali dan minum air gula.

Risau jugak nak minum air gula, boleh ke tekak ni terima. Sebab masa mengandung Atikah dan Arfan dulu memang tak pernah minum pun. Tapi sebab umur dah lebih 30 tahun jadi doktor kata kena minum jugak untuk check kencing manis. 

Lepas ni bermulalah rutin ke klinik setiap bulan.

Isnin, 16 April 2012

Alahan yang sangat mencabar

Assalamualaikum...(^ ^)


Tak sangka pulak boleh kena alahan sebegini. Padahal masa mengandungkan Atikah dan Arfan dulu takde pun camni, memang berbeza betul hamil kali ni.

Alahannya, tak boleh masuk tandas langsung. Bila masuk terus bau semacam, padahal tandas tu tak busuk pun. Pastu terus tekak rasa loya dan apa lagi muntah teruslah. Hari ni 3 kali masuk tandas kat pejabat, 3 kalilah muntah. Padahal dah tutup hidung sebab tak nak terbau apa².

Bila balik rumah cuba sembur pewangi dulu sebelum masuk tandas, ingatkan boleh tahan sebab dah wangi kan? Tapi camtu jugak, masuk je automatik muntah. Memang rasa tak selesa sangat, susahlah nak masuk tandas lepas ni.

Memang mencabar sungguh alahan kali ni, harap² tak lamalah. Tapi bila cakap dengan husband boleh pulak dia gelak, siap cakap nanti abang belikan pengepit hidung. Jahat kan!

Terpaksa buang shoutbox

Assalamualaikum...(^ ^)

Maaflah pada pengunjung blog Mas kerana blog ini dah takde shoutbox, bukannya saja² buang tapi terpaksa buang oleh sebab tertentu.

Mas guna shoutbox dari busuk.org. Tapi pagi ni entah kenapa bila Mas cuba buka blog, terus tak boleh. Dia terus pergi ke page seperti tertera di bawah, Mas pun tak tahu kenapa. Jadi terus Mas buang shoutbox tu sebab mungkin berpunca dari situ.

Betul sangkaan Mas, bila buang terus boleh buka blog. Mungkin ada masalah dengan shoutbox busuk.org ni kot? Sebab bila Mas cuba buka blog² lain yang ada guna shoutbox ni, terus jadi perkara yang sama jugak. Jadi buat masa ni Mas tak pakai shoutbox. 


Ahad, 15 April 2012

Bila alahan bermula

Assalamualaikum...(^ ^)


Kalau ikut mula² tahu mengandung, alahan tu memang takde. Setakat loya² di pagi hari dan makan pun macam biasa jugak, sentiasa berselera. Lega sikit rasanya sebab kalau ada alahan memang badan tak mampu menanggungnya.

Tapi hari ni alahan dah bermula, dari awal pagi badan dah rasa tak bermaya. Kepala pening, tekak rasa loya dan perut rasa mual sangat. Cuba makan tosei yang husband beli sebab teringin sangat tapi lepas sejam makan habis keluar semuanya, tekak kembali rasa mual.

Pastu cuba jugak makan roti untuk alas kembali perut tapi langsung takde selera, akhirnya tidur je yang hanya mampu dilakukan. Sekarang dah rasa ok sikit lepas dapat tidur selama ½ jam.

Camtulah Mas bila alahan bermula, cuba kuatkan badan dan semangat tapi alahan mengatasi segalanya. Nak buat camne kan, dah lama tak lalui saat² ini. Kena banyak bersabar

Sabtu, 14 April 2012

Saya dan awak [15]

Assalamualaikum...(^ ^)


Saya : Awak, saya teringin nak makan burger.

Awak : Sejak mengandung ni macam² awak mengidam, janganlah ikut sangat rasa tu!

Saya : Awak ni tak memahamilah, bukannya saya ikutkan hati tapi dah teringin nak buat camne? Lagi pun perasan teringin tu bukannya boleh dihalang.

Awak : Oklah, saya minta maaf sebab tak sensitif dengan keinginan awak. Sebab masa mengandungkan Atikah dan Arfan dulu takdelah awak mengidam macam² sangat. Kali ni terlebih sikit, hehehee!

Saya : Nak buat camne, tak semestinya sama setiap kali mengandung. Dulu lain, sekarang ni lain pulak. Awak kenalah memahami.

Awak : Baiklah, sekarang jugak saya belikan burger.

Camtulah sikap husband bila Mas mengidam macam². Dia rasa pelik sebab masa mengandung dulu takdelah camni, dia memahami sebenarnya tapi saja je nak usik.

Tapi Mas nak ingatkan pada para suami, kalau boleh prihatin sikit bila isteri tu teringin nak makan sesuatu. Bukan dia saja² tapi dah nalurinya rasa camtu. Pada para isteri pulak janganlah teringin yang bukan² sampai suami susah nak tunaikan. Kalau boleh kawal rasa keinginan tu cuba kawal, tapi kalau mengidam benda yang senang nak cari takpelah.

Berjaya jugak masak

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah, berjaya jugak masak!

Mula² masuk dapur tadi memang ingat tak boleh masak dah, sebab masuk je dapur kepala dah rasa pening² dan tekak pun dah rasa loya. Tapi kuatkan jugak semangat sebab memang teringin sangat nak makan Tauhu Sambal Ikan Bilis. Tak nak yang beli, nak yang masak sendiri!

Selepas gagahkan diri bertungkus lumuslah Mas memasak di dapur. Beberapa kali tekak rasa loya tapi Mas cuba bertahan, tabahkan hati demi baby dalam perut ni. Lagi pun bukan nak masak macam² jenis lauk pun, cuma satu jenis je. Nasib baiklah ada kakak Atikah membantu.

Sekarang dah selesai memasak, memang mencabar sungguh rasanya. Habis je masak terus muntah², ini pun rasa lemah sangat badan tapi gagahkan diri jugak taip entri. Pastu terus makan epal hijau yang masam untuk hilangkan rasa loya, kejap lagi nak santap Sambal Tauhu Ikan Bilis tu.

Tengok ni, sedap kan? Tak sabar mama dengan baby nak makan.


Jumaat, 13 April 2012

Bila Atikah dan Arfan tahu

Assalamualaikum...(^ ^)


Saat Mas beritahu pada Atikah dan Arfan yang mereka akan dapat adik baru.

Mas : Kakak abang, mama nak bagitau berita gembira ni!

Atikah : Berita apa mama?

Mas : Kakak dan abang akan dapat adik baby nanti, mama dah mengandung.

Arfan : Dalam perut mama ada baby ke? Baby boy ke baby girl?

Mas : Mana tahu lagi sebab baby kecik lagi, nanti dah besar baru tahu baby apa.

Atikah : Kakak nak baby girl mama.

Arfan : Mana boleh, baby boy lah!

Mas : Tak kisahlah baby apa, dia tetap adik kakak dan abang. Seronok tak nak dapat adik baby ni?

Atikah dan Arfan : Mestilah seronok!

Camtulah gelagat mereka bila dapat tahu, memang seronok! Tapi bab jantina baby tu biasalah, seorang nak adik perempuan dan seorang nak adik lelaki. Mula² memang camtu, tapi Mas tahu bila adik dah lahir nanti mereka pasti sayang.

Sekarang ni tiap² hari mesti nak cium perut Mas. Nak tidur cium, nak pergi mengaji cium dan nak pergi sekolah pun cium. Rasa terharu sangat, memang mereka tak sabar nak tunggu adik lahir. 

Peneman setia

Assalamualaikum...(^ ^)

Maaflah, mulai sekarang memang cerita pasal hamil je. Maklumlah masa mengandung Atikah dan Arfan dulu takde blog, jadi tak dapat nak kongsi pengalaman tu. Lagi pun inilah modal nak update blog.


Camnilah Mas bila dah mengandung, buah ni memang akan jadi peneman setia di awal² kehamilan. Masa mengandung Atikah dan Arfan dulu camni jugak. Tapi paling dahsyat masa mengandungkan Atikah, siap boleh makan mangga muda pukul 3 pagi. Makan tu bukannya sikit tapi siap 2-3 biji, husband hanya geleng kepala..

Nak kata alah teruk tu takdelah tapi memang setiap kali hamil Mas memang suka makan benda masam. Mesti kena ada asam atau buah mangga kat rumah, ini pun baru semalam beli. Siap ajak husband cari sampai jumpa, mengidam punya pasal. Dah dapat terus senyum lebar, pastu sekali beli bukannya 2-3 biji tapi terus beli 6 biji.

Sedap tau, ranggup dan masam². Cicah dengan kicap cili lagi terangkat!

Khamis, 12 April 2012

Kena banyak membaca

Assalamualaikum...(^ ^)


Setelah tahu diri ni hamil buat kali ketiga, memang rasa sangat teruja. Maklumlah dah hampir 6 tahun tak merasa pengalaman itu, rasa macam mengandung anak sulung pulak.

Sekarang Mas lebih banyak membaca buku² tentang kehamilan dan tengok kat internet pasal kehamilan. Maklumlah dah hampir lupa apakah yang bakal dialami sepanjang 9 bulan tersebut. Alahan² dulu pun Mas tak ingat dah sebab sekarang ni memang tak mengalami alahan yang teruk pun, cuma rasa loya bila berus gigi waktu pagi.

Nasib baik Mas banyak simpan bahan bacaan tentang kehamilan ni, setiap hari baca. Rasa seronok sangat! Memanglah ada orang kata di awal kehamilan ni jangan gembira sangat, tapi bagi Mas tak salah kita berkongsi kegembiraan. Yang penting kita doakan keselamatan bayi yang dikandung sehinga dia selamat dilahirkan, pastu jaga pemakanan.

Adakah Mas bersedia, sudah tentu sebab memang dah lama menanti.

I'm expecting!

Assalamualaikum...(^ ^)

Memang tak disangka², sampai sekarang masih tak percaya. Bukan apa sebab memang takde alahan apa pun, cuma period lambat 2 minggu. 

Hari Ahad lepas masa bangun nak solat Subuh tergerak hati nak buat UPT, sekali tengok ada 2 line. Terkebil² jugak, macam tak percaya. Terus kejut husband dan suruh dia tengok, dia pun macam mamai² masa tu sebab baru bangun tidur. Tapi tetap tersenyum dan macam tak percaya jugak, terus dia cakap "Nanti cuba test sekali lagi." Cuma airmata Mas memang dah mengalir, gembira sangat!

Hari semalam Mas test lagi sekali atas permintaan husband, laju naik 2 line. Terus tunjuk kat dia dan cakap "Tak percaya lagi ke bang, ke nak test sekali lagi." Dia terus senyum lebar dan cakap "Abang percaya, nanti kita check kat klinik pulak."

Sekarang ni Mas gembira sangat, tak sabar nak tunggu perut ni membesar. Maklumlah dah bertahun² menanti saat indah ini. Termakbul jugak azam yang diimpikan setiap tahun, inilah berkat kesabaran dan doa setiap hari.

Terima kasih Ya Allah!


Rabu, 11 April 2012

Semoga kita dilindungiNya

Assalamualaikum...(^ ^)


Terkejut bila dengar berita pasal gempa bumi di Aceh petang tadi. Masa tu memang Mas takde kat rumah, jadi memang tak rasalah gegaran. Bila balik rumah dan baca di Facebook, tengok ramai pulak update status pasal terasa gegaran. Macam tak percaya pulak, bila tengok berita baru percaya.

Memang rasa cemas bila tengok lampu dan bangunan bergegar, tiang lampu bergegar dan pantai bergelora. Terus teringat tsunami besar yang melanda pada tahun 2004 dulu. Walaupun tak rasa gegaran tapi boleh faham bagaimana perasaan rakyat Aceh yang mengalaminya.

Sama²lah kita berdoa supaya semua makhluk di muka bumi ini dilindungi olehNya dari sebarang bencana dan malapetaka.

Selasa, 10 April 2012

Janji update

Assalamualaikum...(^ ^)


Makin terabai dah blog ni, masa update pun dah tak tentu hala. Kalau dulu pagi mesti ada satu entri pastu sebelah petang pulak satu entri, kalau ada idea malam pun ada entri.

Tapi sekarang update ikut mood, pastu para pembaca pun dah semakin kurang. Komen kat entri pun dah tak sampai 10 pun. Mungkin pembaca dah bosan sebab Mas lambat update dan cerita pun tak berapa nak menarik, sedih jugak rasanya. Tapi takpelah, akan cuba cari semula mood berblog itu.

Tapi itulah senario berblog kan? Ada masa kita dapat idea yang mencurah² dan berpusu² pembaca datang ke blog kita. Tapi ada jugak masanya idea itu kering kontang dan nak dapat seorang pembaca pun susah. Cuma Mas tak kisah sangat semua tu, janji update!

Tips elakkan mudah terpengaruh

Assalamualaikum...(^ ^)


Semalam Mas ada kongsikan nasihat supaya kita jangan mudah terpengaruh dengan kelebihan dan apa yang orang lain ada. Hari ini Mas nak kongsi pulak apakah tips² yang berguna untuk mengelakkan kita dari mudah terpengaruh dengan orang lain.

Pengaruh ni ada 2 kategori, pengaruh elok dan pengaruh tidak elok. Pengaruh yang elok wajarlah kita ikut kerana ia lebih kepada perubahan diri. Tapi pengaruh yang tidak elok ni memang kena elakkan, kerana ia lebih menjurus ke arah kebendaan. Kita nak ada apa yang orang lain ada.

Ini beberapa tips pada pandangan Mas boleh elakkan mudah terpengaruh.

Kenal kemampuan sendiri
Sebelum kita nak miliki apa yang orang lain miliki, seharusnya kita kenal dulu kemampuan sendiri. Mampukah nak memilikinya? Kalau rasa tak mampu kita batalkan sahaja niat itu. 

Minta nasihat rakan
Rasanya tips ini sangat berkesan! Biasanya nasihat rakan boleh membantu kita membuat keputusan yang tepat. Ini kerana nasihat rakan adalah dari hatinya yang ikhlas, bukan macam kita yang kadang² buat keputusan ikut nafsu je. Tapi ingat, carilah rakan yang betul² boleh membantu.

Hadkan jumlah wang yang dibawa
Ini khas untuk yang mungkin pergi shopping dengan kawan², biasanya kalau tengok kawan beli kasut atau handbag baru kita pun terus terpengaruh nak beli jugak. Tapi jika jumlah wang yang dibawa itu tidak mencukupi, ianya akan membantu kita untuk membatalkan niat nak membeli dan terpengaruh.

Buat perancangan perbelanjaan
Perancangan bagus untuk menguruskan wang dengan lebih cermat, ia akan mengelakkan kita dari terpengaruh dan nak beli apa saja yang orang lain ada. Ini kerana kita lebih pentingkan apa yang perlu dari apa yang kita hendak.

Ini saja yang dapat Mas kongsikan, harap tips ini membantu pengaruh kita.

Isnin, 9 April 2012

Jangan mudah terpengaruh

Assalamualaikum...(^ ^)


Orang ada dua buah kereta, kita pun nak ada jugak!

Orang beli perabot baru, kita pun nak beli jugak.

Orang shopping baju dan kasut mahal², kita pun nak jugak.

Jangan mudah terpengaruh dengan kelebihan dan apa yang orang lain ada, nanti kita yang dapat susah. Seeloknya ikut kemampuan sendiri. Janganlah ada prinsip, dia ada kita pun nak jugak.

Bagi Mas, biar miskin harta janji kaya dengan kesabaran dan kesederhanaan.

Aku ni penjaga lif kot?

Assalamualaikum...(^ ^)


Mas nak cerita sikit sikap manusia yang jenis tak kisahkan orang. Lantaklah orang lain, janji kau boleh buat hal kau sesuka hati. Sakit hati betul dengan orang camni!

Alkisahnya begini..

Mas naik lif, nak turun ke tingkat 4. Sampai kat tingkat 7 lif tu berhenti dan ada 2 orang kakak ni tengah tunggu lif, pastu Mas tekanlah butang open dan tunggu mereka masuk. Tunggu punya tunggu diaorang tak masuk pun, dok leka berborak². Mas pun apa lagi tekan terus butang close.

Bila pintu dah nak tertutup baru diaorang terhegeh² nak masuk, terpaksalah laju² Mas tekan butang open semula. Ingatkan habis kat situ je, rupanya kakak yang sorang ni dok tahan pintu lif dan sambung berborak lagi dengan member dia kat luar.

Apahal pulak, dia ingat itu lif kat rumah dia ke? Tak nampak ke orang lain ada dalam lif dan nak turun ke bawah. Mas perhatikan je, dekat 3 minit jugak dia dok berborak. Geram betul, dahlah husband Mas dok tunggu kat bawah. Mas pun terus sengaja tekan butang close memandangkan dia macam takde gaya nak berhenti berborak, bila pintu dah agak² nak tertutup barulah dia terkial² nak masuk.

Pastu takde cakap maaf pun. Agaknya dia ingat Mas ni penjaga lif kot, tak pun patung. Huhhhhh!

Ahad, 8 April 2012

Jangan racuni fikiran anak²

Assalamualaikum...(^ ^)


Janganlah kita racuni fikiran anak² dengan perkara menakutkan sebegini..

"Jaga kat situ ada momok."
"Duduklah dalam gelap, ada hantu nanti!"

Tapi memang dah terbiasa kan kita cakap camtu kat anak². Mas pernah jugak cakap masa mereka kecik² dulu, bukan niat nak menakutkan tapi dah terbiasa kot? Cuma bila mereka dah dewasa Mas cuba elakkan cakap sebegitu, bukan apa takut nanti mereka jadi anak yang penakut pulak.

Tapi seeloknya janganlah kita biasakan cakap sebegini dengan anak², biar mereka jadi anak yang berani dan tak takut dengan kegelapan. Terutamanya anak lelaki. Mana taknya, mereka akan percaya 80% apa yang kita katakan. Kalau itu yang diracun kat fikiran mereka, maka itulah yang mereka fikir.

Alhamdulillah, sekarang anak Mas dah semakin berani sebab Mas dah janji pada diri tak akan racun fikiran mereka dengan perkara tersebut. Untuk jadi ibu yang sempurna kenalah belajar dari kesilapan!

Ini je yang selera

Assalamualaikum...(^ ^)

Sekarang ni makan kena ikut selera, benda yang rasa nak makan terus masak.

Macam hari ni hanya masak Sambal Tumis Ikan Bilis. Asalnya tengok cerita kat TV1 bertajuk "Sambal Tumis Ikan Bilis Mama", tiba² teringin nak makan. Apa lagi ke dapur memasak. Selepas bertungkus lumus siap jugak sambal tumis tu, boleh makan dengan nasi panas.

Tapi satu kelemahan Mas bila masak sambal tumis. Bila masuk ikan bilis yang telah digoreng garing dalam lada yang telah dimasak, mesti ikan bilis jadi lembik sikit. Ia tak kekal garing macam masa mula² goreng. Pelik jugak kan, dah banyak kali masak tapi masih tak menjadi. Mas tengok kalau member masak mesti ikan bilis dia garing, sedap!

Kena banyak kali cuba lagi ni, hehehee!

walaupun nampak tak menarik tapi sedap

Sabtu, 7 April 2012

Berkat kesabaran

Assalamualaikum...(^ ^)


Memang betul, kalau kita sentiasa bersabar dan tak mengeluh dengan dugaan yang menimpa pasti kita akan dapat pulangan. Sebab Allah suka umatnya yang banyak bersabar dan berusaha, bukan hanya tahu merungut dan harapkan rezeki datang bergolek.

Perkara ini terjadi pada Mas sendiri, bukannya Mas nak riak tapi sekadar berkongsi untuk kebaikan bersama. Bak kata pepatah "Yang baik jadi teladan dan yang buruk jadikan sempadan." 

Begini kisahnya, semua tahu sekarang tengah bulan kan? Jadi biasalah waktu ni poket memang sentiasa kering, kebetulan pulak husband kurang sikit dapat kerja untuk bisnes dia bulan ni. Jadi memang kena berusaha keras untuk dapatkan sedikit rezeki.

Kebetulan hari ini duit dalam dompet Mas hanya tinggal RM10, terdesak jugaklah. Husband pulak cuba cari kerja sikit untuk dapatkan belanja pada hari ini. Tapi nasib tak baik, takde pulak kerja yang masuk. Buntu jugak nak buat apa, tapi Mas cuba bersabar. Mungkin ada ikhtiar lain!

Tiba² tergerak hati nak tengok akaun Bank Rakyat Mas. Saja² je, sebab dah tahu dalam akaun tu memang takde duit. Sekali bila tengok dalam akaun ada RM50. Syukur alhamdulillah, memang tak disangka². Ada jugak rezeki kami sekeluarga hari ni. Pastu husband pulak cakap dia dapat RM100, duit untung bisnes katanya.

Ya Allah, memang sangat tak disangka. Dalam kebuntuan itu Allah telah berikan juga rezeki pada kami. Mungkin berkat kesabaran dan usaha kami itu, terima kasih Ya Allah!

Janganlah panggil adik

Assalamualaikum...(^ ^)


Perbualan dengan si kecil Arfan, hehehee!

Mas : Adik, pergilah mandi!

Arfan : Mama ni, jangan panggil adik. Arfan dah besar, panggillah abang Arfan.

Mas : Bukan Arfan kecik lagi ke, selalu je menangis. Apa salahnya mama panggil adik.

Arfan : Yelah, nanti dah ada baby tak akanlah nak panggil adik lagi. Kenalah panggil abang.

Mas : Oooo ye ke, Arfan nak ada adik baby ke? 

Arfan : Mestilah nak! 

Mas : Oklah, lepas ni mama panggil Arfan abang ye.

Dah pandai dia sekarang, tak mahu dah Mas panggil dia adik. Pastu bila tanya nak adik baby tak, terus dia cakap nak. Bila tanya lagi, nak adik baby apa? Terus cepat dia jawab, nak adik baby lelaki. Pastu terus kakaknya cakap tak nak adik baby lelaki, nak adik baby perempuan.

Peninglah mama, kena bagi adik baby kembar ni. Seorang lelaki seorang perempuan.

Jumaat, 6 April 2012

Janji atau duit?

Assalamualaikum...(^ ^)


Situasinya, kita berjanji dengan seorang kawan A untuk menjual sebuah handphone dengan harga RM200. Kawan tu memang bersungguh² nak beli tapi dia minta kita simpankan dulu dan akan bayar esok hari. Tiba² malam tu ada kawan B nak beli handphone dari kita dengan harga RM300. 

Mana yang lagi penting bagi kita, janji dengan kawan A atau duit yang ditawarkan oleh kawan B.

Bagi Mas janji lagi penting sebab itu menunjukkan kita seorang yang menepati janji, dan duit itu adalah rezeki. Kalau hanya itu sahaja rezeki yang kita dapat untuk menjual handphone, maka bersyukurlah. Duit kita boleh cari tapi janji yang telah dimungkiri boleh ke kita perbetulkan semula? 

Nanti tak pasal pulak kita dicop seorang yang mungkir janji, dan mungkin jugak persahabatan kita dengan kawan A akan jadi renggang. Memanglah duit yang banyak penting tapi kalau itu sahaja rezeki yang Allah tetapkan untuk kita, maka itulah. 

Apa pendapat kawan², harap boleh kongsi.

Mungkin kita lupa bersyukur

Assalamualaikum...(^ ^)


Pernah tak alami situasi camni.

Kita dah berusaha bersungguh² untuk dapatkan sesuatu, pelbagai cara kita lakukan agar berjaya memperolehinya. Tapi bila tiba masanya apa yang kita usahakan itu gagal, kita tak berjaya memilikinya. Padahal macam² dah kita lakukan!

Pastu kita terus marah dan memberontak, kecewa dan mula salahkan takdir Allah. Kita anggap Allah tak adil dengan kita sebab tak makbulkan apa yang diusahakan. Tapi pernahkah kita fikir apa sebenarnya di sebalik kegagalan kita itu, pernahkah kita fikir yang kita mungkin lupa bersyukur.

Betul, mungkin kita lupa bersyukur. 

Kita anggap kalau dah berusaha bersungguh² pasti akan berjaya, tapi kita salah. Sebenarnya bersyukur itu penting, baik kita berjaya atau tidak. Kalau berjaya bersyukur dengan rezeki Allah bagi, minta dimurahkan lagi rezeki kita. Kalau tidak berjaya bersyukur jugak, mungkin Allah nak uji setabah manakah kita. Dengan itu kita tidak mudah putus asa dan akan berusaha sehingga berjaya!

Khamis, 5 April 2012

Selagi termampu

Assalamualaikum...(^ ^)


Selagi termampu Mas akan cuba update blog setiap hari, walaupun sekarang memang idea dah kering kontang. Entah kemana dia menghilang pun tak tahu.

Pastu mood berblog pun dah makin kurang, kadang² terasa malas nak buka blog. Tak pun kadang² buka je pastu biarkan begitu sahaja. Sekarang hanya mampu update 2 entri sehari, itu pun berpinar² kepala otak fikir idea.

Tapi kalau tak update rasa lain macam pulak, rasa macam hampakan pembaca bila mereka masuk blog kita takde entri baru. Jadi mesti cuba jugak update.

Dah sampai masa ke blog ini ditutup dan hanya tinggal kenangan, mungkinkah atau mungkin tidak?

Tidak boleh!

Assalamualaikum...(^ ^)


Kadang² kita menghadapi kesukaran untuk berkata "tidak boleh" kepada anak². Biasanya kita berikan sebab mengapa mereka tidak boleh berbuat sesuatu, tapi adakah anak² akan faham? Mereka perlu faham bahawa tidak boleh bermakna tidak boleh.

Biasa kita akan rasa tertekan dan letih apabila anak² asyik meminta benda yang mereka nak. Walaupun kita kata tak boleh tapi mereka tetap berkeras, jadi untuk menanganinya kita tetapkan sesuatu. Misalnya anak berkeras nak kita belikan mainan, jadi kita cakap kalau mereka berjaya baca buku sampai lancar baru belikan hadiah. Kalau tak berjaya maknanya tak boleh!

Memang sukar nak elak daripada anak² buat perangai dan tak setuju dengan apa yang dikatakan, lagi kita kata tak boleh lagilah mereka memberontak! Lagi satu kena tegas, kalau tak boleh kena tegaskan memang tak boleh. Jangan bila anak merajuk dan memberontak terus kita kata boleh pulak. 

Tapi jangan marahkan mereka, sebab anak² ni mudah mengesan sesuatu yang negatif dan mereka mungkin akan anggap kita tak sayang mereka pulak.

Rabu, 4 April 2012

Jom sertai Program SENYAP 1.1

Assalamualaikum...(^ ^)


Rabu depan cuti umum sempena Pertabalan Agong, pasti kita ada rancangan nak pergi beriadah kan? Bagi yang tiada idea nak ke mana, apa kata sertai Program Senyap 1.1. Program ini akan diadakan pada 11 April 2012, jam 9-10 malam di Menara Kementerian Belia dan Sukan Putrajaya. 

SENYAP merupakan singkatan kepada program (Social Enforcement For National Youth Awareness Program) dimana sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan dengan Kerjasama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) menggunakan platform SENYAP untuk memberikan kesedaran IT dan merapatkan jurang antara blogger dan Kementerian. Sehubungan dengan itu setelah kewujudan blogger disedari maka dengan ini mereka membawakan SENYAP 1.1 selepas kejayaan SENYAP 1.0 diadakan di PWTC sebelum ini.

Program SENYAP kali ini menampilkan penyanyi rap terkenal lagu Syukur iaitu Altimet dimana beliau merupakan salah seorang dari Malaysian Youth Icon dan Bro Framestone iaitu Senyap Blogger.

Kepada rakan blogger yang berminat untuk menghadiri program ini bolehlah isi borang penyertaan di sini, dan untuk maklumat lanjut boleh klik sini. Tarikh tutup penyertaan pada 9 April 2012 dan jika ada sebarang pertanyaan boleh dikemukakan di page RSVP dan page vyrec.

Cepat, hanya 200 penyertaan pertama akan dipilih.

Wordless Wednesday [59]

Assalamualaikum...(^ ^)

Selesai sudah Audit 5S, lega. Tapi banyak lagi perlu dibuat penambahbaikan.

Cuma satu kesalahan tadi, lupa nak buang hiasan ni. Dah kena tolak markah, huhuhuu!

dikira hiasan usang sebab raya dah lama lepas

Selasa, 3 April 2012

Ajar anak berkongsi

Assalamualaikum...(^ ^)


Mengajar anak berkongsi memang mencabar, tetapi tidak mustahil jika dilakukan dengan betul.

Meminta anak kita untuk berkongsi mainan mungkin sukar sebagaimana memintanya makan sayur. Tak kira apa yang kita kata, mereka tetap tak akan menukar keputusan. Keadaan akan lebih teruk jika kita terlalu memaksa mereka melepaskan mainan, menyebabkan anak mula buat perangai sebagai tanda bantahan. Majoriti anak² tidak suka berkongsi sesuatu yang dlisayangi mereka, sebab itulah kita perlu pandai memujuk untuk minta mereka berkongsi barangan miliknya.

Jangan paksa anak kita.

Sebenarnya kita tidak adil kerana meminta anak yang lebih tua untuk berkongsi dengan adik mereka, sebab adik sentiasa mahukan apa yang dimain oleh abang dan kakaknya. Walaupun anak kita yang berusia 2 tahun mahu bermain kereta api, tak semestinya abang kena berikan mainannya kepada adik. Mengajar adik beradik menghormati hak milik satu sama lain adalah sama penting dengan sifat suka memberi dan berkongsi yang cuba kita terapkan. 

Biarkan mereka selesaikan sendiri.

Ingat jika anak² sedang berebut mainan, jangan masuk campur atau cuba selesaikan masalah. Galakkan mereka cari penyelesaian sendiri sambil memegang mainan untuk mereka. Terangkan dengan jelas bahawa melainkan mereka membuat keputusan untuk bermain dengan baik bersama atau mereka tidak akan mendapat balik mainan itu, segalanya memerlukan masa.

Berkongsi bukan perkara yang mudah dilakukan oleh anak², tetapi dengan bimbingan dan sedikit kesabaran kita pasti boleh menanam semangat suka memberi dan kesanggupan berkongsi. Segalanya memerlukan masa dan latihan, tetapi belajar berkongsi tidak mustahil jika kita melakukannya dengan cara yang betul.

Semuanya kerana 5S

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebelum tu kalau tak tahu apa itu 5S, boleh rujuk sini.

Hari ni memang sibuk, sana sini kat pejabat sibuk dengan 5S. Mas pun tak ketinggalan, banyak lagi benda belum buat. Nak termuntah dah rasanya mengadap 5S ni. 

Tapi nak buat camne esok Audit 5S, jadi terpaksa bertungkus lumus siapkan apa yang patut. Maaflah hari ni tak dapat update panjang², ini Mas kongsikan projek 5S kat tempat Mas yang dah siap.

laci alat tulis dah siap buat partition

cop pun kena label

semua kena nampak seragam

kemas dan teratur

tersusun rapi

papan kenyataan pun dah ada

carta pergerakan kita di pejabat pun kena ada

Isnin, 2 April 2012

Main kerja pejabat

Assalamualaikum...(^ ^)

Bila tengok anak² bermain, terus teringat zaman kanak² dulu. Apa yang mereka main lebih kurang sama dengan Mas main, baik Atikah mahu pun Arfan. Agaknya mereka ni banyak mewarisi gen mamanya kot, hehehee!

Zaman kanak² Mas dulu sehingga ke zaman remaja, Mas memang suka main kerja pejabat. Kononnya Mas jadi Setiausaha. Berbekalkan buku tulis, pen, pensel dan kalkulator Mas mula bermain, main sorang² je. Bukan ada orang lain pun, cakap pun sorang².

Mas suka main camtu sebab berminat sangat nak kerja dalam pejabat bila dah dewasa nanti, sama ada jadi bos atau jadi setiausaha. Tapi sungguh tak sangka pulak bila dah masuk alam pekerjaan, Mas memang betul jadi seorang Setiausaha. Impian mainan masa kecil tu jadi kenyataan.

Sekarang ni anak² pulak mewarisi, suka betul mereka main kerja pejabat ni. Jadi boslah, jadi pekerjalah. Seronok pulak Mas tengok, rasa nak join je. Sebenarnya Mas rasa gembira sebab anak² lebih suka main camtu, daripada nak mengadap games di komputer 24 jam. Sekurang²nya minda mereka lebih berkembang.

Atikah dan Arfan, jom main kerja pejabat. Mama jadi bos, hehehee!

Atikah jadi bos

Arfan jadi pekerja

Menulis blog

Assalamualaikum...(^ ^)


Menulis blog ni bukannya mudah.

Menulis blog ni memerlukan komitmen yang tinggi.

Menulis blog ni perlu ikhlas dari hati dan lahir perasaan ingin menulis.

Menulis blog ni perlu ada cerita yang hendak dikongsi.

Menulis blog perlu dalam keadaan tenang dan santai, tak boleh dipaksa². Kalau makin dipaksa makin idea tak mahu muncul, tepu dalam kepala otak ni. Sebab itu kadang² ada blogger yang dah bosan dengan blog. Bukan sebab malas nak tulis tapi sebab idea kering kontang, sekering gurun Sahara.

Apa yang anda baca ini adalah pandangan penulis sahaja, jangan ikut sangat. Sebabnya sekarang penulis memang kekeringan idea nak tulis apa. 

Ahad, 1 April 2012

Diskaun 30%

Assalamualaikum...(^ ^)


Pertama kali Mas makan kat kedai makan ada diskaun, macam beli baju kat pasaraya je. Tengahari tadi Mas lunch kat sebuah restoran kat Bangi, pertama kali Mas makan kat sini. Maaflah sebab Mas lupa nak ambik gambar restoran dan nama kedai pun Mas tak tahu, hehehee! Jadi tak dapatlah nak tunjukkan lokasi sebenar restoran tersebut. Bukannya sengaja, tapi memang lupa sangat!

Menariknya tentang restoran ini ialah selepas jam 3 petang pelanggan akan dapat diskaun 30% atas setiap makanan yang mereka makan, tak kiralah apa jenis makanan sekali pun. Bagi Mas bagus cara pemilik restoran ni, sekurang²nya mereka dapat menarik minat para pelanggan untuk datang lagi ke restoran mereka. Memang strategi yang bagus!

Lauk pauk yang disediakan boleh tahan, semuanya sedap dan memikat selera. Yang paling sedap semua lauk pauknya masakan kampung.

Memang lain kali Mas akan datang makan lagi kat restoran ni, masa tu Mas akan kongsikan dengan kawan² nama dan lokasi sebenar restoran ni. Mas janji, hehehee!

Janji melayu

Assalamualaikum...(^ ^)


Kenapa orang selalu sebut janji melayu, kenapa tak sebut janji cina ke, janji india ke? 

Pelik kan, asal mungkir janji disebut janji melayu. Adakah orang melayu terlalu teruk sehingga selalu sangat memungkiri janji atau tidak menetapi janji. Adakah kita sebagai orang melayu tidak berasa malu dengan menggunakan perkataan "janji melayu" setiap kali memungkiri janji.

Bagi Mas penggunaan perkataan janji melayu ni tidak sesuai digunakan, ianya seolah menghina dan memperkecilkan bangsa melayu. Bukan orang melayu je yang selalu memungkiri janji kan? 

Cuba lihat hadis ini, Rasulullah bersabda (maksudnya).
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga, apabila dia berbicara niscaya dia berbohong, apabila dia berjanji niscaya mengingkari, dan apabila dia diberi amanah niscaya dia berkhianat.” [Shahih Muslim, no 89]

Tengok, dalam hadis ini terang² diperkatakan agama Islam menuntut umatnya sentiasa menepati janji. Janji itu adalah satu amanah pada kita jadi wajarlah kita tidak mengkhianatinya. Sentiasa ingat, kalau tak mampu tunaikan janji jangan berjanji.

Selepas ni janganlah kita gunakan istilah janji melayu tu, biarlah kita berjanji mengikut janji Islam yang berpandukan hadis dan sunnah.

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com