Logo KBBA

terkini dan sensasi

Sabtu, 26 Oktober 2013

Cuti-cuti Langkawi (part 2)

Assalamualaikum...(^ ^)

Hari ini sambung cerita cuti² Langkawi kami. Walaupun dah basi tapi Mas tulis ia sebagai kenangan.

Masuk hari kedua satu bumi Langkawi ditimpa hujan dari Subuh lagi. Kami rancang hari kedua nak pergi naik SkyCab dan ke Kilim Geopark. Tapi hampa harapan sebab hujan turun dengan lebat, tapi kami tunggu jugaklah dalam kereta.

Tunggu punya tunggu hujan tak berhenti, terpaksa tukar rancangan. Jadi kami habiskan masa terluang tu pergi habiskan duit shopping coklat di Haji Ismail Group. Memang buntang bijik mata Mas tengok coklat² yang banyak tu, maklumlah pengemar coklat paling tegar di dunia!

Pilih punya pilih banyak jugak coklat Mas borong. Kalau duit banyak satu Haji Ismail Group Mas borong, hahahaa! Tapi dalam banyak² coklat, yang ni Mas borong paling banyak, memang idaman hati!


Selesai menghabiskan duit beli coklat kami patah balik ke SkyCab sebab hujan dah berhenti. Tapi memang nasib kami tak baik agaknya, sampai kat SkyCab hujan turun semula. Hampa sangat!

Jadi kami telefon kat Kilim Geopark, tanya cuaca kat sana. Dia kata cuaca baik dan kami terus gerak ke sana. Tapi bila sampai hujan pulak, jadi terpaksa tunggu hujan reda baru boleh naik bot. 

Selepas menunggu lebih kurang ½ jam, hujan pun reda. Gembira sangat sebab dapat jugak pergi, bukan apa sebab ini pertama kali Mas pergi Kilim Geopark. Kat sini banyak pakej yang disediakan, ikut kemampuan kita nak pilih yang mana satu. Mas pilih pakej 1 jam dan harga yang dikenakan adalah RM130 untuk satu bot.

Untuk pakej ni mereka bawak kami naik bot menyusuri Sungai Kilim dan singgah di Gua Kelawar. Masuk dalam gua tu memang gelap dan boleh sewa lampu suluh dengan harga RM1. Masa masuk tu kita tak digalakkan bercakap sebab takut menganggu kelawar yang sedang tidur, bila suluh ke dinding gua memang banyak sangat kelawar!


Habis di Gua Kelawar kami dibawa terus ke laut untuk pergi ke sangkar ikan. Kat sini banyak ikan yang mereka pelihara, dan kami dapat pengalaman memberi makan ikan pari dan memegang belangkas. Mas berani pegang belangkas je. Nak bagi ikan pari makan tak berani, takutlah digigitnya tangan!

Habis di sangkar ikan kami dibawak ke tempat beri makan burung helang. Ini adalah saat yang paling Mas nantikan. Mula² kami sampai memang takde seekor pun burung. Sekali pemandu bot bunyikan enjin bot dengan kuat, terus berpuluh² ekor burung helang keluar. Mereka dah tahu yang ada orang datang nak bagi mereka makan. Sangat bijak helang² tu, menakjubkan!



Secara keseluruhannya memang seronok ambil pakej boat tour ke Kilim Geopark ni, banyak pengalaman yang menarik kami lalui. Jurupandu bot pun memang peramah dan walaupun masa yang diberi cuma 1 jam tapi mereka bawak kita lebih dari 1 jam, memang berbaloi. Lain kali kalau datang lagi kami nak ambil pakej yang 2 jam pulak, boleh pergi banyak lagi tempat menarik!

Ahad, 20 Oktober 2013

Cuti-cuti Langkawi (part 1)

Assalamualaikum...(^ ^)


Bila buka blog baru terperasan Mas tak cerita lagi kisah cuti kami di Langkawi pada 11-14 Oktober yang lepas. Perancangan cuti memang dibuat last minit, pastu husband pun macam nak tak nak je. Lagi 2-3 hari sebelum tarikh barulah buat keputusan dan akhirnya berjaya jugak pergi.

Mas gerak ke Alor Setar hari Jumaat dan sampai sana dah pukul 10 malam. Kami menginap di Hotel Seri Malaysia yang 1 malam RM160 untuk bilik family. Pagi Sabtu barulah kami gerak ke Jeti Kuala Perlis untuk ke Langkawi, dan dari Alor Setar ke jeti lebih kurang 45 minit sebab kami pertama kali pergi. Pastu dengan sesat jalan, hehehee!

Sampai jeti beli tiket dan dapat feri pukul 12 tengahari, harga tiket untuk dewasa RM18 dan kanak² RM13. Feri yang kami naik boleh muat 500 orang, besar jugak. Mas pun rasa seronok sebab pertama kali nak naik feri, tapi jangkaan meleset sebab feri ke Langkawi tak macam feri ke Pangkor. Beg² semua kita kena angkat sendiri, kalau bawak beg banyak tu memang seksa sangat. Pastu keadaan dalam feri agak sempit, dengan kita nak cari tempat duduk lagi. Sebab tempat duduk dia kena ikut nombor. Mula² naik tu Mas tak tahu, main belasah je duduk mana².

Tak seronok mana naik feri ni, bukan boleh tengok luar pun. Terperap je kat kerusi masing², nasib ada TV takdelah bosan sangat  Tapi Mas siap mabuk laut, tak tau kenapa. Masa naik feri ke Pangkor tak pernah mabuk, mungkin sebab laut bergelora. Perjalanan dalam feri lebih kurang 1 jam, jadi kami sampai Jeti Kuah lebih kurang pukul 1 tengahari. Angkat barang, ambik kereta sewa dan uruskan pembayaran, sampai resort lebih kurang pukul 3 petang.

Kami menginap di Langgura Beach Resort dekat Pantai Cenang. Harga bilik untuk satu malam RM140, biliknya ada 2 katil queen. Agak sempurna bilik, bagi Mas selesalah untuk tidur. Lepas dah siap kemas barang kami keluar untuk makan dan survey tempat² yang nak dilawati hari esok. Sempat jugak Mas singgah Idaman Suri untuk beli apa yang memang dah dihajati, memang puas hati dapat beli!

Inilah kisah cuti² Langkawi kami. Nanti sambung, sebab kalau tulis sekaligus panjang lebar pulak.

Selasa, 15 Oktober 2013

Raya Haji kami

Assalamualaikum...(^ ^)

Lamanya tak update!

Memang sibuk sangat sejak kebelakangan ni, di pejabat jangan haraplah nak buka blog sekarang. Kat rumah pulak kalau ada masa pun otak dah penat jadi memang tak mampulah nak update. Bersawang berhabuk sungguh blog ni!

Hari ni curi² masa sambil layan Airis main, Mas nak update sikit kisah raya haji kami. Raya haji kali ni memang sangat sederhana, takde pun pakai baju raya dan pergi mana². Maklumlah dari Jumaat lepas sampai semalam dah bercuti ke Langkawi kan? Pastu husband pun kerja jadi Mas takdelah nak buat persiapan lebih² sangat.

Pagi cuma sarapan dengan roti dan nutella, bila tengahari Mas masak Laksa Lemak. Anak² memang suka makan, habis licin sebungkus laksa. Daging korban pun banyak dapat, siap dengan tulang lagi. Malam ni nak grill je daging tu dalam kuali ajaib yang beli kat Langkawi.

Inilah gambar juadah raya kami.



Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com