Logo KBBA

terkini dan sensasi

Selasa, 31 Oktober 2017

Nur Aiyra Annasya : 1 bulan

Assalamualaikum...(^ ^)

Genap 30 hari dah umur Aiyra hari ni, sekejap je dah sebulan. Alhamdulillah dia membesar dengan sihat dan takde masalah kesihatan, walaupun masa mula² lahir ada sikit masalah. Setakat hari ni dia masih menyusu susu mama sepenuhnya, syukur air susu banyak dan mencukupi untuk dia. 


Hari Khamis ni akan ke klinik untuk dapatkan imunisasi sebulan dan timbang berat badan, tak sabar nak tahu berapa kg dah dia. Dah terasa kalau dukung dia dan lenguh² lengan kalau dok pangku dia tidur. Masa umur Aiyra 20 hari, timbang masa tu 4.3kg berat dia. Ni rasanya dah naik sebab tengok semangat badan dia walaupun nampak macam kecik je.

Setakat ni perkembangan tumbesaran dia baik dan memberangsangkan, dah pandai senyum dan ralit kalau mama borak² dengan dia. Kepala dan badan dah keras dan tegap, senang dah nak pegang. Moga dia membesar dengan sihat seperti kakak² dan abangnya, itu yang mama babah tak sabar nak tunggu.

Kakak Airis tu lagilah, paling tak sabar tunggu adiknya membesar sebab nak main² dengan Aiyra.

Isnin, 30 Oktober 2017

Gegar Vaganza 4 : Minggu Pertama

Assalamualaikum...(^ ^)

Sekali lagi rancangan hiburan yang Mas tunggu² bermula semalam, Gegar Vaganza 4 membuka konsert pertama dengan penampilan 12 artis yang pernah popular satu masa dulu. Tapi jujur Mas katakan artis² untuk GV4 ni tidaklah sehebat GV sebelum ni, cuma ada jugak 2-3 artis yang bagi Mas mampu memberikan saingan hebat di pentas GV4.

Setelah melihat konsert pertama semalam Mas dah ada peserta GV4 yang menjadi pilihan, iaitu Lan Kristal, Hazami, Aishah dan Liza Hanim. Walaupun Mas tak minat sangat artis² ni tapi kemantapan vokal mereka yang masih power hingga sekarang menarik minat Mas. Harap mereka berempat mampu memberikan saingan yang sengit dan persembahan terbaik hingga ke konsert akhir. Artis Indonesia si Firman tu pun sedap vokal dia, mampu berikan saingan jugak ni.


Artis² yang lain² tu bagi Mas mereka bagus jugak, tapi perlu berusaha gigih dan mantapkan vokal untuk kekal. Macam Aqasha, Mas memang minat dia tapi rupa saja tak mencukupi kalau vokal ke laut kan. Moga dia dapat berikan yang terbaik, penyeri tu sebab kacak. Hehehee! Raja Azura pulak, Mas tak berkenan langsung dengan dia. Bagi Mas dia tak sesuai jadi penyanyi, kalau pengacara tu bolehlah. Kita tengoklah nanti selama mana dia bertahan, moga dia dapat berikan yang terbaik.

Bab penganjur, pengacara dan juri Mas memang tak nak komen lebih, semua pun tahu kan setiap tahun camtu. Cuma kadang tu mereka kena kawal sikit sikap dan percakapan sebab ini rancangan langsung, budak² pun ada tengok. Mungkin niat mereka nak melawak tapi banyak yang menyimpang, jadi terlebih² pulak. Kita ni nak tengok rancangan nyanyian bukan rancangan lawak bodoh kan? Harap² minggu kedua nanti takdelah lawak camtu lagi ye!

Ok berbalik pada konsert GV4, macam biasa minggu pertama tiada penyingkiran dan semua peserta mara ke minggu kedua. Konsert minggu depan pasti akan lebih menguji kemampuan semua peserta sebab tiada lagi lagu sendiri yang dinyanyikan, lagu yang diberi bakal menguji kemampuan vokal mereka. Tema pada konsert kedua adalah Sekali Dengar Terus Melekat dan inilah pilihan lagu yang bakal dinyanyikan oleh mereka.

Aishah | Dingin (Ziana Zain)
Firman | Rindu Serindu Rindunya (Spoon)
Hazami | Setengah Mati Merindu (Judika)
Liza Hanim | Aku Hanya Pendatang (Frensisca Peter)
Lan Kristal | Karam (Zabarjad)
Tia Jinbara | Lagu Cenderawasih (Kris)
Elyana | Masih Cinta (Kotak)
Syura | Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim)
Ferhad | Harus Terpisah (Chakra Khan)
Aqasha | Aku (Jamal Abdilah)
Haida | Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latif)
Raja Azura | Apa Yang Ku Cari (Endang S. Taurina)

Jumaat, 27 Oktober 2017

Ragam si Aiyra

Assalamualaikum...(^ ^)

Lagi 3 hari Aiyra akan berusia sebulan, cepat je kan? Rasanya baru lagi dia lahir ke dunia, boleh ingat lagi camne sakit melahirkan dia. Tapi alhamdulillah Aiyra anak yang mudah dijaga, dari lahir sampailah nak masuk sebulan ni dia memang tak meragam sangat. Mudah nak jaga dia setakat ni!


Kalau sebelah siang dia agak payah sikit nak tidur lena, mungkin sebab cuaca agak panas kan? Kalau nak bagi dia tidur lena tu kena tidur berpangku atas lengan atau letak atas kerusi goyang tu, dapatlah dia tidur dalam sejam lebih camtu. Pastu dia kuat menyusu, jadi memang setiap 2 jam akan bangun menyusu. Jadi agak payahlah nak tidur betul² lena berjam². 

Sebelah malam pulak dia tak banyak ragam, biasa jam 8 malam tu dia dah tidur lena. Nanti dalam jam 10 malam camtu dia akan bangun menyusu, begitulah seterusnya sehingga jam 4 pagi. Pastu lepas jam 4 pagi dia akan ajak mama berjaga, dah puas tidur agaknya. Cuma masa berjaga tu dia tak menangis tapi nak kita layan dan cakap² dengan dia, terpaksalah mama jadi burung hantu melayan dia. 


Nanti dalam pukul 6.30 pagi camtu dia akan mula ngantuk, bagi susu dan dia akan terus tidur sehingga jam 9 atau 10 pagi. Cuma sebelah malam tu, memang dia nak tidur berpangku atas lengan. Kalau tak tidurnya tak lena sangat, jadi memang lenguhlah lengan kiri kanan mama. Tapi takpelah janji dia tidur lena kan, lenguh pun lenguhlah. 

Itu jelah ragam Aiyra dekat nak usia sebulan ni, lepas ni tak tau lagi kan? Lain anak lain ragamnya, kita sebagai ibu kena sabar hadapinya. Biasalah tak lena tidur malam, jadi burung hantu dan kadang makan pun tak sempat, semuanya demi anak!

Khamis, 26 Oktober 2017

Persediaan perbelanjaan sekolah anak²

Assalamualaikum...(^ ^)

Tahun depan dah 3 orang anak Mas akan bersekolah, jadi perbelanjaan persekolahan tu pasti akan bertambah. Pastu dah ada Aiyra pulak, perlukan perbelanjaan tiap² bulan untuk bayaran taska. Jadi untuk elakkan lebih banyak beban kewangan dan duit tak mencukupi, Mas kena buat persediaan perbelanjaan sekolah anak² lebih awal.


Mulai gaji bulan 10 Mas dah mula menyimpan sikit², maklumlah macam² nak kena beli dan bayar. Baju sekolah, kasut sekolah, buku sekolah dan yuran sekolah, semuanya perlu dibeli dan dibayar. Macam Atikah tahun depan masih lagi tinggal di asrama, jadi yuran asrama je dah RM1k. Itu belum campur buku sekolah, yuran sekolah dan yuran periksa, sebab tahun depan dia akan duduki PT3. Untuk dia seorang je kena sediakan lebih kurang RM2k jugak.

Arfan pulak dah darjah 6 tahun depan, akan duduki UPSR. Mesti banyak jugak buku ulangkaji nak kena beli, pastu ditambah dengan yuran periksa dan yuran kelas tambahan lagi. Haaaaa untuk dia kena sedia lebih kurang dalam RM500 jugak. Airis pulak dah masuk pra sekolah, sama jugak kena bayar yuran dan beli uniform sekolah. Kurang² dalam RM300 jugak duitnya. Jadi untuk mereka 3 orang lebih kurang kena sediakan RM3k untuk lengkap semuanya. Fuhhhhh nasib baiklah ada sikit² duit simpanan dan duit hasil kerja part time husband. 

Macam itulah bila ada anak² ramai bersekolah kan, semuanya kita kena buat persediaan dari awal. Kalau nak keluarkan sekaligus duit dalam satu masa memang tak akan mencukupi punya. Maklumlah zaman sekarang semuanya dah mahal, yuran sekolah pun pasti akan naik. 

Rabu, 25 Oktober 2017

Memori koleksi kaset

Assalamualaikum...(^ ^)

Tengahari tadi ada tertengok siaran kat Astro pasal memori kaset dan piring hitam, ini memang khas untuk pengumpul koleksi. Bila tengok mereka simpan koleksi² kaset tu, teringat pulak zaman Mas membeli kaset dulu. Masa tu Mas kumpul koleksi kaset kumpulan Ukays, Spring dan Slam. Fuhhh memang nostalgia sangat.


Setiap kali 3 kumpulan ni keluarkan album baru terus Mas pergi kedai kaset, jumpa taukey kedai tu dan tanya dah ada jual belum kaset mereka. Kalau dah ada Mas suruh taukeh kedai tu simpankan satu, sementara Mas nak kumpul duit. Jadi bermulalah misi mengumpul duit belanja sekolah demi sebuah kaset, kadang RM1 sehari dan kadang 50 sen. Bila dah cukup terus pergi kedai kaset tu dan beli, dapat je memang gembira tak terkata. 

Yelah masa tu harga kaset takdelah mahal sangat, dalam berbelas ringgit kalau tak silap. Jadi dalam masa 2 minggu Mas dah dapat beli satu kaset, gigih tau menyimpan duit belanja setiap hari. Pastu kumpul lagi untuk beli kaset lain pulak, tapi cuma 3 kumpulan itu jelah. Hehehee, Mas memang minat lagu jiwang karat dan tangkap leleh ni.

Sayang sungguh tau dengan kaset² tu, yelah beli dari hasil duit sendiri. Setiap hari dengarlah kat radio lama arwah mak, memang layanlah. Kalau tak silap lebih 10 koleksi kaset yang Mas ada, takdelah banyak sangat tapi sebab beli dengan duit kumpul sendiri itu yang rasa berbaloi kumpul koleksi. Sesapa nak pinjam pun tak bagi, sayang wooo!

Cuma sekarang tak tau kemana dah koleksi² kaset tu, rasanya dah hanyut dek banjir besar 2014 kot. Dulu ada lah Mas simpan kat kampung, tapi sekarang satu pun dah takde. Sayang pulak bila ingat balik, bukan senang nak kumpul koleksi² tu dengan duit belanja sekolah sendiri. Tapi semuanya tak dapat dikesan dah, jadi tinggal memori dan kenangan je. Gambar pun takde simpan!

Selasa, 24 Oktober 2017

Ubat periuk

Assalamualaikum...(^ ^)

Amalan berpantang ni penting bagi setiap ibu yang melahirkan anak, tak kisahlah ikut pantang tradisional atau moden. Bukannya apa, bila kita ikut pantang tu betul² kesihatan badan kita pun akan cepat sembuh dan kembali bertenaga. 


Bagi Mas salah satu cara nak kekal sihat semasa berpantang ialah amalan meminum ubat periuk atau akar kayu. Amalan ni memang Mas dah amalkan sejak dari anak pertama lagi, tak lengkap berpantang tu kalau tak minum. Cuma Mas akan mula minum selepas anak dah disahkan bebas dari jaundis. 

Banyak kebaikan dan khasiat minum ubat periuk ni, antaranya:

1. Membersihkan darah kotor.
Macam Mas biasanya lepas hari ke-20 darah nifas tu akan keluar sikit² je. Tapi bila Mas mula minum ubat periuk ni, darah nifas tu keluar kembali dan dapat bersihkan darah kotor yang masih berbaki tu.

2. Melancarkan darah dan jugak membersihkan rahim selepas bersalin.

3. Memulihkan kesihatan badan serta melancarkan pengeluaran susu.

4. Menyihatkan dan menegangkan kembali otot² perut yang telah kendur dan menghangatkan badan serta membuang angin dalam badan. Yang ni memang berkesan pada Mas, sebab lepas 20 hari Mas berurut. Pastu tukang urut tu cakap urat² Mas semua dah kecut dan rahim pun dah kecut. 


Nak minum ubat periuk ni pun senang je, hanya rebus satu peket tu dengan 2 liter air sehingga mendidih. Pastu kalau kita menyusukan baby hanya minum secawan pada waktu pagi sahaja, ini untuk mengelakkan bayi terlalu panas. Macam Mas minum waktu pagi memang berpeluh² badan, rasa segar. 

Nak simpan pun senang, letak je air rebusan tu dalam peti sejuk. Nanti bila nak minum ambil sesenduk dan campurkan dengan air panas mendidih. Rasanya memang agak pahit, tapi itulah khasiatnya untuk badan kita. Minum panas² lagi sedap, tak terasa langsung rasa pahitnya. 

Pastu lepas habis 44 hari pantang pun boleh amalkan jugak minum untuk jaga peranakan kita dan jugak boleh dijadikan perancang kehamilan. 

Isnin, 23 Oktober 2017

Ada baby, blog terabai?

Assalamualaikum...(^ ^)

Fuhhh fuhhh fuhhh, memang betullah bila ada baby ni masa tu sangat terhad. Rasa macam 24 jam tu tak cukup je, sedar² dah nak malam. Pastu masa untuk blog ni seolah² takde langsung, kadang nak tengok pun tak sempat. Mana taknya baru nak capai tab anak dah nangis nak susu, pastu anak berak pulak, pastu anak bangun dari tidur.  Akhirnya satu apa pun tak sempat tulis! 

Tapi apa pun Mas cuba jugak curi² masa untuk menulis, itu yang boleh dapat 1 hari 1 entri. Cuma kadang tu dah petang baru sempat tulis, kadang tu dah malam baru muncul entrinya. Itu pun sempat tulis sebab Aiyra dah tidur, dapatlah mama mengarang entri. 


Sebelah siang tu bukannya takde masa atau tak sempat, cuma kadang tu banyak sangat kekangan. 12 jam tu dari mula bangun tidur memang banyak ditumpukan untuk Aiyra je, yelah dia menyusu pun dah 2 jam sekali. Belum campur meragam tak mau tidur, camnelah mama nak capai tab update blog. Lagi satu husband dah mula bekerja jadi bab masak lauk pantang semua Mas kena buat sendiri dah, sebab itulah kekangan tu banyak.

Pastu satu lagi bila dah banyak kekangan tu, idea nak menulis pun jadi sendu. Kadang puas jugak fikir cerita apa nak dikarang, jadi apa lagi tengok anak dan cerita pasal mereka jelah. Pastu masih dalam pantang kongsilah cerita hal² berpantang, mana tau boleh beri ilmu pada orang lain. Janji blog tak terabai kan, tak kisah tulis entri pasal apa pun. 

Apa pun Mas cuba yang terbaik, tak naklah jadikan anak sebagai alasan tak boleh tulis entri. Mas masih sayang blog ni dan masih nak dia bernyawa, jadi sekurangnya biarlah ada entri yang boleh dibaca oleh pembaca. Sehari 1 cerita pun dah memadai kan? 

Jumaat, 20 Oktober 2017

Bila adik Aiyra lahir

Assalamualaikum...(^ ^)

Selepas Aiyra lahir reaksi ketiga² mereka ni memang berbeza, masing² ada rasa keterujaan tu. Lagi pun jarak umur mereka dengan Aiyra agak jauh beza jadi tahap keseronokan tu pun berbeza. 


Dimulakan dengan kakak Atikah, dia memang bersikap biasa dari awal Mas mengandung sehingga dia tahu Aiyra dah lahir. Memang lambat sikit dapat tengok Aiyra sebab dia di asrama, hari ke-8 barulah dia dapat tengok adik barunya. Reaksi dia mula² nampak adik biasa je, nak cium adik pun jenuh mama suruh. Nak pegang dan dukung adik pun nak tak nak, alasan tak berani sebab adik masih kecil. 

Tapi bila balik cuti sekolah sempena Deepavali ni seminggu, Mas tengok dia dah mula kisahkan Aiyra. Kalau adiknya berjaga dia dah mula main² dengan Aiyra, pastu siap kacau lagi kawan tu tidur. Dukung adik pun dah berani tapi bila mama suruh jelah, kalau tak memang dia tak angkat adiknya. Bab suruh tukarkan diapers adik dia masih tak boleh buat, tak reti katanya sebab dah lama takde adik. Hehehee lama² nanti bolehlah tu, kakak mana tak sayang adik kan?


Abang Arfan pulak dari awal agak kecewa jugak bila tahu akan dapat adik perempuan, yelah dia kan idamkan adik lelaki. Bila adik dah lahir berkali² dia tanya babahnya dapat adik apa? Bila cakap adik perempuan terus cakap, "Laaa bukan adik lelaki ke?" Hehehee, memang kesian kat dia tapi Allah dah takdirkan dapat adik perempuan kan. Tapi bila dapat tengok muka Aiyra terus hilang rasa tak puashati tu, sayang terus kat adiknya. 

Kalau adik tu jaga memang mengadap jelah, nak sangat main dengan adiknya. Balik sekolah pun sama, adik dulu yang dicarinya. Pastu teringin jugak nak dukung adik tu, tapi Mas tak bagi lagi sebab Aiyra masih kecil kan. Dah besar sikit nanti memang ada peluanglah abang nak dukung.

Haaaaa yang paling teruja sudah tentulah kakak Airis, orang yang paling tak sabar tunggu adiknya lahir. Selagi tak tengok muka adiknya depan², selagi tulah dia tanya bila boleh tengok adik. Tunjuk gambar pun tak puashati, siap cakap nak tengok depan² sebab nak pegang tangan dan kaki adik. Hari kelima baru dia berpeluang tengok adik selepas Aiyra keluar wad, seronok dan teruja jangan cakaplah. 


Sekarang dialah peneman dan pengacau setia, bila² masa je. Kadang adik tidur boleh terjaga dikacaunya, dicium dan cuit sampai adik jaga. Pastu asyik minta nak dukung adik, kalau tak bagi macam² dia cakap. Jadi terpaksa bagi jugak sekejap, nak puaskan hati dia. Apa lagi senyum lebarlah! 

Itulah anak² mama, macam² karenah bila adik lahir. Tapi mama tahu korang seronok, teruja dan sayang adik. Masing² tak sabar tunggu adik besar, nak main² dengan adik. Mama pun tak sabar nak tengok!

Khamis, 19 Oktober 2017

Ajar anak menyusu botol

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebagai ibu bekerjaya sudah pasti sebelum kembali bekerja selepas cuti bersalin kita nak anak dah pandai menyusu botol. Ini untuk memudahkan bila nak tinggal anak dengan pengasuh atau di taska. Tapi persoalannya bila masa yang sesuai untuk ajar anak menyusu botol, masa usianya berapa bulan? 

Macam Mas bila baby dah berusia 2 bulan, Mas akan mula ajar dia menyusu botol. Mas akan sediakan stok EBM secukupnya untuk dia menyusu gunakan botol, tapi hanya sebelah siang. Sebelah malam pulak Mas akan direct feeding, sebab tak nak ikatan Mas dan baby renggang. Sebelah siang memang botol sepanjang masa sebab Mas tak nak dia ada masalah menyusu botol semasa di taska.


Pastu masa nak ajar anak menyusu botol ni kena sabar dan tekad, jangan fikir kesian atau tak sanggup. Sebabnya kita akan lagi tak sanggup hadapi bila anak tak mau susu botol semasa di taska, lagi tak senang hati nak kerja. Macam Mas sepanjang nak ajar tu sebelah siang Mas tak akan direct feeding langsung, mula dari 8 pagi hingga 6 petang akan bagi dia menyusu botol. Selepas tu baru direct feeding, barulah dia akan biasa dan pandai menyusu botol. 

Lagi satu masa nak ajar tu kena pastikan stok susu mencukupi, sebelum ajar tu kena mula simpan stok. Nak ajar tu pulak kena banyak bersabar, sebab baby kita bukannya akan pandai serta merta. Dia akan ambil masa untuk biasakan diri dengan puting botol susu tu. Kadang tu ada baby tak mau langsung, jadi kita kena pandai ajar dia. Kalau puting susu dia tak mahu, cuba ikhtiar tukar puting lain. Kena usaha, mesti akan boleh punya.

Pastu kalau nak keluar atau waktu cuti jangan berhenti pulak bagi dia menyusu botol sebelah siang, kena teruskan. Nanti kalau dia dah syok menyusu terus dari kita, nak mula semula dengan botol akan hadapi masalah. Macam Mas memang tak berhenti walaupun keluar jalan² ke atau bercuti ke, sebab Mas nak anak biasakan dengan minum EBM dari botol pada sebelah siang. 

Rabu, 18 Oktober 2017

Menu² pantang

Assalamualaikum...(^ ^)

Bila dalam tempoh berpantang apa yang Mas paling suka adalah menu²nya, pakej tau makan menu berpantang ni. Apa pakejnya? Di samping boleh makan secara sihat, boleh jugak dapatkan semula berat badan ideal. Dalam istilah lain, dapatlah teruskan semula misi kurus Mas.


Tapi ada jugak yang cakap, kau menyusukan anak buat apa nak kuruskan badan. Boleh apa, janji kita makan makanan yang berkhasiat serta kurangkan pengambilan garam, gula dan minyak. Pastu cara memasak tu, pastikan kukus atau grill dan buat sup pun boleh. Menu² berpantang tu pulak biarlah ada makanan yang boleh galakkan pertambahan susu badan. Haaaaa boleh apa nak kuruskan badan dalam pantang walaupun menyusukan anak.

Mas ni jenis tak memilih kalau makan menu² pantang ni, Mas suka yang ringkas dan mudah dimasak. Setiap hari menu yang sama pun Mas tak kisah, janji berkhasiat dan boleh kenyangkan perut. Sekarang Mas hanya makan ikan tenggiri dan ikan salmon je, pastu buat jugak sanggai ikan bilis untuk penambah selera. Sayur pulak Mas pilih lobak putih dan sawi putih, kadang tu ada jugak ulam pegaga. 


Cara masakan pulak biasanya husband akan grill, bakar atau buat singgang ikan² tu. Pastu untuk sayur akan buat sup atau grill sahaja. Pastu dimakan dengan nasi panas yang diletak lada hitam dan sanggai ikan bilis, fuhhh 2 senduk nasi boleh habis. Tapi Mas makan nasi sekali sehari je, tak boleh makan lebih² nanti lambat pulak capai berat ideal tu. 

Memilih menu berpantang ni sebenarnya tak susah, janji kita makan menu yang tak mendatangkan kesan sampingan pada kita dan jugak baby. Makanan yang berangin, sejuk, bisa atau gatal tu elakkan, sebab semua tu boleh datangkan kesan. Pilih menu yang sesuai, janji berkhasiat. Inilah antara pilihan menu² pantang Mas setakat ni. 



Selasa, 17 Oktober 2017

Misi banyakkan susu

Assalamualaikum...(^ ^)

Setiap kali ada baby, menyusukan anak dengan susu ibu adalah perkara utama. Setiap masa kita nak keperluan susu tu mencukupi untuk baby kita sepanjang hari, ikut keperluan dia setiap masa. Jadi sudah tentulah pelbagai cara kita lakukan untuk banyakkan air susu, terutamanya dari segi pemakanan. 

Macam Mas, menyusukan Aiyra kali ni agak berbeza dari anak² sebelum ni. Maklumlah Aiyra lahir agak besar, jadi demand dia terhadap susu agak tinggi. Setiap 2 jam sekali dia akan bangun untuk menyusu, untuk itu Mas kena sentiasa pastikan susu cukup setiap kali dia nak menyusu. Jadi Mas kena jaga pemakanan dan banyakkan makanan yang boleh tambahkan susu. 


Salah satunya Mas makan Sup Lobak Putih, Mas akan buat sup untuk makan dengan nasi. Sebelum ni memang tak pernah makan lobak putih, tapi kali ni Mas cuba dan alhamdullilah boleh galakkan pertambahan susu. Sejak dalam pantang ni selang sehari husband akan buatkan Sup Lobak Putih ni, rasa dia biasa je dan Mas boleh makan. Janji boleh tambah susu untuk keperluan Aiyra!

Pastu satu lagi Mas minum milo dan minum susu segar, itu pun dapat tambahkan susu jugak. Ada orang kata minum milo boleh sembelit, tapi bagi Mas tak pun. Mas minum milo panas yang ditambah dengan susu segar Dutch Lady tu, alhamdulillah dapat galakkan susu jadi banyak. Mas ikhtiar je apa pun, yang penting nak susu sentiasa banyak dan Aiyra dapat menyusu sehingga umurnya 2 tahun.


Supplemen pun Mas makan jugak, dan pilihan Mas sudah semestinya Virgin Coconut Oil a.k.a VCO. Itu memang milk booster Mas dari susukan Airis dulu lagi, meriah susu bila makan VCO ni. Itu jelah usaha Mas, moga susu makin meriah dan meriah setiap hari. Lepas Aiyra dah 2 bulan nanti nak buat stok pulak, moga dipermudahkan!

Isnin, 16 Oktober 2017

Jaundis Aiyra beransur baik

Assalamualaikum...(^ ^)

Anak² Mas yang perempuan memang tak dapat dipisahkan dengan jaundis ataupun kuning, semuanya kena prolong jaundis. Atikah dulu sampai 2 bulan kuning kulitnya, macam² petua kami ikhtiar tapi akhirnya ia baik sendiri. Masa Airis pulak paling teruk kuningnya, sampai cecah bacaan 380. 4 hari jugak masuk wad, jalani rawatan fototerapi. Dah keluar wad dekat 3 minggu jugak nak hilang kesan kuning tu.


Sekarang giliran Aiyra pulak, dari hari kedua masa di wad NICU dia dah kena jaundis. 4 hari jugak dok kena fototerapi, sehingga masa discaj kuningnya masih 200. Jadi mulai dari hari keenam hinggalah ke hari ni setiap hari kena pergi ambil darah untuk tengok bacaan kuning dalam darahnya. Masa hari keenam tu naik semula dari 200 ke 237, alahai risau sangat masa tu sebab takut kena masuk wad semula. Nasiblah doktor bagi balik dan suruh datang lagi ambil darah hari Isnin.

Dari dari Isnin sampailah Jumaat minggu lepas ambil darah, bacaan turun ke 150 lebih. Tapi setiap hari bacaan tu hanya turun 1-2 je, hurm memang kesian kat Aiyra hari² kena cucuk kaki untuk ambil darah. Masa kali terakhir ambil darah hari Jumaat bacaan 152, jadi masih kena datang lagi hari Isnin.  
        

Hari ni lagi sekali Mas ke klinik dan alhamdulillah lega selega leganya, lepas ni tak perlu dah ulang alik ke klinik setiap hari. Tadi bacaan kuning dalam darah Aiyra dah turun ke paras 115, walaupun belum bawah 100 tapi bacaan tu bukan di paras bahaya dah. Cuma kena kerap dan kerap bagi susu badan sehinggalah kuning tu hilang.

Memang kulit Aiyra masih nampak kekuningan lagi, doktor kata ia akan hilang nanti bila bacaan dah turun bawah 100. Menyusu jelah untuk kurangkan kuning tu, dan Aiyra bagus bab menyusu ni. Setiap 2 jam sekali automatik dia akan bangun untuk menyusu, setiap kali menyusu dalam ½ jam jugak. Memang demand susu dia agak tinggi dan kerap, sebab itulah agaknya kuning dia dah beransur baik. 

Jumaat, 13 Oktober 2017

Peneman dan pengacau setia

Assalamualaikum...(^ ^)

Bila tau je adik dah selamat dilahirkan, dialah yang paling tak sabar nak tengok adik. Berapa kali tanya babahnya bila Airis boleh tengok adik. Bila tunjuk gambar dia kata "Airis tak nak tengok gambar, nak tengok adik betul²!" Tapi nak buat camne adik kena masuk wad 5 hari, memang setiap harilah dia akan tanya bila nak bawak adik balik. 


Bila adik dah keluar wad, dialah orang paling gembira. Nampak je adik depan mata terus diusik dan diciumnya, senyum lebar lagi. Naik kereta pun nak duduk depan dekat adik, kalau boleh sesaat pun tak nak jauh dari adiknya. Sampai kat rumah pulak siap nak mandikan adik lagi, siap cakap kakak pandai mandikan adik. Hehehee memang tak sabar dia!

Sekarang dialah peneman dan pengacau setia adiknya, bangun tidur terus cari adik. Balik sekolah pun sama, adik dulu yang diusiknya. Kalau adik tidur pun tetap dikacau, cuit dan usik sana sini. Kadang sampai terjaga adik diusiknya, pastu seronoklah dia bila adik bangun. Mama nak halang memang tak boleh, cuma kena sentiasa perhatikan. Bukan apa Airis ni dia berani sikit, risau je diangkatnya adik tu. 


Itu pun memang dia tak sabar nak buat macam² kat adiknya, terutama nak dukung dan mandikan adik. Siap cakap "Adik dah besar sikit nanti mama kena bagi kakak Airis mandikan dia, pakaikan dia baju dan bagi dia makan!" Hehehee, menghitung hari tu nak tunggu adik membesar!

Nanti kalau adik dah makin besar dan pandai main, mesti dia paling seronok. Tak sabar nak tengok mereka main sama², hehehee! 

Khamis, 12 Oktober 2017

Nur Aiyra Annasya

Assalamualaikum...(^ ^)


Hari ni dah 10 hari umur Nur Aiyra Annasya, puteri tembam kami tu. Kejap je masa berlalu, sedar² nanti dah nak masuk sebulan. Alhamdulillah Aiyra tak banyak ragam, senang je nak jaga dia. Kalau waktu siang dia hanya tidur dan bangun menyusu 2 jam sekali, kalau menangis pun bila diapers dah basah atau berak. Kalau waktu malam pulak dia tak meragam sangat, macam biasalah menangis bila nak menyusu atau diapers basah. 

Selain dari tu dia tidur lena je, cuma kadang tu nak tidur berpangku atau berpeluk. Kalau tak dia akan berjaga dan merengek² jugak, bila dapat tidur camtu syoklah dia. Tapi mamalah dok lenguh tangan pangku dia yang tembam tu, hehehee!


Perkembangan tumbesaran dia Mas tengok memuaskan, makin hari tengok dia makin tembam dan bulat. Menyusu pun bagus, setiap 2 jam sekali dan bila menyusu dalam 30-40 minit. Kadang mama kena makan lebih sikit sebab risau susu tak cukup untuk dia, maklumlah dia lahir besar. 

Moga si tembam mama, Nur Aiyra Annasya membesar dengan sihat. 

Rabu, 11 Oktober 2017

Pantang bersalin sendiri

Assalamualaikum...(^ ^)

Nak lalui tempoh berpantang ni bukanlah perkara yang mudah, kalau boleh kena ada seseorang yang lebih arif untuk bersama dengan kita ketika lalui tempoh tu. Biasanya kita akan panggil mak atau mak mertua untuk tolong jagakan kita semasa pantang tu.


Macam Mas masa anak pertama dan kedua memang arwah mak yang jaga ketika berpantang, 60 hari tu. Jadi pantang tu sangat dijaga dengan betul, terutama dari segi kesihatan diri dan makanan. Arwah mak sangat berpegang pada pantang tradisional sepenuhnya, jadi nak tak nak memang kena ikut. Jangan harap nak kata tak mau, siaplah kena leter nanti. Tapi Mas memang ikut je, tak berani nak melawan. Lagi pun masih muda masa tu dan tak tau apa² pasal berpantang ni, jadi ikut semuanya untuk kebaikan dan kesihatan diri.

Cuma bila dah masuk anak nombor tiga dan empat ni Mas terpaksa berpantang sendiri sebab mak dah takde, nak harapkan mak mertua tak boleh sebab dia pun tak berapa sihat. Mula² rasa ragu² jugak, boleh ke Mas jaga diri sendiri dalam pantang. Dengan nak jaga anak lagi, hanya husband je yang ada membantu. Tapi Mas cuba yakinkan diri yang Mas boleh, cuma ikut dan ingat balik apa yang arwah mak utamakan semasa dalam pantang. Alhamdulillah Mas berjaya berpantang dengan sempurna dan takde masalah apa², syukur jugak husband banyak membantu.


Sebenarnya nak pantang bersalin sendiri ni kita kena yakin dan disiplin, pastu ikut betul² pantang tu. Jangan fikir susah nak ikut, kalau kita fikir camtu maka akan susahlah. Maka kita akan berpantang sambil lewa, kesihatan diri tak jaga dan makan pun main bedal je. Dengan alasan takde orang nak jaga! Sekarang ni kan dah ada macam² perkhidmatan jaga orang dalam pantang, kalau kita mampu guna je perkhidmatan mereka. Yang penting kita dapat berpantang dengan betul dan kesihatan diri terjaga. 

Pastu husband pun kena sentiasa bantu isteri berpantang ni, jangan buat tak tahu atau sambil lewa. Tegas sikit pada isteri supaya dia ikut semua pantang dengan betul, barulah berjaya. Kalau husband buat tak endah, isteri pun tak akan ikutlah. Sama² jaga untuk kebaikan rumahtangga jugak kan?

Selasa, 10 Oktober 2017

Pengalaman anak masuk NICU

Assalamualaikum...(^ ^)

Kelahiran Aiyra bagi Mas kali ni memang satu keistimewaan, dia ajar Mas lebih banyak bersabar dan hadapi dugaan dengan tenang. Aiyra lahir agak besar dengan berat 4.2kg, pertama kali Mas lahirkan anak berat lebih 4kg.

Jadi selepas lahir Aiyra hadapi masalah gula rendah atau dipanggil hypoglycemia, masa lahir tu gula dalam darah dia hanya 2.3. Sepatutnya kena lebih dari 3.0. Disebabkan masalah tu Aiyra terpaksa ditempatkan di wad NICU untuk pemantauan rapi. Malam pertama selepas bersalin tu memang Mas seorang diri di wad, nak tengok Aiyra pun tak boleh sebab jarak wad yang agak jauh. Mas nak pergi jalan sendiri memang tak mampu sebab luka jahitan masih sakit. 


Perasaan masa tu sedih sangat, terpaksa berjauhan dengan baby yang baru dilahirkan. Hanya sempat bagi dia susu badan selepas lahir je, pastu satu malam tu memang tak susukan dia. Esok hari barulah Mas berpeluang tengok Aiyra di NICU selepas husband datang, terpaksa bergerak guna kerusi roda. 

Masuk je dalam wad NICU tu perasaan terus sebak dan sedih, mana taknya kiri kanan tengok baby yang macam² masalah kesihatan. Ada yang dalam kaca, pakai tiub sana sini, pakai oksigen dan wayar berselirat. Aiyra ditempatkan di NICU2, wad untuk baby yang bukan dalam keadaan kritikal. Tapi menitis jugak airmata Mas bila tengok dia kena drip dan banyak kesan cucuk kat kaki, maklumlah kena check gula setiap 4 jam sekali. 

Dia kena drip air gula jugak sebab kandungan gula dalam badan dia turun naik, tak stabil. Kalau boleh doktor nak kekal 3.0 ke atas je, barulah boleh hentikan drip. Pastu hari kedua di wad dah naik kuning pulak sebab kurang menyusu badan kan, kena buat fototerapi. Mas tak dapat nak temankan dia di wad sebab takde katil kosong, pastu nak bekalkan stok susu pun tak boleh. Masa tu susu belum banyak lagi, perah dan pam pun langsung tak mahu keluar. 


Haaaaa nak cakap perasaan masa tu memang stress, dengan keadaan diri kita yang masih sakit lagi. Pastu anak pulak masih di wad dengan keadaan yang belum pulih, memang sedih. Tapi bila Mas berkenalan dan jumpa mak² lain yang jaga anak di NICU, Mas jadi kuat. Sebab ada sesetengah mak tu dah berbulan² dok tunggu anak dia untuk pulih dan boleh bawak balik. Kesian tengok mak² ni tapi mereka lalui hari² tu dengan sabar, doa mereka cuma nak anak cepat sembuh. 

Alhamdulillah Aiyra dibenarkan keluar wad pada hari kelima, lega sangat! Tapi Mas tak akan lupakan pengalaman tu dan Mas doakan anak² yang masih ada di NICU tu cepat sembuh.

Isnin, 9 Oktober 2017

Kelahiran si tembam Aiyra

Assalamualaikum...(^ ^)

Fuhhhhh minggu lepas tak dapat nak tumpukan perhatian pada blog, sempat tulis 2 entri je. Maklumlah Mas kan baru bersalin, pastu 5 hari dok berkampung kat wad NICU gara² baby masuk wad sebab hypo dan jaundis. Hari kelima baru keluar wad dan barulah dapat uruskan diri dalam pantang dengan sempurna, kalau tak hari² sakit badan. Alhamdulillah masuk hari kelapan badan dah beransur sihat dan kuat, itupun kesan dari bersalai dan bertungku setiap hari. 


Jadi badan dah sihat ni Mas nak kongsikan cerita dan pengalaman melahirkan si tembam Aiyra ni. Ohhh nama dah ada tau, baru hari ni babahnya pergi daftar kelahiran. Nur Aiyra Annasya nama puteri Mas, yang bermaksud cahaya, mulia dihormati, kemesraan cinta. Moga dia membesar sebagai anak yang baik akhlaknya secantik namanya. 

Alhamdulillah lahirkan Aiyra Mas tak hadapi komplikasi atau masalah, dipermudahkan semuanya. Mas mula sakit rengat² yang agak kerap mula jam 1 pagi pada 2/10 tu. Tapi masa tu masih boleh bertahan sehingga jam 1 tengahari sebab sakitnya tak terlalu kuat. Pukul 2 petang terus ajak husband ke Hospital Serdang walaupun belum turun tanda, cuma sakit tu semakin kerap dalam 5 minit sekali. 

Sampai di hospital kami dimaklumkan yang dewan bersalin agak penuh hari tu, yang menunggu nak masuk je dalam 38 orang. Mereka siap cakap kalau tak sanggup nak tunggu, suruh kami ke hospital lain. Mas tak mahu sebab sakit dah agak kuat, biarlah kena tunggu janji dapat masuk dan tengok bukaan. Bila dah dipanggil dan nurse tengok, bukaan dah 7cm. Apa lagi terus doktor pecahkan air ketuban dan terus tolak masuk ke bilik bersalin. 


Masuk dalam bilik bersalin pukul 3.30 petang dan pukul 4.40 petang Mas selamat lahirkan Aiyra. Sejam je sakit dan hanya dua kali teran lahirlah bayi seberat 4.2kg ni, memang tak sangka semangat betul dia. Yang paling berharga bila kali ni husband berpeluang tengok Mas lahirkan anak kami, pengalaman indah bagi dia sebab anak² sebelum ni dia tak merasa tengok. Lega ada rezeki dia kali ni! 

Itulah pengalaman lahirkan Aiyra, lega dipermudahkan segalanya. Memang berbeza bagi keempat² anak Mas tapi semuanya pengalaman yang bermakna. Lepas ni Mas pencen dah, nak lihat anak² membesar pulak. Hehehee, pasang badan sekalilah kan?

Khamis, 5 Oktober 2017

Hasil kerja abam bomba

Assalamualaikum...(^ ^)

Kalau yang dah lama ikuti blog Mas pasti pernah terbaca pasal husband ada buat bisnes part time. Masa awal² dulu memang kencang sikit bisnes tu, banyak jugak ambil tempahan. Tapi disebabkan kekangan masa terpaksalah husband kurangkan tempahan, hanya terima yang betul² mendesak je.


Inilah sedikit pendapatan tambahan keluarga kami hasil kemahiran husband. Memang dari mula kenal, dia ada kepandaian buat grill ni. Jadi gunakanlah kemahiran tu ke arah yang mendatangkan hasil kan, tapi takdelah buat besar²an pun. Cukuplah sekadar tambah pendapatan di saat memerlukan atau kesempitan wang. Nak buat bisnes tu secara konsisten memang tidaklah sebab husband bekerja tetap kan, jadi kekangan masa dan tenaga tu yang menghalang.

Yang dia buat ni pun sebab jiran sebelah rumah minta tolong, jadi ambil jugaklah tempahan. Pastu tempahan tak banyak dan design grill pun mudah je, jadi tak memerlukan masa yang banyak untuk siapkan. Bolehlah tambah duit poket sikit kan, hehehee! Anak pun dah bertambah jadi ada tempahan sikit² camni husband buat jelah, rezeki anak² jugak tu.



Hasil kerja husband, ini yang basic je. Alhamdulillah setakat ni yang tempah ramai berpuashati, kepandaian dia kan. Grill rumah pun memang semua dia buat sendiri, jimat!

Selasa, 3 Oktober 2017

Lahirnya seorang puteri

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah syukur Ya Allah!

Dah selamat semuanya semalam, lahirnya seorang puteri kesayangan kami. Tak sempat pun tunggu cuti bersalin bermula 4/10/2017, baby dah tak sabar nak tengok dunia. Dah tak sabar nak jumpa mama, babah, kakak Atikah, abang Arfan dan kakak Airis.


Haaaaa tapi paling tak sangka, semangat betul anak mama. Patutlah masa mengandung perut mama bagai belon nak meletup, pastu kakak Airis dok cakap perut mama gemuk. Sekali lahir, 4.2kg berat baby. Fuhhh terkejut mama! Nasib masa lahirkan mudah je, 2 kali teran adik dah keluar. Nanti Mas kongsikan pengalaman melahirkan si puteri baru kami ni.

Nama dah ada beberapa pilihan, cuma tak buat keputusan lagi mana yang sesuai. Nasiblah cari jugak nama perempuan, sebab naluri mama dok asyik cakap baby lelaki je. Tapi sebab 4 kali scan doktor cakap baby perempuan, tu yang cari jugak nama perempuan

Lega dah selesai semuanya dan dipermudahkan, tunggu keluar wad je ni pastu nak jalani tempoh berpantang dengan sebaiknya. Terima kasih pada kawan² yang dah ucapkan tahniah di Facebook dan Instagram. Nanti Mas kongsikan gambar si tembam Mas tu ye!

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com