Logo KBBA

terkini dan sensasi

Rabu, 28 Februari 2018

Nur Aiyra Annasya : 5 bulan

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaaa hari ni umur Aiyra dah genap 5 bulan, bermakna cuti tanpa gaji mama tinggal sebulan je lagi. Hadoiii camne ni, mama belum bersedia nak kembali bekerja. Hahahaa, syok wooo dok rumah berkepit dengan anak² je. Walaupun stress tapi masih boleh senyum bila tengok gelagat anak², kalau kat pejabat takde nak senyumnya tengok muka boss yang kelat tu. 

Tapi nak buat camne kan, Mas kena bekerja jugak demi bantu suami cari rezeki. Berbalik pada Aiyra yang dah 5 bulan ni, jadi dah masuk fasa untuk Mas perkenalkan dia pada makanan pejal. Sebulan ni kena belek² semula resepi bubur² dan puree² masa kakak Airis dulu, kumpul siap². Nanti bila dia dah nak masuk 6 bulan senang sikit, aihhh tak sabar nak tengok anak nganga² nak makan. 


Di usia 5 bulan ni Aiyra dah semakin bijak, dah semakin kenal suara mama dan babahnya. Kalau dengar je mama atau babah panggil berpusing² kepala mencari, nampak je terus menyengih. Kepandaian dia pulak dah mengangkat lutut dan punggung macam orang nak merangkak, tak lepas je mengamuk. Mas tengok Aiyra ni berbeza sikit, lepas pandai meniarap dia tak melaju pun. Tapi terus nak merangkak dan duduk, haaa lepas tu agaknya baru dia melaju kot. 

Kesihatan dia pulak, alhamdulilah baik! Takdelah kena demam kuat ke atau sakit perut yang serius, hanya pernah sekali demam dan selsema. Meragam memang dia jarang sangat, sampai jiran sebelah bertanya camne Mas jaga anak tak meragam waktu malam. Siap tanya petua lagi, petua Mas senang je. Anak kenyang dan sihat lenalah dia tidur kan?

Menyusu pulak masih susu Mas sepenuhnya, mama sentiasa gigih demi dia. Sekarang sekali menyusu dah 4oz, 2 jam sekali. Setakat ni serasi je dia menyusu botol, cuma kadang² dia buat² tak nak kalau mata dah mengantuk. Jadi kena pujuk elok², barulah dia nak menyusu sampai habis. Harap di taska nanti dia boleh menyusu botol dengan baik. Tapi Mas tak risau sangat sebab masa dah bekerja nanti dia dah 6 bulan, dah boleh makan. Jadi kalau dia tak nak menyusu botol, makanan pejal tu yang boleh kenyangkan perut dia. 

5 bulan dah awak ye Nur Aiyra Annasya! Sebak mama sebab cepat betul anak² mama membesar.

Selasa, 27 Februari 2018

Camne nak kekal menulis setiap hari

Assalamualaikum...(^ ^)

Setakat ni dalam tahun 2018 masih mampu lagi tulis blog setiap hari, dari tarikh 1/1/18 hingga semalam 26/2/18 masih kekal 1 hari 1 entri. Walaupun dihalang oleh kekangan masa, idea, sibuk uruskan anak² dan rumahtangga tapi masih jugak dipermudahkan, muncul jugaklah entri setiap hari.

Camne nak kekal dan camne nak konsisten, bukan mudah wooo terutamanya bab idea dan masa. Kalau idea tu tak nak muncul² memang bawa ke petang atau malamlah baru ada entri, jenuh perah otak. Pastu walaupun masih bercuti dan orang tengok macam banyak masa terluang, sebenarnya tak pun. Lagilah tak cukup masa sebab macam² nak kena buat, bila Aiyra tidur masa itulah nak pam susu dan uruskan rumah. Sedar² blog belum update, mulalah terkejar² nak menulis. 


Jadi untuk kekal tulis setiap hari Mas kena manfaatkan masa yang terluang, ada je idea dan masa terus tulis draf dulu dan simpan. Dapat 2-3 draf cukuplah untuk 2-3 hari, nanti dah lengkap terus publish je. Macam masa Mas bercuti ke Langkawi tu Mas tetap kekal update setiap hari kan, sebabnya Mas dah susun dari awal entri apa nak tulis. Mas tulis tajuk dulu ikut perancangan percutian dan tempat mana nak dilawati dan kisah apa nak dikongsi, bila malam sikit Mas karanglah ayat. Masukkan gambar dan perbetulkan mana yang patut, terus set tarikh dan masa untuk publish esok harinya. 

Sebenarnya bila bercutilah seronok, mudah nak dapat idea tulis entri. Kalau dok kat rumah je memang jenuh fikir dan fikir idea, tengok anak dan tengok sekeliling masih takde idea. Buka blog kawan dan buka entri lama, haaa masih tak membantu. Akhirnya saat nak masuk tandas baru idea muncul, hahahaa! 

Cuma nak kekal menulis setiap hari ni, pokok pangkalnya pada kita. Kalau rajin, maka pasti ada entri. Tapi kalau malas, ada idea dan masa pun tak guna jugak. Disiplin tu kena ada

Haaa ada jugak idea tulis entri untuk hari ni walaupun dah jam 6 petang! 

Isnin, 26 Februari 2018

Dah dapat taska untuk Aiyra

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebulan je lagi mama boleh kepit² dengan kamu wahai Aiyra, 4/4/2018 akan kembalilah mama bekerja. Masa tu kamu akan tinggal di taska dari jam 7 pagi hingga 5 petang, alaaaa rindulah mama nanti.


Alhamdulillah taska untuk Aiyra pun dah ada, pemiliknya pun dah bagitau masih ada kosong. Sebabnya kat situ ada sorang je bayi berumur 9 bulan, pastu nanti Aiyra dah masuk ada 2 orang. Haaa lega sikit Mas sebab tak ramai baby, nanti bolehlah mereka bagi tumpuan lebih sikit pada Aiyra kan? Lagi pun dia paling kecil, mesti dapat perhatian lebih. Hehehee, takdelah sampai camtu. Mas cuma harap mereka dapat jaga dia dengan baik je, biarlah setimpal dengan apa yang Mas bayar.

Taska ni dekat sangat dengan rumah Mas, sebab itulah ia jadi pilihan. Bukannya apa Mas nak memudahkan sekiranya ada apa² hal, husband dekat untuk pergi tengok. Pastu kalau Mas terpaksa balik lambat ke, boleh jugak dia yang ambilkan atau kakaknya pun boleh. Takdelah Mas nak risau dan kelam kabut fikirkan pasal anak bila di pejabat, sebab ada husband boleh uruskan jika ada kecemasan. Pastu tak perlulah nak hantar awal pagi sangat, yelah Mas kan 6.15 pagi dah keluar. Kalau taska jauh kenalah angkut Aiyra pepagi, bila taska dah dekat ni senang babah dia je boleh hantar jam 7 pagi.


Pastu bayaran taska sebulan sekarang untuk baby tak dapat dah RM300, taska Aiyra ni RM380 sebulan. Mula masuk kena bayar deposit sebulan + yuran bulan pertama, hurmm kerja keras laaa ni untuk anak² je. Tapi takpe, janji anak Mas dapat dijaga dengan baik sepanjang Mas bekerja cari rezeki. Moga Aiyra serasi kat taska tu nanti dengan penjaga² dia, nak menyusu botol dan boleh tidur tanpa buai. 

Haaa risau dah mama, maklumlah 6 bulan dia dengan Mas je tanpa pernah berenggang. Takpe Mas doa je Aiyra akan serasi, Aiyra anak yang baik kan?

Ahad, 25 Februari 2018

Terjebak drama Mr London Ms Langkawi

Assalamualaikum...(^ ^)

Cuti tanpa gaji berbaki sebulan je lagi, jadi bolehlah nak terjebak dengan drama swasta memalam tu. Nanti dah kerja memang tak kuasalah, lepas Isyak terus tidur je sebab esoknya pukul 4 pagi nak bangun dah. Haaa sebulan je lagi nak hadapi saat² tu, alaaa nak sambung cuti lagilah.


Berbalik pada terjebak drama ni, sekarang dok tengok Mr London Ms Langkawi pulak. Sebelum ni tak layan pun tapi semalam tertengok pulak ulangan, teruslah terjebak. Tapi semalam ulangan dari episod 5 dah, jadi episod awal² tu tak tengoklah. Nak layan kat Youtube malaslah pulak! Hehehee, kelakar je tengok watak si Izara Aishah dengan Zul Ariffin tu.

Seperti biasa drama² camni diadaptasi dari novellah, bagus jugak kekalkan trend camni sebab boleh naikkan nama penulis² novel di Malaysia ni. Mr London Ms Langkawi ni adalah karya dari Herna Diana, Mas tak tahu pun drama ni dari novel sebab memang dah jarang sangat baca novel ni. Nanti nak kena cari jugaklah, baru syok dapat baca novelnya kan?

Tapi cerita ni sebenarnya dah siap dari tahun 2017 lagi tapi baru tahun ni ditayang kat Astro. Memang ada episod penuh dan boleh tonton secara online, cari je kat google. Tapi Mas tak suka sangat tengok online ni, suka lagi tonton kat TV setiap hari. Walaupun ada yang dah tau atau dah tonton drama ni, Mas nak kongsi jugak sinopsisnya. 


"Aidid, seorang jejaka yang berpelajaran tinggi dan menetap di luar negara sejak dari kecil. Hatinya begitu berat apabila dipaksa oleh ayahnya untuk pulang ke kampung. Walaupun tak suka, dia menurut jugak kehendak ayahnya. Tiba di Langkawi, ketika menunggu seseorang untuk membawanya ke rumah Tok Wan, muncul seorang gadis bernama 'Liyana The Samseng'. Nurul Liyana adalah seorang gadis biasa dan tidak berpendidikan tinggi seperti Aidid, tetapi jiwanya besar. Rasa cinta terhadap tanah air cukup tebal. Setiap kali berjumpa, mereka berdua pasti bergaduh. Perbezaan taraf hidup dan pendidikan membezakan mereka berdua. Tetapi adakah keserasian akan wujud dalam jiwa Aidid Mukhlis dan Nurul Liyana?"

Kalau nak terjebak boleh tonton di Astro Warna HD setiap hari Rabu hingga Jumaat @ 9.00 malam. Kalau terlupa boleh tengok ulangan setiap hari Sabtu @ jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang.

Sabtu, 24 Februari 2018

Perubahan kakak Airis

Assalamualaikum...(^ ^)

Sudah tentulah bila ada Aiyra dia orang yang paling seronok dan teruja, kadang tu tak nak kongsi adik dengan abang dan kakaknya. Hanya dia sorang boleh main dengan adik dan pegang adik, kalau kakak abang nak pegang siaplah bergaduh. Kadang adik tengok pun jadi panik, dok bergaduh depan dia. Sudahnya mama bawak lari je adik, semua tak boleh pegang. Hahahaa!

Tapi satu yang Mas perasan sejak ada Aiyra ni dia dah banyak berubah, makin rajin dan makin dengar kata. Macam kalau nak suruh mandi punyalah susah, tapi bila nampak mama nak mandikan adik terus laju dia nak mandi. Kalau tidak jenuh nak suruh, dia nak mandi jugak tu sebab nanti dapat main dengan adik. Sebab mama dah cakap sapa belum mandi memang tak boleh pegang atau main dengan adik.


Lagi satu rajin bila disuruh terutama apa yang berkaitan dengan adik, laju je dia buat. Suruh sekali je, kalau tak berkali² panggil pun belum tentu nak tolong. Pastu tolong tu memang tak banyak tanya, buat je apa yang disuruh. Jadi sekarang kalau nak suruh dia tolong mama petik je nama Aiyra, hahahaa baru senang sikit nak minta tolong kan?

Nak jaga adik pun memang dah boleh harap sangat, diam je adik kalau dok dengan dia. Cuma kena peratikan lebih sikit sebab dia dah berani angkat adik, pantang dibiar. Dia reti dah sebenarnya cuma agak kasar dan tak pandai kawal, sebab tu kena tengok. Aiyra tu pulak pandai sangat kalau dok dengan kakak Airis tu, diam je! Syok agaknya dengar kakaknya tu membebel ntah apa², hehehee!

Itulah Mas perati dia memang banyak berubah dan boleh harap dah sejak ada Aiyra ni, nampak sikap sebagai kakak tu. Harap dia boleh jaga adiknya sampai bila², alahhh sebak pulak mama rasa. Besar sangat dah Airis mama tu!


Jumaat, 23 Februari 2018

Tak bosan ke menu sama je?

Assalamualaikum...(^ ^)

Fuhhh masih berjaya kekalkan makan bersih dan sihat walaupun sekali sekala ada jugak terbabas, tapi bukan terbabas tahap extreme. Terbabas yang masih boleh dikawal sebab garam, gula dan minyak masih di tahap rendah, itu Mas kawal habis-habisan. Makan tengahari dengan malam memang Mas jaga, cuma pagi tu kadang terbangun lambat jadi makan sarapan ringkas je. Roti cicah milo kosong, jadi terlebihlah sikit gula kat milo tu.


Makan tengahari memang tetap konsep suku suku separuh, wajib sayur banyak pastu ikan sepotong dan nasi segenggam. Sampaikan ada kawan tanya tak bosan ke menu yang sama setiap hari, sebab dia tengok Mas selalu makan salmon dan brokoli. Mas ni bukan jenis memilih kalau bab makan, selagi makanan tu boleh diterima oleh tekak Mas makan je. Yang penting apa yang dimakan sedap dan sihat!

Pengambilan ikan salmon dan sayur brokoli memang kegemaran Mas, hari² pun takpe. Lagi pun ianya senang dan mudah nak masak, grill je. Tak sampai 5 minit dah siap untuk dimakan dan perut kenyang. Lagi satu kalau kita dah amalkan makanan camtu setiap hari, istilah bosan tu tak wujud. Yang lebih penting Mas mahukan makanan tu bersih, sihat dan seimbang. Mas pelbagaikanlah jugak cara masakan tu, tambah sayur lain atau buat salad ke. Haaa adalah rasa kelainan kan?

Tapi serius cakap, kalau korang makan salmon dan brokoli akan ketagih tau. Hari² mesti wajib ada, memang tak pandang menu lain dah. Salmon tu buat salad atau ditambah dalam nasi goreng sihat pun sedap tau, Mas pernah kongsi resepi. Baca sini, Nasi Goreng Salmon dan Salad Salmon. Pastu brokoli tu Mas suka grill dan ratah camtu je macam ulam, atau buat sup sayur. Tambahlah baby carrot sikit.




Haaa tengoklah menu² ni, walaupun sama tapi sedap giler tau. Mas tengok pun terliur aihhh. Jadi biarlah sama atau ringkas janji sihat!

Khamis, 22 Februari 2018

Cabaran Jelly Bean

Assalamualaikum...(^ ^)

Anak² sekarang memang banyak terikut² apa saja yang berlaku kat media sosial, jadi kita sebagai ibu bapa kena lebih peka tau! Jangan anak² terikut perkara yang tak baik dan memalukan pulak, yang baik dan sekadar untuk berhibur takpe. Tapi kena pantau jugak supaya tak melebihi had tau!

Anak² ada jugak ikut terutama kalau tengok Youtube, tapi bukan ikut yang mengarut ye. Baru ni masa pergi ke Langkawi sibuk diaorang cakap nak beli gula² Jelly Bean, katanya nak buat cabaran. Mama kau ni yang tak tahu apa² dok peliklah, kenapa nak makan gula² kena ada cabaran? Makan jelah kan? Sekali si kakaknya cakap, "Mama tengoklah Youtube pasal cabaran jelly bean, mesti mama akan tau!"


Bila tengok rupanya memang ada, macam² gaya! Cabarannya kena makan gula² jelly bean tu tapi kita tak tau perisa yang dimakan tu sedap ke tak. Anak Mas cakap kalau dapat perisa yang tak sedap, memang boleh termuntah. Ada yang rasa pahit, rasa macam ubat, rasa masam giler dan rasa macam payau². Kalau bernasib baik dapat yang sedap kira baguslah kan?

Jadi diaorang pun sibuklah suruh mamanya ni buat cabaran tu, maklumlah Mas tak pernah makan benda alah jelly bean ni. Demi nak hiburkan anak², Mas turuti jelah. Sekadar suka² bukan ada apa pun, tapi berdebar² jugak mama ni. Hahahaa, takut termuntah pulak bila dapat perisa yang tak sedap tu!

Bila dah makan tu, mula² lega sebab 4 biji dapat perisa yang sedap. Sampai biji yang kelima, haaa kau dapat yang pahit giler! Memang nak termuntahlah ai, geli geleman rasa tekak. Terus keluarkan, padahal kalau ikut cabaran kena makan je sampai habis walaupun tak sedap. Tapi mama tak mampu nak, kang tak pasal² muntah kat situ jugak. Hahahaa, gelak besarlah diaorang sebab dapat kenakan mama. Tengoklah tu, buruk tahap tenuk muka mama tahan nak termuntah!


Cuma maaflah video cabaran tu Mas tak boleh nak upload kat blog sebab video asal dah terbuang dari telefon. Kalau nak tengok boleh ke Instagram je, klik link https://www.instagram.com/p/BfVp-VcFABF/

Rabu, 21 Februari 2018

Membeli coklat di Langkawi

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebut je nak bercuti ke Langkawi apa yang korang suka selain pelbagai tempat menarik, kalau Mas dah semestinya coklat! Sebut nama Langkawi terus teringatkan coklat, tak sah kalau tak membeli coklat kalau ke sana. Kadang cadang nak beli sikit je tapi bila dah masuk dalam kedai coklat tu habis jugaklah RM200 ke RM300, lagilah bawak anak² yang sama hantu coklat macam mamanya. Haaa tengoklah hasil tangkapan oleh anak² masa bercuti di Langkawi hari tu, pokai mama!


Tapi nak membeli coklat ni kena pandai pilih kedai tau, kalau boleh bandingkan harga dulu baru beli. Macam Mas ni masa datang Langkawi dedulu mesti ingat kat Haji Ismail Group je yang jual coklat, ingat coklat ingat HIG. Masa tu tak pernah pun pergi kedai lain, mesti tuju ke HIG dulu. Padahal ada je kedai lain yang jual dengan harga lebih murah, cuma bukan semua coklatlah. Kena tengok dan pilih dulu!

Jadi sekarang Mas dah pandai, sebelum beli Mas akan survey 2-3 kedai dulu termasuk HIG. Bandingkan harga dan senaraikan coklat mana murah di kedai yang mana, baru senang nak beli. Memang ada sesetengah coklat murah di HIG tapi adalah jugak yang murah kat kedai lain, haaa baru Mas tahu. Kalau dulu datang Langkawi hanya beli coklat kat HIG je, tapi sekarang tak dah. Sebab Mas dah pandai survey dan bezakan harga!

Cuma harga coklat di Langkawi sekarang dah tak semurah dulu, contohnya coklat Daim. Kalau dulu satu pek ni baru RM10++ je, tapi sekarang kalau kat HIG dah RM17.90 harganya. Kat kedai lain ada jugak yang jual murah sikit, RM15.90 je. Pastu Nutella pun puas Mas survey nak dapat harga murah, dapatlah kat satu kedai ni RM22.50 untuk botol besar 630gram tu. Tapi kalau peminat coklat Cadbury lebih baik beli kat HIG sebab harga dia lebih murah berbanding kedai lain.

Haaa sebab itulah Mas cakap kena pandai bandingkan harga, jangan main beli je. Sebab nak shopping masa bercuti ni kalau boleh berjimat kita berjimat kan?

Selasa, 20 Februari 2018

Cuti² Langkawi 2018 : 3D Art Langkawi

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaaa seronok tak baca entri cuti² Mas di Langkawi, alaaa cakaplah seronok! Mari Mas senaraikan semula entri² tu, mana tau boleh jadi rujukan dan panduan pada korang yang bercadang nak bercuti ke sana. Jangan lupa klik link² tu untuk baca tau!



Hari ni Mas nak kongsi pulak pengalaman ke 3D Art Langkawi, tiket ke sini adalah termasuk sekali dalam pakej basic Langkawi Skycab. Jadi lepas turun dari Skycab tu bolehlah masuk, Mas pun pertama kali menerokai 3D galeri ni. Masuk je dalam ni memang banyak lukisan 3D yang menarik untuk korang rakamkan, tapi kena buat aksi yang betul² tau baru nampak macam 3D. Katanya ada lebih 100 lukisan yang memang dilukis sendiri oleh pelukis berbakat, haaa memang cantik² lukisannya.

Nak dapat gambar yang nampak betul² 3D korang jangan risau sebab dah ada ditanda shoot point, jadi mudahlah nak ambil gambar. Kena kreatif jelah sikit untuk hasilkan gambar yang cantik dan menarik. Pastu dah penat bergambar dan jalan² dalam tu boleh tengok 3D show, best sangat!


Jadi kalau korang nak naik Langkawi Skycab jangan lupa beli pakej yang bersekali dengan 3D Art ni, nak beli tiket asing pun boleh rasanya tapi Mas tak pasti berapa. Korang boleh tengok kat website www.panoramalangkawi.com, kat situ mesti ada mengenai maklumat tiket. 

Inilah gambar yang sempat Mas ambil sebagai kenangan, tak habis teroka pun sebab Aiyra dah meragam. Tapi dapat jugaklah ambil gambar dia dekat latar belakang surfing, haaa penat surfing sampai tertidur. Hehehee comel je! 








Isnin, 19 Februari 2018

Cuti² Langkawi 2018 : Langkawi Nature Park

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah, semua 800 penumpang Langkawi Skycab yang terkandas semalam sudah selamat. Fuhhh bila baca berita tu mengucap panjang Mas, sebab 2 hari sebelum kejadian Mas naik jugak Skycab tu. Nasiblah semuanya berjalan lancar, kalau terkena pada Mas masa tu tak tahulah nak cakap apa kan? Dengan ada anak kecil lagi, syukur Allah permudahkan dan syukur semua dah selamat turun.


Kita lupakan kisah tu, biarlah pihak yang bertanggungjawab tangani masalah tu dengan sehabis baik. Moga perkara sebegini tidak berulang lagi di masa akan datang, keselamatan penumpang memang sentiasa kena utamakan. Hari ni Mas nak cerita lagi mengenai tarikan menarik di Langkawi, Mas kongsikan supaya dapat jadi panduan pada korang yang nak bercuti ke sana. Banyak lagi tarikan baru, takdelah kita pergi tempat yang sama je kan?

Langkawi Nature Park ni adalah salah satu tarikan yang baru dibuka di Langkawi, awal Januari hari tu. Di sini ada 80 jenis haiwan jinak dan liar tapi disebabkan tempat ni baru je dibuka jadi tak banyak sangat lagi haiwan, ada banyak lagi sangkar haiwan yang masih kosong dan dalam pembinaan. Pastu kalau pergi waktu tengahari memang agak panas sikit, tempat baru kan belum banyak lagi pokok. Jadi dinasihatkan datang waktu petang sikit baru syok nak jalan² dan tengok haiwan². 



Kat sini mereka buat konsep kandang terbuka bagi haiwan jinak macam kambing, rusa, landak dan kerbau, jadi korang bolehlah sentuh dan bagi makan haiwan tersebut. Pastu boleh tengok ular sawa yang terpanjang di Malaysia, memang panjang dan besar. Ada jugak disediakan perkhidmatan "Camel Ride", dengan bayaran RM10 bolehlah rasa pengalaman menunggang unta. Unta tu diimport khas dari Mesir, diberi nama Drogba dan berusia 33 tahun. Haaa tua dah!

Tapi yang paling Mas suka di Langkawi Nature Park ni ialah Mangrove Walk, berjalan di dalam hutan paya bakau di atas titi kayu sepanjang 800 meter. Seronok, rasa tenang dan nyaman je! Dapat lihat hutan paya bakau yang menghijau, udara sejuk dan segar serta dapat dengar bunyi unggas. Bila sampai di penghujung titi kayu tu akan ada sungai, dan nanti akan ada Mangrove Tour melalui sungai tu. Belum bermula lagi sebab pihak Langkawi Nature Park tengah tunggu kelulusan dari Jabatan Laut. 




Lagi satu pada sebelah malam akan ada pertunjukan api pada jam 8.00 malam, kalau nak tengok kena simpan tiket yang dibeli dan boleh datang tengok pada waktu malam. Pastu kalau nak datang sini jangan risau, parkir kereta memang luas. Ada jugak disediakan kemudahan surau, tandas, kedai cenderahati dan kafe. Harga tiket pulak adalah RM28 untuk dewasa dan RM18 untuk kanak², harga ni termasuk night show ye. Untuk maklumat lanjut boleh ke website mereka di langkawinaturepark.com

Ahad, 18 Februari 2018

Cuti² Langkawi 2018 : Upsidow Langkawi

Assalamualaikum...(^ ^)

Semalam jam 2 pagi baru selamat sampai rumah, fuhhh memang penat tapi lega dapat tunaikan permintaan anak² nak pergi bercuti. Lepas ni tunggu 2-3 tahun lagi, mama kumpul duit dulu. Fokus pada pelajaran pulak ye, hujung tahun nak hadapi peperiksaan penting. Hari ni Mas nak sambung lagi cerita cuti² Langkawi kami, ada 2-3 lagi yang belum update. 


Kali ni Mas datang Langkawi dah ada banyak tarikan baru, salah satunya Upsidow Langkawi ni. Ini adalah rumah terbalik pertama di dunia yang gunakan bahan kitar semula, haaa memang unik tau. Pastu di Upsidow ni memang korang boleh ambil gambar sepuashati dengan pelbagai gaya kreatif atau lucu bersama keluarga, tiada larangan atau had masa seperti sesetengah rumah terbalik. Upsidow ni luasnya 3200 kaki persegi, bangunannya 2 tingkat serta ada 16 ruangan dan bilik.

Kebanyakan perabot dalam Upsidow ni diperbuat dari barang kitar semula seperti pallets, tong minyak, kayu terbuang, perabot lama dan barang perhiasan lama. Memang cantik dan menarik sangat! Pastu kat atas bumbung bangunan ni ada replika Transformer iaitu Optimus Prime, bolehlah nak ambil gambar sebagai kenangan macam kami ni.



Pastu nak ambil gambar dalam Upsidow ni kena kreatif baru gambar nampak macam korang betul² terbalik, kena fikir luar kotak sikit. Tapi jangan risau kat setiap tempat untuk bergambar ada ditanda shoot point bagi memudahkan korang nak ambil gambar. Barulah dapat abadikan kenangan gambar yang kreatif dan menarik macam kami ni! Jangan risau tau, tak perlu berebut² dengan orang lain nak bergambar sebab dalam tu luas dan banyak ruangan. Boleh pilih nak bergambar kat mana dulu.

Dah penat pusing² dan bergambar dalam Upsidow tu mesti perut lapar kan, haaa korang jangan risau Bus Burger ada. Bus Burger ni adalah bas mini yang diguna semula dan dijadikan food court, didatangkan khas dari Kuala Lumpur tau. Dalam Bus Burger ni ada dijual pelbagai jenis burger dan dan kentang goreng. Pastu ada jugak peniaga tempatan menjual pelbagai jenis makanan tempatan, snacks dan minuman. Haaa cukup lengkaplah kalau datang ke sini!



Harga tiket masuk berapa pulak, mahal ke murah? Harga tiketnya berpatutan sangat, RM18 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak² (3-11 tahun). Tu harga untuk warganegara, kalau untuk pelancong asing adalah RM25 (dewasa) dan RM20 (kanak²). Pastu untuk pelancong asing ada dijual tiket pakej keluarga (2 dewasa + 2 kanak²) iaitu RM80. Haaa berbaloi dengan kenangan yang korang dapat!

Untuk maklumat lanjut mengenai Upsidow Langkawi boleh layari:

Twitter: @upsidowLGK
No. Telefon: 017-5822889






Sabtu, 17 Februari 2018

Cuti² Langkawi 2018 : Underwater World Langkawi

Assalamualaikum...(^ ^)


Dah 4 kali datang ke Langkawi tapi pernah sekali je jejak kaki ke Underwater World Langkawi ni, masa tu tak banyak lagi tarikan yang menarik. Tapi sekarang dah berbeza, macam² ada. Memang puashati sangat kalau masuk terutamanya bila bawa anak², merekalah yang paling seronok dan teruja. Ehhh bukan anak² je teruja tau tapi mamanya pun sama, sampai sakit tekak menjerit dan basah baju. Haaa dah kenapa, nak tau kena baca tau!

Nak cari Underwater World ni senang sangat, ianya terletak di Pantai Cenang. Dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Tiket masuk pulak adalah RM46 untuk dewasa dan RM36 untuk kanak², tapi itu harga untuk warga asing. Kalau kita rakyat Malaysia yang ada mykad harga tiket cuma RM36 untuk dewasa dan RM26 untuk kanak². Haaa berpatutan sangat dengan tarikan yang ada kat dalam tu!



Paling seronok dan teruja bila masuk dalam UWL ni sudah tentulah bila dapat tengok spesis penguin. Kebetulan masa kami masuk tu tengah ada sesi bagi makan pada penguin² tu, jadi dapatlah tengok! Spesis penguin kat sini adalah jenis Rockhopper iaitu penguin yang suka melompat dari satu batu ke satu batu, pastu bulu kening dia pun unik sangat. Panjang dan berwarna kekuning-kuningan. Memang comel penguin² tu, Airis siap suruh bela kat rumah lagi. Hehehee!



Selain penguin ada jugak spesis anjing laut, pastu pelbagai jenis ikan dan pelbagai jenis hidupan laut yang unik sangat. Memang macam² spesis ada, bila tengok tu rasa kagum sangat. Pastu yang menarik ada kolam terbuka disediakan, jadi bolehlah anak² nak sentuh ikan dan hidupan laut yang ada kat kolam tu. Lagi satu bila meneroka di dalam ni anak² bukan sahaja seronok tapi dapat ilmu pengetahuan tentang hidupan laut yang mereka tak tahu. Haaaaa 2 dalam 1, seronok dan ilmu!

Selain tengok hidupan laut sekarang di UWL ni dah ada 4 tarikan baru iaitu Life & Magic World, Lost World Tunnel, Pavilion Taufan dan Interactive & Panoramic World. Tapi nak masuk ke dalam 4 tempat ni ada bayaran lain yang dikenakan. Haaa mari Mas cerita satu persatu apa yang menarik dalam 4 tempat ni, memang anak² seronok sangat!


Life & Magic World Langkawi
Dalam ni ada 3 aktiviti menarik yang boleh dilakukan, bukan sahaja untuk anak² tau ibu bapa pun boleh cuba. Aktiviti pertama ialah Life Sketchbook dimana anak² boleh mewarna gambar² binatang yang dipilih dan buat ianya seperti hidup dengan mencipta suasana kehidupan sebenar. Syok tau, bukan anak² je seronok buat tapi mak ayah pun boleh cuba.

Aktiviti kedua pulak ialah Magic Mirror, dimana korang boleh abadikan gambar kenangan dengan kehadiran hidupan liar. Haaa nampak macam betul tau, Mas ada buat satu. Kalau nak cetak gambar tu boleh dibeli dengan harga RM10. Aktiviti ketiga ialah Life Mask, korang boleh cipta gabungan badan sendiri dengan muka² binatang yang dipilih. Hasilnya memang nampak menarik sangat!


Lost World Tunnel
Ini ialah maze cermin pantulan dimana bila masuk korang perlu cari jalan keluar, tapi disekeliling semua cermin. Korang akan diberi belon berbentuk kartun ni untuk sentuh di mana cermin bagi memudahkan nak cari jalan keluar. Masa Mas dan anak² masuk dalam tu memang agak susah nak cari jalan keluar sebab agak gelap dan hanya ditemani lampu berkelip² je. Lepas ½ jam baru jumpa jalan keluar, tapi kena lalu terowong yang macam berpusing pulak. Mas belum lalu lagi dah jerit, sekali anak² cakap "Lalu je mama bukan berpusing betul pun!" Hahahaa, maaf anak² mama terlebih panik!


Pavilion Taufan
Haaaaa yang inilah buat ai jerit sampai sakit tekak dan keluar basah baju, walaupun pakai raincoat pakai buang tu. Dalam ni korang akan rasai sendiri pengalaman semasa taufan berlaku, memang macam betul. Bergegar, angin kencang, basah dan pening, semua tu korang akan alami. Memang pengalaman yang tak boleh lupa, kalau taufan betul tak tahulah camne. Gambar bila dah keluar pun tak sempat ambil sebab semua dah basah dan pening, hahahaa!


Interactive & Panaromic World
Kat dalam ni korang akan rasa pengalaman menggunakan VR, ada video hantu, dinasour dan roller coaster. Best wooo, rasa macam benda² tu depan mata. Mas berani tengok yang dinasour je, yang hantu seram katanya jadi tak berani nak tengok. 

Haaa kalau korang nak rasai sendiri pengalaman tu boleh datang ke Underwater World Langkawi jika bercuti ke sana. Boleh layari Instagram mereka di www.instagram.com/underwaterworldlangkawi untuk dapatkan informasi terkini.




Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com