Logo KBBA

terkini dan sensasi

Khamis, 30 Disember 2021

Gegar Vaganza 8: Minggu Keenam

Assalamualaikum...(^ ^)

Alahai lambat pulak update pasal konsert GV8 minggu keenam ni, yelah baru je hari ni tengok lagi sekali sebab masa kat kampung tak dapat tengok betul² sebab line internet tak clear. Yelah TV takde jadi terpaksa tengok kat Astro On The Go jer! 

Haaa memang dah jangka Upiak Isil akan tersingkir, mana taknya nyanyi lagu duet tak harmonis langsung. Padahal suara Usop tu sedap kot, tapi bila duet dengan Upiak jadi tak sedap pulak suara dia. Berterabur habis lagu Sembunyi tu, kalau nyanyi betul² mesti best!

Haaa markah tertinggi selayaknya Suki Low dapat, duet dia bersama Khai Bahar memang mantap. Dah lah suara Khai tu memang sedap, ditambah pulak mereka pandai harmonis lagu tu jadi lagu duet yang best. Masa high note tu memang blend sangat suara diaorang berdua, ada give and take gitu!

Satu lagi duet best ialah Adibah Noor dan Ali Masdo tu, memang mereka buat lagu Tanya Sama Itu Hud Hud menarik. Sangat sedap didengar dan vokal kedua²nya mantap. Cuma pelik kenapa mereka dapat markah ketiga terbaik, padahal layak nombor dua! Moga minggu depan Adibah buat lagi terbaik!

Duet peserta lain biasa² jer, ada yang tunjukkan peningkatan dan ada yang masih mendatar grafnya. Mereka kena usaha lebih keras sebab minggu depan dah masuk minggu ketujuh, sikit lagi nak ke pentas akhir!

Untuk konsert ketujuh nanti 10 peserta bakal nyanyikan lagu yang bertemakan Kelentang Kelentong dimana semua lagu yang diberikan adalah berentak rancak, haaa tak sabarnya nak tengok! Jom tengok lagu² yang bakal semua peserta nyanyikan.

1. Suki Low | Mara Bahaya (Pop Shuvit)

2. Aliff Aziz | Pesan Cinta (Afgan)

3. Adibah Noor | Berdiri Bulu Romaku (Hetty Koes Endang)

4. Aweera | Noktah Cinta (Hafiz Suip)

5. Shidee | Selamat Tinggal Pujaan ( S. Jibeng)

6. Nikki Palikat | Rindu (Hetty Koes Endang)

7. Ani Mayuni | Jikalau Abang Merindu (Nona Asiah)

8. Azan Scan | Pelita (A.P.I)

9. Sa.Ya | Peronda Jaket Biru (Wings)

10. Bandi Amuk | I Want To Break Free (Queen)

Selasa, 28 Disember 2021

Aktiviti wajib selepas banjir

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa selepas banjir surut aktiviti wajib yang paling syok ialah menangkap ikan, bila air surut memang banyak ikan akan masuk dan main² dalam air banjir tu. 

Biasanya kami akan menahan jaring, dapatlah ikan seperti sembilang, haruan, puyu dan sepat. Tapi banjir kali ni banyak pulak ikan patin masuk kat dalam empangan depan rumah kami tu, besar² jugak. 

Masa hari Ahad memang dah tengok ikan² patin tu dok seronok main² kat permukaan air, lagilah masa tu air tengah laju. Serius geram tengok, terus suruh adik pergi beli sauk. Dek kerana pergi dah petang memang tak jumpa kedai yang jual, tapi Mas syak dia tak tahu mana nak beli. Hahahaa yelah, suruh husband yang expert tu dia bantai tidur. Pastu yang tak menahannya adik tinggal kat Jengka tu sanggup patah balik masa dalam perjalanan nak balik ke Jengka, dia siap singgah hardware dan beli sauk. 

Haaa apa lagi terus semangat husband ai nak menyauk ikan, laju jer dia bangun dari tidur. Tapi dek kerana sauk yang kecik memang payahlah nak dapat, ikan² patin tu pun pandai mainkan kami. Bila nak sauk, laju je dia hilang entah kemana. Tapi bila kita dok diam kat tepi, makin galak ikan² tu main di permukaan air. Jadi semua frust giler ikan tak mengena!

Dek kerana geram, hari semalam husband Mas balas dendam. Dia DIY sendiri sauk yang lebih besar, sanggup pagi² dia ke kedai beli jaring dan tali. Dengan skill yang dia ada memang menjadilah sauk yang lebih besar. Apa lagi semua excited nak tengok depa menyauk, dah macam menonton wayang. Hehehee, bukan anak² je teruja, mak budak pun sama!

Haaa dengan sauk yang besar tu, sekali sauk je terus dapat 4-5 ekor. Apa lagi seronok giler lah kami, sauk je dapat sauk je dapat. Lebih kurang 1 jam menyauk, dapatlah dekat 30 ekor ikan patin pelbagai saiz. Ya Allah dia punya gembira tu memang tak boleh nak cakap camne. Tak sia² husband ai DIY sauk tu!


Inilah hasil tangkapan kami, dapatlah bahagi 4 beradik. Sorang dapat 3-4 ekor, selebihnya kami buat lauk untuk hari tu. Masak stim halia dan goreng je, memang sedap giler makan ikan segar yang baru ditangkap. Manis je rasa isi dia!

Itulah pengalaman paling seronok setiap kali banjir, sejak dari kecik lagi inilah acara yang paling dinantikan bila air banjir surut! 





Haaa tengoklah tu muka puashati dapat sauk dekat 30 ekor ikan, berbaloi DIY sauk. Anak² pun jadi ralit dapat tengok ikan banyak camtu, excited sangat masing². Macam² soalan keluar dari mulut diaorang, terutama anak Mas si Aiyra tu. Hehehee nampak sangat keterujaan tu!



Isnin, 27 Disember 2021

Pasca banjir Disember 2021

Assalamualaikum...(^ ^)

Hujung tahun ni sekali lagi rumah Mas di kampung dilanda musibah banjir, kali ni agak teruk sikit dari bulan Januari yang lepas. Dilanda musibah banjir ni umpama acara tahunan bagi kami, ada masa kami bersedia dan ada masanya tidak. Tetap ada barang yang musnah, tetap ada barang yang tak sempat diselamatkan, yelah seperti Mas cakap ada masanya yang kami tak bersedia!

Macam banjir kali ni alhamdulillah barang berharga seperti peti ais dan barang elektrik yang lain dapat diselamatkan sebab adik lelaki Mas dah menetap di Jengka. Jadi masa air mula² naik tu cepat²lah dia pergi ke rumah untuk cuba selamatkan apa yang patut, tapi tak semualah sebab dia sorang². Pinggan mangkuk memang biar je tenggelam, yelah nak angkat satu² banyak oiii!

Alhamdulillah sekarang rumah dah 100% siap dibersihkan, kerahan tenaga 4 beradik dapatlah bersihkan dalam masa 3 hari. Kali ni air dalam rumah atas naik ke paras pinggang, kat rumah dapur pulak sampai nak ke paras bumbung. Kerosakan pulak tetap ada, lantai dinding ada jugaklah tercabut. Pastu daun tingkap pun ada yang tercabut, mungkin sebab arus air kuat! 

Pinggan mangkuk arwah mak yang banyak tu pun dah siap dicuci, cuma belum kemas dan susun je lagi. Fuhhh part cuci pinggan mangkuk ni yang paling penat sekali, yelah pinggan mangkuk arwah mak Mas memang banyak. Dahlah pernah tenggelam masa banjir bulan Januari tu, tak sempat nak kemas dah tenggelam semula. 

Cuma kali ni kerja pembersihan agak senang sikit sebab adik yang kat Jengka tu ada water pump, jadi dapatlah guna untuk bersihkan sisa² banjir yang tak pernah dibersihkan dari banjir tahun 2014. Water pump tak perlu guna letrik, kami sedut air banjir je. Bila dah ada letrik barulah guna waterjet yang adik Mas bawak, dapatlah bersihkan keseluruhan  dinding luar rumah. 

Penat memang penat bila dilanda musibah banjir ni, tapi bila dah biasa kami hadap je. Sebab itulah Mas faham perasaan orang yang pertama kali dilanda banjir, saat pasca banjir tu adalah yang paling memeritkan dan memilukan hati. Memang boleh menangis dibuatnya kalau tak kuat nak hadap. Tabah dan sabar, itu jelah yang boleh buat kita kuat!






Khamis, 23 Disember 2021

Gegar Vaganza 8: Minggu Kelima

Assalamualaikum...(^ ^)

Pelik betul GV8 ni, minggu kelima tiada penyingkiran pulak. Padahal Mas rasa Upiak Isil tu dah tak layak untuk bertanding, persembahan dia minggu kelima ni memang agak teruk. Tapi tak pastilah kenapa juri masih nak bagi peluang, harap dia buat yang terbaiklah minggu hadapan.

Bagi Mas persembahan semua peserta di konsert kelima ni agak kurang menyengat, mereka tak berikan persembahan yang paling maksima. Tiada pun persembahan yang ada wow faktor, yang boleh buat Mas kagum. Cuma harapkan vokal sahaja, dua tiga peserta mampu memukau juri. 

Konsert kali ni menyaksikan Nikki Palikat, Aliff Aziz dan Ani Mayuni mendapat tiga tempat teratas. Nikki mampu dapat markah tertinggi kerana kemampuan vokalnya yang agak mantap. Begitu jugak Aliff Aziz, minggu kelima ni vokal dia lebih baik!

Ani Mayuni pulak tak sangka dia dapat markah ketiga terbaik, mungkin sebab dia mampu nyanyikan lagu Kucu Kuca tu dengan baik. Vokal dia pun lebih bagus kali ni, mungkin itu mendorong juri beri markah lebih.

Lagi satu Mas agak terkilan dengan persembahan Adibah Noor, dia tak all out sangat minggu kelima ni. Kalau dia nyanyikan lagu Gajah tu dengan gaya tersendiri, ubah sikit melodi dan jadikan lagu dia pasti dia boleh dapat markah tertinggi. Harap minggu depan duet dia dengan Ali Masdo tu menjadi dan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud tu jadi lagu dia.

Konsert keenam nanti para peserta bakal berduet dengan artis BBNU yang bertemakan Langkah Seiringan. Haaa paling Mas tunggu minggu duet ni, tak sabar! Ini senarai lagu dan rakan duet mereka.

1. Nikki Palikat & Syamel | Gurindam Jiwa (Rafeah Buang & R. Ismail)

2. Aliff Aziz & Iman Troye | Belenggu Rindu (Wany Hasrita & Dato' Jamal Abdillah)

3. Ani Mayuni & Dinie Rashid | Chikadun (Floor 88)

4. Suki Low & Khai Bahar | Tiga Malam Tanpa Bintang (Fiq)

5. Aweera & Azmi Saat | Setahun Sudah Berlalu (Alleycats)
 
6. Adibah Noor & Ali Sariah (Masdo) | Tanya Sama Itu Hud Hud (Dato' M. Nasir)

7. Azan Scan & Tajul | Malam Semakin Dingin (Spin)
 
8. Sa.Ya & Ernie Zakri | Hampir Ke Situ (Mendua)
 
9. Shidee & Haqiem Rusli | Di Sudut Kamar Hatiku (Dato' Jamal Abdillah)
 
10. Bandi Amuk & Iwal Kristal | Separuh Nafas (Dewa 19)
 
11. Upiak Isil & Usop | Sembunyi (Misha Omar & Andy Flop Poppy)

Selasa, 21 Disember 2021

Bandar Temerloh dan Mentakab dilanda banjir

Assalamualaikum...(^ ^)

Belum lagi pulih sepenuhnya banjir di Lembah Klang kini giliran Temerloh dan Mentakab di Pahang pulak dilanda banjir buruk. Walaupun hampir setiap tahun hadapi musim banjir ni tapi rasa pilu dan sedih tu susah nak diluahkan dengan kata². Nak pulak tengok keadaan bandar Temerloh dan Mentakab yang dah 80% lumpuh, macam nak menyamai banjir besar 2014 dah!

Temerloh

Mentakab

Lagilah tahun 2021 ni dah masuk 2 kali kedua² bandar ni dilanda banjir, awal Januari 2021 dan sekarang bulan Disember pulak. Kesan dari banjir lepas pun masih belum hilang dah terpaksa hadap sekali lagi, walaupun dah redha tapi rasa sedih tu tetap ada. Yelah tengok rumah tenggelam hingga paras bumbung, mana tak sebak kau! Walaupun orang cakap kau dah biasa hadapi banjir, tipulah kalau tak rasa apa² kan! 

Rumah Mas kat kampung di Temerloh tak ketinggalan, memang setiap kali banjir akan terjejas. Setakat hari ni keadaan air dalam rumah dah paras dada rasanya, boleh agak dah bila tengok keadaan di bandar Temerloh tu. Nak pulak tengok signboard Temerloh ni dah tenggelam separuh, jadi memang habis tenggelam dah rumah Mas.

Rasa terkilan jugak sebab tak dapat tengok keadaan rumah, yelah nak balik tak lepas dah. Semua laluan ke Temerloh dah ditutup akibat dinaiki air, nak ikut laluan alternatif kat Kuala Pilah tu pun rasanya tak lepas dah. Sekarang hanya mampu tunggu je air surut, pastu barulah boleh balik untuk cuci rumah. Adik Mas yang menetap di Jengka tu ada jugak update semalam keadaan rumah, tapi hari ni dia dah tak lepas nak ke sana sebab laluan dari Jengka dah dinaiki air. Jadi memang tak tau dah keadaan terkini kat sana, yang pastinya bertambah teruk!

Lagi sedih bila kenangkan kami dah baiki sikit² kerosakan rumah dek kerana banjir bulan Januari tu, sekarang dah banjir lagi. Pastu peti ais pun baru je boleh berfungsi, dah tenggelam lagi. Tapi nak buat camne kan, dah hukum alam jadi kita redha!

semalam 20/12/21

hari ni 21/12/21

Sebab ituah Mas faham sangat perasaan mangsa banjir ni, nak pulak ada yang first time hadapi selama bertahun menetap kat kawasan yang tak pernah banjir. Masa paling payah bagi Mas ialah nak hadapi pasca banjir dan nak bersihkan rumah tu! 

Mas dah lalui tahun 2014, banjir paling besar dan teruk di Temerloh. 10 hari menumpang kat rumah orang, 10 hari rumah ditenggelami air paras bumbung dan total lost semua barang dalam rumah. Masa mula² tengok keadaan rumah memang termenung, tak tau nak mula mana dulu. Lumpur jangan cakaplah, hampir paras betis dan dengan bau busuk lagi. Tapi nak tak nak kena hadapi dengan redha walaupun sedih!

rumah Mas masa banjir 2014

Jadi Mas harap moga semua mangsa banjir 2021 ni tabah hadapi dugaan, berlapang dada dan sabar. Insya Allah ada hikmah yang baik di sebalik setiap kejadian yang berlaku dan Mas doakan semuanya dipermudahkan!

Ahad, 19 Disember 2021

Banjir paling terburuk di Lembah Klang

Assalamualaikum...(^ ^)

Ya Allah, masa hujan hari Jumaat tu Mas memang dah rasa tak sedap hati sebab hujan lebat tu agak luar biasa dan berlarutan sampai ke tengah malam. Mas sedar pukul 3 pagi pun hujan masih lebat mencurah², masa tu dah terfikir mesti akan banjir besar ni. 


Pagi Sabtu Mas pergi jogging dan trek yang Mas biasa lalu tu ditenggelami air, jadi apa yang Mas agak dah berlaku. Pastu husband pulak whatsapp bagitau dia masih dalam operasi menyelamat mangsa banjir dari pukul 10 malam hari Jumaat tu, haihhh hati terus terdetik ni memang banjir teruk. Pastu husband whatsapp pulak video laluan utama nak keluar dari Salak Tinggi dah ditutup sebab dinaiki air yang agak dalam. Masa tu Mas baru bercadang ke Putrajaya tapi tak lepas. 

Menjelang pukul 10 pagi hari Sabtu, terus banyak terima gambar dan video kat whatsapp yang Kuala Lumpur dan Selangor dah teruk dinaiki air. Ditambah pulak dengan hujan yang masih lebat dan tiada tanda² nak berhenti. Ya Allah memang pilu rasa hati sebab tengok ada yang terkandas dalam rumah dinaiki tapi tiada bantuan dari penyelamat.




Mas boleh bayangkan dan rasa debar dia tu camne sebab Mas alami masa banjir besar tahun 2014 kat Temerloh. Masa tu kami pun takde bot, kongsi 4 beradik duit RM200 sorang beli bot. Kalau tak beli memang kami mati lemas semuanya sebab air sekelip mata dah paras kepala. Haaa camtulah yang mangsa banjir sekarang rasa agaknya, yelah mereka tak jangka tempat mereka akan dilanda banjir. Mana taknya tempat yang tak pernah² banjir tenggelam sekelip mata!

Pastu dapat jugak perkhabaran dari adik kat kampung yang laluan masuk ke rumah dah ditenggelami air. Hujan kat Temerloh pun tak berhenti dan banyak jugak dah tempat dinaiki air, haaa lagilah rasa risau. Nak balik memang tak lepas sebab kat lebuhraya Karak ada tanah runtuh dan dinaiki air jugak! 




Lagi satu nak hadapi pasca banjir tu, haaa itu lagi pilu hati. Bila kita tengok keadaan rumah yang tunggang langgang dan semua barang musnah, memang akan tak tau mana nak mula. Alhamdulillah mereka ni tenggelam sehari semalam jer, mungkin barang letrik boleh diselamatkan. Macam rumah Mas kat kampung masa tahun 2014 tu tenggelam selama 2 minggu, lepas surut lempar je semua barang. Total lost semuanya! 

Tapi apa pun kena redha dan kena hadapi apa jua keadaan sekalipun kan, sedih memang sedih. Yang penting nyawa kita dan keluarga selamat, barang rosak ada rezeki kita boleh usahakan ganti baru kan? 




Allah nak uji kita, jadi kita kena kuat dan ambil ikhtibar dari apa yang berlaku. Pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku dan semoga semua mangsa banjir bertabah dan berlapang dada dengan dugaan berat ini!

Rabu, 15 Disember 2021

Gegar Vaganza 8: Minggu Keempat

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaa lambat pulak update pasal konsert GV ni, biasalah kekangan kerja yang sangat banyak dah hujung tahun ni. Ditambah pulak minggu akhir tahun 2021 nanti Mas nak cuti panjang, jadi kena selesaikan semua kerja. 

Berbalik pada konsert GV8 minggu ketiga, fuhhh memang dah agak Fazley Yaakob tersingkir. Ehhh bukanlah nak kata dia tak boleh nyanyi tapi vokal dia tak mantap untuk masuk pertandingan segah GV ni. Mungkin rezeki untuk dia bukan di bidang nyanyian, jadi apa pun moga dia berjaya dalam bidang yang betul² sesuai dengan bakat dia. 

Adibah Noor dapat markah tertinggi, haaa yang ni Mas setuju sangat. Dia bijak beri kelainan dalam nyanyikan lagu Jika, siap keroncong tu. Sedap sangat suara dia! Tapi bagi Mas Adibah ni kena beri lagu yang betul² tinggi sebab vokal dia memang power, Mas tahu dia mampukan nyanyikan lagu sebegitu.

Persembahan Suki dan Nikki pulak tak kurang hebatnya, diaorang bertiga ni memang bersaing antara satu sama lain. Siapa beri persembahan terbaik dan ada kelainan, haaa sebelah kaki dah tempah ke pentas akhir tau!

Aliff Aziz pulak minggu ni memamg kurang menyengat persembahan dia, vokal pun tak power. Tak taulah kenapa, padahal dia dapat lagu best tu. Mungkin dia terlalu emosi dengan lagu tu atau dia kurang bersedia nak nyanyikan lagu Jika Kau Rasa Getarnya tu. Harap minggu depan dia mampu bangkit sebab vokal dia sedap dan lagu yang dia dapat pun best giler!

Untuk konsert keempat nanti yang bertemakan Dulu Lain Sekarang Lain, 11 orang peserta bakal nyanyikan lagu² artis lama dan lagu² artis BBNU. Inilah lagu² nya, semua lagu best dan mampu menguji vokal para peserta!

1. Adibah Noor | Gajah (Tulus)

2. Nikki Palikat | Gelombang (Salamiah Hassan)

3. Suki Low | Dancing Queen (Abba)

4. Aweera | You Give Love A Bad Name (Bon Jovi)

5. Shidee | Lembah Kesepian (Haqiem Rusli)

6 Aliff Aziz | Memburu Impian (Kazar)

7. Azan Scan | Mimpi (Haqiem Rusli)

8. Sa.Ya | Terakhir (Sufian Suhaimi)

9. Ani Mayuni | Kucu Kuca (Lia Aziz)

10. Bandi Amuk | Purnama (Naim Daniel)
 
11. Upiak Isil | Pengemis Muda (Dato' Sheila Majid)

Selasa, 14 Disember 2021

Penangan Money Heist

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa habis dah tengok 5 episod terakhir Money Heist untuk siri terakhir, serius sangat best dan ending pun mantap!


Nak cerita ni, sebenarnya pada awalnya memang Mas tak layan pun siri Money Heist ni. Walaupun masa tu ramai je tengok kawan² kongsi kata cerita ni best, tapi Mas tak teruja pun nak tengok. Lagi pun mungkin masa tu belum ada internet kat rumah, jadi kalau nak tengok Netflix kena guna hotspot dari data Maxis. Tak nak bazir data, maka buat tak tahu jelah. 

Tapi bila Mas dah pasang Maxis Fibre masa tukar pakej Ultra Box Astro bulan Oktober tu, terus jadi semangat nak tengok cerita² kat Netflix. Member pejabat pun dok hasut kata, "Kak Mas dah ada home internet kenalah tengok cerita Money Heist kat Netflix. Best tau cerita tu!" Haaaa terus termakan hasutan kau!


Jadi hasutan tu bukan untuk Mas sorang je, terus hasut husband jugak untuk tengok. Hahahaa cerita best kan, kenalah tengok berjemaah baru syok. Maka mula pertengahan bulan Oktober tu setiap hujung minggu kami akan layan, ada masa terluang je layan. Pernah 1 malam tu sampai pukul 3 pagi sebab bila dah habis 1 episod teruja nak tengok terus sambungannya. Walaupun dah cakap ini yang last dan sambung esok tapi bila habis 1 episod tu terus nak tengok lagi. 

Memandangkan Mas tengok hujung minggu je dan bila husband syif siang atau hari off, jadi lebih kurang 3 minggu jugaklah baru kami habis layan sampai season 5. Paling sedih episod 5 season 5 tulah, masa Tokyo mati. Haaa ai nangis berjuraian airmata tau, emo giler rasa!


Pastu nak tunggu 3 Disember sambung 5 episod akhir tu punyalah azab, dah sampai tarikh tu azab pulak nak tunggu masa luang husband. Biasalah dia banyak kerja, nak tunggu dia betul² lapang tu memang payah. Sampaikan Mas cakap nak layan dulu, hahahaa marah dia! Jadi bila dia dah ada masa, terus layan 5 episod sekaligus. Sampai pukul 1 pagi jugak, esoknya kerja rabak mata. Hehehee tapi puashati!

Memang tak jangka ending dia camtu, tak terfikir dek akal langsung betapa hebatnya Professor rancang rompakan emas tu. Emas dapat, mereka kaya dan selamat! Haaaa pertama kali tengok cerita dok sokong orang jahat tau, itulah hebatnya cerita Money Heist ni! 


Money Heist 2? Ehhh tak perlu sebab nanti dah tak jadi sehebat 5 season ni. Biarlah pengakhirannya macam tu, best sangat dah!

Isnin, 13 Disember 2021

Berkelah di Sungai Congkak

Assalamualaikum...(^ ^)

Aktiviti nak pergi berkelah ni memang ada dirancang pada hari Sabtu, tapi bila husband ajak piknik kat pantai Port Dickson Mas memang tak nak. Jadi Mas ajaklah dia pergi berkelah kat tepi sungai, lagi syok dan suasana pun takdelah panas sangat. 


Bila dah tiba hari Ahad mulanya husband macam tak nak pergi tapi Mas ajak jugak sebab anak² dah teruja nak pergi mandi manda. Bila dia dah bagi lampu hijau terus Mas pilih Sungai Congkak, lagi pun Mas tak pernah lagi pergi berkelah kat sana. Tengok kawan² review memang best dan syok piknik kat situ.

Perjalanan dari Salak Tinggi mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih melalui highway Grand Saga Kajang dan seterusnya ke Hulu Langat, dalam pukul 1 tengahari kami sampai kat sana. Masa tu dah banyak jugak pengunjung datang tapi keadaan takdelah sesak sangat. 


Mulanya kami cadang nak berkelah kat dalam kawasan Sungai Congkak Resort tu tapi disebabkan dah sampai lewat, port piknik kat situ dah penuh. Kalau nak berkelah kat dalam kawasan resort tu, masuk kena bayar tapi port piknik dia best dan selesa serta betul² boleh parking kereta kat tepi sungai. Boleh jugak pasang khemah dan ada jugak disediakan peralatan untuk BBQ. Jadi kalau nak dapat port kat situ kena datang awal. 

Memandangkan kami ni plan pun last minit dan sampai pun dah lewat, so kawasan piknik kat luar resort jadi pilihan. Tapi kat luar tu port berkelah pun best jugak, ada disediakan pondok untuk kita sewa, memang banyak sepanjang sungai tu. Kami pun sewa pondok dengan harga RM25, pondoknya bersih dan sesuai untuk berehat dan solat. 




Pastu kawasan kat situ pun bersih dan selesa, takdelah kat satu tempat tu ramai pengunjung berkumpul. Nak mandi manda pun seronok sebab SOP terjaga, takdelah dalam sungai tu penuh orang berkumpul. Dia macam ada banyak port, jadi pengunjung akan pilih mana yang sesuai dan mandi bersama keluarga kat situ. Kawasan sekitar sungai pun bersih dan airnya sejuk nyaman jer. 

Lain kali memang akan datang lagi sebab nak berkelah kat dalam Sungai Congkak Resort tu pulak. Pastu nak bawak khemah dan masak² kat tepi sungai tu, yelah datang kali ni khemah pun takde dan tak masak² sebab dah plan saat² akhir kan?




Haaa nampak tak keseronokan tu! Mana ada orang pergi piknik mandi bawak gayung, kami jer yang bawak. Hahahaa barulah syok mandi!



Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com