Logo KBBA

terkini dan sensasi

Rabu, 31 Mei 2017

4 tahun tak ke bazar Ramadhan

Assalamualaikum...(^ ^)

Tiap kali puasa bazar Ramadhan lah yang dinanti²kan oleh semua. Mana taknya, disitulah terdapat pelbagai pilihan lauk pauk, kuih muih dan air aneka perisa. Bagi yang tak sempat masak di rumah pastinya juadah di bazar Ramadhan menjadi pilihan.


Dedulu Mas jugak pengunjung setia bazar Ramadhan setiap kali puasa, memang membeli je lauk pauk dan kuih muih untuk buka puasa. Walaupun kadang² ada jugak juadah yang kurang kena dengan selera bila dah beli, tapi sebab malas nak memasak maka telan jelah. 

Tapi sejak tahun 2014 Mas nekad nak masak sendiri juadah berbuka untuk husband dan anak², maka terus tak jejak dah kaki ke bazar. Kalau pergi pun mungkin sekali atau 2 kali, itupun kadang balik tangan kosong je. Kadang tu beli kuih muih je sebab tak sempat nak buat. Selebihnya memang masak je juadah yang mudah dan ikut selera kami anak beranak. 


Kiranya masuk tahun 2017 ni dah nak 4 tahun Mas tak jejak kaki ke bazar Ramadhan, fuhhh lama jugak tu! Ada jugak yang cakap rugilah tak pergi bazar, setahun sekali je merasa. Bagi Mas tak rugi mana pun sebab bukan ada yang istimewa sangat pun kat bazar tu, kalau nak membeli pun biasanya husband je yang pergi. Lagi pun kebanyakan lauk pauk yang dijual oleh peniaga sama je, kadang tak banyak pilihan pun.

Pastu ada jugak segelintir peniaga menjual makanan yang tak berkualiti, contohnya makanan basi. Mas pernah terkena sekali beli lauk, bila nak makan je waktu berbuka lauk tu dah basi. Rasa kecewa jugak sebab kita dah beli kan, jadi sejak tu lebih baik Mas masak sendiri. Kalau teringin nak beli di bazar hanya beli kuih sahaja. 

Korang camne, suka ke pergi bazar Ramadhan atau sama seperti Mas.

Selasa, 30 Mei 2017

Juadah berbuka puasa

Assalamualaikum...(^ ^)

Korang kalau puasa ni pilih memasak sendiri, makan di restoran atau beli je kat bazar Ramadhan. Bagi yang bekerja mungkin kebanyakkannya makan di luar atau beli di bazar jadi pilihan, tapi mungkin ada jugak yang sempat memasak.


Macam Mas dari 1 Ramadhan hinggalah ke semalam masih lagi mampu dan berkesempatan untuk masak sendiri. Insya Allah hari ni pun Mas akan masak juadah berbuka, lagi pun Mas masih bercuti. Tapi bila dah mula bekerja nanti Mas akan cuba sedaya upaya untuk masak, sebab waktu balik kerja pun diawalkan ke pukul 4 petang. Sempat ke tak Mas akan masak juadah yang ringkas dan mudah je, janji boleh kenyangkan perut.

Sebenarnya masak sendiri ni lebih puashati makan sebab ia dijamin kena dengan selera kita, dan di samping tu bolehlah berjimat sikit. Memang diakui belanja beli barang dapur dan bahan memasak tu agak mahal jugak berbanding dulu tapi kepuasan sediakan masakan dari air tangan sendiri tu yang berbaloi. Lagi pun anak² dah besar ni kenalah masak lebih sikit dan mereka pun lebih suka makan apa yang kita masak. 

Pastu macam Mas masak sekali je, cukup² untuk berbuka dan sahur. Kecualilah juadah tu sedap sangat sampai habis dimakan semasa berbuka, maka sahur kenalah masak lauk lain. Tapi biasanya menu sahur tu ringkas dan mudah je, satu lauk pun dah mencukupi. 



Setakat semalam, beberapa juadah yang dapat disediakan untuk husband dan anak². Memang 2-3 jenis dan kuih pun dapat buat sebab Mas masih bercuti. Untuk hari ni pun dah ada menu²nya, tinggal nak buat kecoh kat dapur je. Cuma bila dah mula kerja esok kenalah menu² yang lebih ringkas dan mudah, sebab masa terhad kan? Kuih pulak kalau sempat buatlah, kalau tak beli je. 

Jom masak korang, seronok memasak ni. Juadah apa dah fikir ke?

Isnin, 29 Mei 2017

Cabaran berpuasa sebagai ibu hamil

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah dah masuk 3 Ramadhan, dan masih dapat terus berpuasa walaupun ada jugak dugaan dan cabarannya. Mas dah 4 kali merasa berpuasa ketika hamil, masa mengandung Atikah, Airis, baby yang gugur dan kali ni. Pengalaman berpuasa untuk keempat² kandungan ni berbeza², tapi yang kali ni rasanya agak mencabar sedikit.

Masa hamilkan Atikah masa tu kandungan baru 2 bulan lebih, tapi alhamdulilah hanya tinggal sehari je sebab muntah² teruk. Yang selebihnya boleh berpuasa dan selera makan pun ada. Masa Airis pulak takde masalah sebab kandungan dah 6 bulan, jadi dapat berpuasa penuh. Masa baby yang gugur tu pulak baru hamil 3 bulan lebih masa tu. Dipermudahkan jugak ketika berpuasa walaupun lepas berbuka mesti muntah. Dapatlah jugak berpuasa penuh! 


Tapi mengandung kali ni agak berbeza, walaupun usia kandungan dah 5 bulan tapi keadaan kesihatan selalu merundum. Nak² lagi bila berpuasa ni penat dia rasa lain macam sangat, tak seperti yang sebelum ni takdelah penat sangat. Masa hari pertama puasa sampai lembik² badan dan kena pitam bila uruskan hal memasak. Nasiblah husband bercuti masa tu jadi dialah banyak bantu, kalau tak memang tak siap masak juadah berbuka. Lepas habis memasak terus tak mampu nak bangun sampailah waktu berbuka!

Pastu semalam sekali lagi diduga, tengah syok² memasak tetiba sakit perut yang amat sangat. Ingatkan sakit perut sebab angin atau gastrik, rupanya cirit birit. 5 kali dok ulang alik masuk tandas, sampai pucat lesi dan lembik satu badan. Yang paling tragis kali ke-5 keluar dari tandas terus tumbang dan tak sedar apa². Sedar² husband kejutkan untuk berbuka, bila tanya dia cakap Mas pengsan masa keluar dari tandas. Nasiblah dia sempat sambut, kalau tak entah apa jadi pada Mas. 


Fuhhh teruk jugaklah cabaran dan dugaan yang Mas hadapi, tapi syukur dapat jugak teruskan berpuasa. Kalau ikutkan hari ni husband tak benarkan Mas berpuasa, risau dia Mas tak larat nanti. Tapi Mas tetap nak cuba berpuasa dan setakat pukul 2 lebih ni masih mampu bertahan. Harap² dapatlah bertahan sampai waktu berbuka nanti dan dapat memasak untuk berbuka. 

Jumaat, 26 Mei 2017

Esok puasa, apa yang dirindu?

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah, esok dah puasa. Ni pun dah dok terfikir² apalah nak masak sahur nanti untuk husband dan anak². Tanya diaorang jawapannya, "Telur jelah mama!" Hurmmm itu jelah lauk kegemaran sepanjang zaman, tak pernah bosan diaorang ni dengan telur.  Mas ni memang tak makan nasi kalau sahur, jadi takdelah kisah sangat. 

Bila mula puasa ni, pasti ada perkara yang kita rindu kan? Rindu nak buat macam puasa dulu², sebab ada sesetengah perkara tak dapat dah kita lakukan sekarang. Bukan kita tak nak lakukan tapi mungkin dek perubahan zaman, kekangan masa atau kurang diamalkan dah. 


Antara perkara yang Mas rindu ialah jalan kaki ramai² ke masjid untuk terawih. Masa dok kampung memang tiap malam ikut mak ke masjid untuk terawih, jalan kaki je. Seronok sangat! Pastu lepas habis terawih ada moreh, makan ramai² dengan penduduk kampung. Masa kat UiTM pun sama jugak, jalan kaki ramai² ke Pusat Islam untuk terawih. Yang perempuan semua pakai telekung terus, putih je nampak dalam samar² cahaya lampu jalan. Tapi bila dah kahwin dan ada anak² susah dah nak ke masjid, kekangan masa dan keadaan tu tak mengizinkan. Jadi kenalah buat terawih kat rumah je.

Pastu rindu hantar juadah berbuka puasa ke jiran² berhampiran dengan rumah. Siap je mak masak teruslah dia suruh hantar kat jiran sebelah, nanti bila balik dapatlah juadah balasan. Kalau 3-4 jiran maka dapat bermacam² juadahlah untuk berbuka, meriah! Tapi sekarang dah kurang diamalkan, kat kawasan perumahan Mas ni kadang² tu adalah jugak. Mas pun kadang memberi dan kadang tak, tengok pada keadaan. Jadi memang rindulah saat tukar² juadah berbuka ni!


Lagi satu majlis berbuka puasa di masjid atau surau. Kalau dulu dok kampung memang wajib ada majlis camni setiap kali puasa, biasanya minggu terakhir Ramadhan. Semua penduduk kampung akan gotong royong memasak juadah dan berbuka puasa ramai². Masa Mas dok kuarters bomba pun ada jugak majlis camni, meriah sangat! Tapi bila dah dok taman perumahan memang takdelah, sebab kebanyakan penduduk sibuk dengan urusan masing².

Banyak lagi sebenarnya yang Mas rindu tapi biasalah masa berubah kan, jadi banyak perkara yang dah berubah. Cuma yang dirindu tu dapat kita kenang dan dijadikan memori jelah. Kita cipta memori baru pulak untuk anak² rindu bila mereka dah dewasa nanti. 

Selamat bersahur dan berpuasa pada semua pembaca www. massaari.com!

Khamis, 25 Mei 2017

Kenangan nostalgia bulan puasa

Assalamualaimkum...(^ ^)

2 hari je lagi boleh makan di siang hari, Insya Allah Sabtu ni kita akan menyambut bulan Ramadhan dan mula berpuasa. Alaaaaa seronoknya, tak sabar sangat rasa. Malam ni atau esok nak pergi membeli belah barang dapur untuk persiapan puasa. 


Bila sebut pasal puasa pasti kita ada kenangan nostalgia yang sukar dilupakan, betul tak? Setiap kali bila bulan puasa pasti teringat semula kenangan tu. Bagi Mas kenangan paling indah ialah masa zaman kanak² dahulu, masa mak abah masih ada dan adik beradik semuanya ada bersama. Setiap kali nak berbuka puasa abah akan pastinya kami semua 7 beradik ada, tak kiralah orang puasa atau tak. Kalau yang tak puasa tu akan makan jauh sikit dari orang yang berpuasa, kira macam dendalah sebab sapa suruh saja gatal² ponteng puasa kan?

Pastu menu berbuka samada lauk pauk dan kuih semuanya mak masak sendiri, mana pernah beli kat bazar pun. Air pulak mesti ada milo ais 2 jug, air wajib tu! Lepas habis makan semua adik beradik kena sama² basuh pinggan dan kemas, tak boleh nak curi tulang. 


Lagi satu tak boleh lupa ialah tolong mak meniaga kuih raya. Mak Mas ni setiap kali bulan puasa dia akan buat pelbagai kuih tradisional untuk dijual dekat² nak raya. Antara kuih yang dia buat ialah Bahulu, Buah Rotan, Kuih Siput, Putu Kacang, Lidah Kucing dan Agar² Jemur. Lagi 2 minggu nak raya, kami adik beradik bertungkus lumuslah tolong mak buat kuih. Mula dari lepas sahur sampai petang, siapkan kuih² raya yang mak nak jual. Memang seronok tolong sebab akan dapat upah, hehehee!

Alaaaaa sebaknya bila kenangkan semua tu, manis sangat kenangan tu.

Rabu, 24 Mei 2017

Pening fikir menu berbuka

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaaa ini situasi yang selalu dihadapi oleh mak² dan isteri² kan? Walaupun lagi 3 hari nak mula berpuasa pasti mereka dah dok fikir lauk apalah nak masak untuk sahur dan berbuka nanti. Kalau boleh nak menu yang ringkas, mudah dan senang disediakan, lagi² bagi isteri² yang bekerja kan?

Macam Mas pun sama, dah dok fikir lauk apa nak masak sahur pertama dan berbuka hari pertama nanti. Dalam kepala dok ligat fikir menu yang mudah² dan boleh membuka selera. Biasanya menu seperti sambal tumis dan goreng² je sebab itu yang mudah disediakan, kalau yang berkuah ni sekali sekala bolehlah. Nak makan selalu muak jugak kan?


Nak senang fikir menu untuk seminggu terus, hahahaa sekali harung je. Terus tulis senarai apa lauk pauk yang nak dimasak kan, senang jugak camtu. Kang dok fikir punya fikir sampai pukul 5.30 petang masih tak tahu nak masak apa, tak gitu? Maklumlah bila masuk dapur tu terus buntu apa nak masak, lagi pun bila berpuasa selera tu lain macam sikit. 

Mas pun kadang beku jugak otak fikir nak masak apalah berbuka nanti, jadi idea fikir menu untuk seminggu ni bagus jugak kan? Haaaaa bolehlah fikir dari hari ni, tanya husband dan anak² apa mereka nak makan. Kalau jawapannya ikut mamalah, maka buat senarai siap². Nak bantah di kemudian hari memang tidak akan dilayan, hehehee! 

Nak belek gambar menu² berbuka tahun² lepas kat Instagram lah, bolehlah dijadikan menu berbuka tahun ni pulak. Haaaaa senang gitu kan?

Selasa, 23 Mei 2017

Kuih wajib buat bila puasa

Assalamualaikum...(^ ^)

Mas memang penggemar kuih tradisional terutama kuih muih yang arwah mak pernah buat. Sekarang anak² pun dah ikut mama dia, sukakan kuih tradisional. Jadi setiap kali bulan puasa mesti nak kena ada kuih untuk juadah berbuka, kalau takde tu mesti anak² tanya.


Kalau dulu masa mak masih ada, setiap kali puasa mesti suruh mak buat macam² jenis kuih. Memang tak lengkap buka puasa tu tanpa kuih dari mak. Bila mak dah takde memang rindulah nak makan kuih muih yang dia buat, jadi kenalah belajar buat sendiri kan? Mas pun bukan pandai sangat buat, jadi kena minta resepi dengan adik sebab dia pakar buat kuih macam arwah mak. Bila dah ada resepi tu Mas cubalah buat sehingga menjadi, dan bila dah pandai bolehlah buat setiap kali bulan puasa. 

Kuih yang Mas pandai buat ni bukanlah yang rumit pun, semuanya yang ringkas dan mudah dibuat. Kiranya dalam sejam dah boleh siap. Pastu Mas buat kuih yang Mas dan anak² suka makan je. Macam husband dia suka jugak tapi tak semua, ada sesetengah je yang dia makan. Tapi Mas seronoklah buat sebab anak² gemar makan kuih tradisional, jadi memang semangatlah setiap kali nak buat. 

Antara kuih muih yang wajib Mas buat setiap kali bulan puasa ialah Buah Melaka, Sagu Gula Melaka, Bubur Biji Nangka (Bubur Candil), Kuih Kepek Hidung, Kurma Kukus, Cek Mek Molek, Apam Beras, Lepat Pisang dan Kuih Sagu. Haaaaa itu jelah antara kuih yang Mas pandai buat setakat ni.



Sebenarnya ada lagi kuih yang arwah mak selalu buat dan Mas suka makan, tapi tak mahir lagi nak buat. Antaranya Kuih Kaswi, Kuih Talam, Kuih Lapis, Lompat Tikam dan Dodol Kukus. Sedap² semua kuih muih ni, puasa tahun ni nak cubalah buat. Kena minta resepi dengan pakar kuih tradisional ni, iaitu adik Mas. Hehehee, moga Mas berjaya buat!

Isnin, 22 Mei 2017

Persiapan Ramadhan

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah lagi 5 hari kita akan menemui Ramadhan, syukur masih diberi peluang bersamanya. 

Bila nak mula berpuasa ni pasti pelbagai persiapan kita lakukan, baik dari segi fizikal, kerohanian hinggalah ke persiapan nak berbuka puasa. Macam Mas tahun ni berpuasa dengan keadaan hamil 5 bulan, jadi kena lebih bersedia supaya mampu berpuasa seharian. Seronok sebenarnya puasa bila mengandung ni, boleh puasa penuh. Tak perlu nak ganti kan? Moga Mas diberi kesihatan dan mampu laksanakan puasa selama sebulan, memang tak boleh skip sahur dan kena ambik makanan yang betul² mengenyangkan macam kurma, oat, susu dan bijirin. 


Anak² pun dah tak sabar jugak nak puasa terutama Airis, walaupun baru umur 5 tahun tapi dia tahu puasa tu tak boleh makan dan minum waktu siang. Siap cakap, "Mama nanti puasa Airis tak boleh makan dan minum hari siang. Susu je boleh, kalau tak Airis lapar!" Hahahaa, pandai kan ko dik. Tetiba je susu boleh minum, kata tak boleh makan dan minum langsung. Takpelah, itu pemahaman dia kan? Janji dia tahu apa itu puasa dan ada rasa nak belajar berpuasa.

Bab juadah berbuka puasa, Mas akan cuba masak setiap hari untuk husband dan anak². Lagi pun sekarang dah boleh memasak, jadi takdelah masalah untuk masak hari². Pastu bulan puasa pun waktu bekerja dah ubah, boleh balik seawal jam 4 petang. Jadi sempatlah nak siapkan juadah berbuka. Lagi satu bulan puasa ni anak² cuti sekolah kan, jadi Atikah pun ada kat rumah. Bolehlah dia bantu mamanya memasak, takdelah kalut sangat kat dapur. Sempatlah mama nak buat kuih yang mudah² untuk berbuka, sebab anak² ni mesti nak ada kuih. 

Bab pergi bazar Ramadhan memang dan 3 tahun tak jejak kaki ke bazar. Lagi pun memasak dan buat kuih sendiri jadi takde apalah nak dibeli. Pastu sekarang semuanya dah mahal², tak mampu wooo nak membeli hari². Baik masak, puashati sikit makan kan? Memanglah orang cakap sama je belanja memasak dan beli di luar, tapi kepuasan tu yang kita nak. Belum tentu makanan yang dibeli tu menepati selera kita, taulah kan kita dah berpuasa seharian sudah tentulah nak makan yang sedap². 

Itu sajalah persiapan Ramadhan Mas. Moga dimudahkan Mas sekeluarga berpuasa serta diberikan keberkatan setiap amalan yang dilakukan. Selamat Berpuasa semua!

Ahad, 21 Mei 2017

Final Piala FA : Bukan rezeki Pahang

Assalamualaikum...(^ ^)

Tahniah pada pasukan Kedah dapat menjulang Piala FA.


Tahniah jugak pada pasukan Pahang, walaupun kalah tapi kalah yang bermaruah. Memang terbaik permainan mereka semalam, hampir tergugat jugak benteng pertahanan Kedah. Seawal minit ke 30, jentera Pahang hanya tinggal 10 pemain sahaja akibat seorang dari mereka dikenakan kad merah. Kami sebagai penyokong memang frust jugaklah, tapi bila tengok para pemain tetap bersemangat maka sorokan tak bertalu² kami berikan. Kami tahu skuad Tok Gajah boleh buat yang terbaik!

Namun rezeki tidak memihak pada mereka, walau dah bermain mati-matian. Tapi 2 gol yang disumbangkan adalah yang terbaik mereka berikan. Memang Mas tengok semalam game di padang adalah milik Pahang, ramai jugak penyokong² dari pasukan Kedah mengakuinya. 


Pengalaman tengok live di stadium
Haaaaa memang semalam pertama kali Mas jejak kaki ke stadium untuk tengok perlawanan bola yang berprestij camni. Rasa teruja dan gementar tu memang ada, tak tahu lagi camne keadaan di dalam stadium tu. Bila dah masuk tu memang gamat sangat suasana, berpuluh² ribu penyokong kedua² negeri membanjiri stadium. Sorakan, laungan semangat dan lagu² bergema di pelusuk stadium, meriah sangat! Mas, husband dan anak² pun turut sama bersorak dan menyanyi. Airis lagilah seronok dia buat semua tu, penyokong cilik skuad Tok Gajah ni.



Memang seronok sangat tengok gelagat penyokong² ni, penuh semangat semuanya. Ada tu sanggup datang dari jauh demi memberi sokongan pada pasukan kesayangan mereka, terutama penyokong² Kedah. Berbaloi mereka datang jauh², memang rezeki mereka

Sekali lagi tahniah pada kedua² pasukan! 


Jumaat, 19 Mei 2017

Dapat jugak tiket final Piala FA

Assalamualaikum...(^ ^)

Yeayyyyy lompat bintang!! Ehhh terover pulak mak buyung ni, hehehee!

Mana tak gembiranya, puas Mas dah husband cari sana sini nak dapatkan tiket final piala FA ni. Mula² dah putus asa dah sebab ramai yang jual tapi harga memang lebih tinggi dari harga asal. Nasib baiklah ada adik² lelaki Mas yang ramai kawan kaki bola, jadi terus roger diaorang untuk carikan tiket. 


Dari semalam dok tunggu adik Mas bagitau ada tiket atau tidak, resah jugaklah dok menanti. Akhirnya petang ni adik bagitau tiket ada dan harga tetap harga asal. Fuhhh memang seronok tak terkata! Tapi dapat tiket dewasa je, tiket kanak² memang kawan dia tak beli. Jadi Mas ambik 3 tiket dewasa, Arfan terpaksalah guna tiket dewasa. Nasib Airis tak perlu tiket, percuma je untuk kanak² 5 tahun.

Kawan adik yang jual tu pun budak kampung Mas jugak, Mas memang kenallah. Nanti esok dia akan datang stadium dan Mas jumpa dia kat sana, bayaran pun dah buat. Tak sabarnya tunggu esok, teruja pertama kali nak tengok final bola secara langsung kat stadium ni. Termakbul jugak mengidam mak buyung ni nak pi stadium, hehehee!


Moga kemenangan milik Pahang, ale ale ale Tok Gajahku!

Khamis, 18 Mei 2017

Misi dapatkan tiket final Piala FA

Assalamualaikum...(^ ^)

Mas ni minat jugaklah dengan sukan bola tapi tidaklah terlalu fanatik. Kalau ada perlawanan bola melibatkan negeri kelahiran Mas iaitu Pahang, memang akan tengoklah kat TV bagi sokongan. Pastu semua dah tau kan, Sabtu ni final Piala FA antara Pahang dan Kedah. 


Jadi entah kenapa final bola kali ni Mas beria² sangat nak pergi tengok kat stadium, membuak² perasaan tu. Mungkin dek pembawakan budak Mas yang mengandung ni, mengidam nak tengok bola kat stadium. Boboikah dalam perut ni, hehehee!

Semalam dah cuba beli tiket online tapi sekelip mata je 6000 lebih tiket habis, memang pelik jugaklah. Kata dalam surat khabar tiket mula jual jam 12.00 tengahari, tapi Mas buka web tickethotline tu jam 12.10 dah habis dah. Rupanya ada salah faham di situ, pukul 9.00 pagi dah mula jual sebenarnya. Ramai jugaklah yang mengamuk kat page tickethotline tu sebab tak berjaya beli. Mas pun kecewa jugaklah, tak tahu camne pengurusan tickethotline ni! 


Dah tak dapat beli online, hari ni husband Mas gigih pergi ke stadium Shah Alam untuk beratur. Mana tau kot ada rezeki dapat tiket kan? Sekali dah sampai stadium takde pulak jual, hanya jual di stadium negeri sahaja. Kat situ buka kaunter untuk penebusan tiket yang dah dibeli online je. Hurmmm sepatutnya tak bolehlah jual kat negeri sahaja sebab para penyokong ada di serata tempat. Bukannya semua dapat balik negeri masing² semata² nak beli tiket kan? Dahlah jual tiket online 6000 lebih je, sekelip mata pulak tu habis. Nampak sangat tak telus pengurusan FAM ni, buat semua orang marahlah. Mas pun tak puas hati jugak.

Hadoiiiii kecewa sekecewanya, memang dah takde harapanlah nak merasa tengok secara langsung kat stadium. Kempunanlah mak yong ni, huhuhuu! Anak² pun pasti sedih sebab tak dapat jugak pergi stadium, dahlah masa separuh akhir kat Paroi hari tu takde rezeki jugak nak pergi.

Nampaknya tengok depan TV jelah, anggap je macam kat stadium. Hahahaa ayat sedapkan hati yang kecewa merana gundah gelana ni. Ada rezeki lain tahun Pahang masuk final, bolehlah pergi! Harap masa tu urusan jual tiket ni lebih sistematik dan adil.

Rabu, 17 Mei 2017

Pengalaman menjadi seorang Guru

Assalamualaikum...(^ ^)

Baru semalam harinya, jadi sempat lagi Mas nak ucapkan Selamat Hari Guru buat para pendidik. Kita sebagai ibu bapa pun guru jugak kan, sebab mendidik dan mengajar anak² di rumah. 

Bila sebut hari guru terus terkenang zaman sekolah, rindu kawan² dan cikgu² yang mengajar. Cikgu² Mas dulu semuanya garang², pantang buat salah memang merahlah tapak tangan kena rotan. Tak cukup dengan rotan kena denda berdiri tengah padang dan cuci tandas lagi. Tapi kegarangan cikgu itulah buat Mas cemerlang dalam pelajaran dan jadi insan yang berjaya sekarang.


Mas pun pernah ada pengalaman jadi guru, 2 bulan jadi cikgu ganti. Mula² kawan tawarkan tu macam nak tak nak je, tapi fikirkan tengah menganggur jadi Mas ambik ia sebagai pengalaman. Masa tu jugak mengandungkan Atikah 7 bulan, jadi gagahkan diri demi nak merasa camne jadi seorang guru. 

Mas jadi cikgu ganti kepada murid² tahun 1 hinggalah tahun 3, dan matapelajaran yang diajar ialah Bahasa Melayu dan Matematik. Fuhhh memang satu pengalaman yang indah, mencabar, seronok dan kadang² hilang sedikit kesabaran pun ada. Mana taknya nak mengadap lebih kurang 35 orang murid dalam satu kelas yang ada pelbagai karenah. Ada yang tak tahu langsung membaca dan menulis walaupun dah darjah 3, ada yang nakal sampai boleh lari keluar ikut pintu belakang masa kita tengah mengajar dan ada jugak yang hari² mak kena tunggu kat tingkap sebab tak mahu kena tinggal.

Haaaaa macam² kan, jadi Mas memang pujilah sifat sabar dan berdedikasi seorang guru tu mendidik murid² setiap hari. Mereka bagi sepenuh komitmen dan tanggungjawab walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah dari segelintir anak murid. Memang pengalaman berharga Mas menjadi guru, walaupun hanya 2 bulan akan diingat sampai bila².


Tapi bila Mas nak berhenti sebab dah habis tempoh 2 bulan tu, memang sedih. Sebak wooo nak berpisah dengan anak² murid yang kita dah kenal walaupun ada sesetengah tu kadang² buat kita geram. Yelah kan, kita dah ajar dan didik mereka seperti anak² sendiri mau tak sedih. Moga anak² murid tu ingat Cikgu Mas sampai bila², hehehee!

Selasa, 16 Mei 2017

Seronoknya membeli belah bersama Shopee!

Assalamualaikum...(^ ^)

Mas suka shopping, korang suka tak? Kalau perempuan mestilah suka kan, shopping dan mereka sukar dipisahkan. Cuma cara membeli belah setiap orang tu berbeza, ada yang suka pergi pasaraya dan ada yang hanya mengadap laptop atau handphone sambil shopping secara online.

Mas pun suka shopping online cuma biasanya Mas beli dari peniaga online di Facebook atau Instagram sahaja. Jaranglah Mas beli dari website online shopping yang semakin banyak sekarang. Tapi sejak Mas tahu pasal Shopee rasa tertarik pulak nak membeli belah di situ. Lagi² bila tengok pelbagai jenis kategori produk dijual dengan harga yang murah gitu, ada tu lebih dari 50% diskaun. Antaranya ada pakaian wanita, pakaian lelaki, barangan kecantikan, gajet, barangan kanak² dan pelbagai lagi. Kalau buka website Shopee tu pasti terujalah!



Apa itu Shopee?
Shopee adalah pasaran sosial mudah alih nombor satu di Asia Tenggara dan Taiwan, ia membolehkan orang ramai memilih, membeli dan menjual. Platform Shopee dibina khasnya di Asia Tenggara bagi memudahkan proses membeli belah, selamat tanpa kerumitan menerusi sokongan pembayaran dan logistik yang kukuh. Jadi di Shopee pelanggan dapat membeli dengan mudah dan murah, penjual pulak boleh menjual barangan mereka dengan selamat.

Pengalaman membeli di Shopee
Bila dok tengok barangan di Shopee tu, Mas paling suka tengok handbag dan kasutlah. Lagi² bila tengok harga dan design yang ada, terus lompat bintang! Wowww murah giler barangan di Shopee ni, macam² rasa nak beli. Belek punya belek dan pilih punya pilih, Mas nak beli sandal dululah. Lagi pun Mas pregnant dan perut pun dah membesar, jadi tak bolehlah nak pakai kasut tumit tinggi. Kenalah beli sandal yang flat dan selesa dipakai kan?


Dah pilih tu berkenan dekat sandal ni, comel dan harga mak aihhh murah sangat. Tak sampai pun RM10! Pastu suka design dia, ada tali kat belakang dan ada bunga² comel gitu! Nampak selesa dan comel bila Mas pakai nanti. Cara nak beli pun mudah je, pilih barang dan masukkan alamat kita. Pastu pilih cara penghantaran, biasanya kalau barang murah ni ada caj penghantaran tapi takdelah mahal pun. Kemudian pilih cara pembayaran, guna online banking cara paling mudah. Akhir sekali pastikan maklumat semua tepat dan buatlah pembayaran. Haaaaa selesai, mudah kan. 

Tak sabar tunggu sandal comel ni sampai, boleh bergaya nanti! Pastu nanti lepas bersalin nak beli wedges pulak, cantik wooo wedges² dia. Dah berkenan kat satu design ni, tak sabar nak beli. Hehehee!

Kempen Cahaya Raya Bersama Shopee
Haaaaa Mas dah cerita pengalaman membeli di Shopee, sekarang nak cerita pulak tentang Kempen Cahaya Raya Bersama Shopee ni. Dalam kempen ni akan ada potongan harga 90% diulangi 90%, fuhhhhh terbeliak biji mata tengok. Pastu ada pertandingan lagi dengan hadiah lumayan bernilai RM50,000 termasuk wang tunai. Pastu ada jugak program Bayar Waktu Terima bersama Pos Malaysia. Haaaaa banyak kooo kelebihan kempen ni, mesti teruja kan?


Kempen ini akan bermula dari 15 Mei hingga 30 Jun 2017, selama 45 hari tu. Ia akan menampilkan 24 kempen termasuk jualan murah khas dari kedai rasmi dan 25,000 jenis produk dengan diskaun 90%. Ada lebih 10 kategori produk dijual, fuhhh memang boleh shopping puas² untuk raya nanti! Jangan lupa layari http://cahayaraya.shopee.com.my untuk maklumat lanjut.

Muat turun Aplikasi Shopee dan sertai Contest
Korang apa tunggu lagi, Mas dah kongsi keterujaan shopping di Shopee jadi Mas nak korang pun alami sama. Cepat² muat turun aplikasi Shopee secara percuma melalui Google Play atau App Store. Pastu jangan lupa sertai sekali Social Media Contest yang diadakan, RM25,000 tu hadiah ditawarkan! Woowww memang berbaloilah Shopee ni, bukat takat boleh membeli belah tapi boleh jugak menang hadiah yang menarik dan lumayan.


Jom shopping bersama SHOPEE, murah dan mudah!

Info lanjut, layari

Ahad, 14 Mei 2017

Bila Mr Ex tetiba rosak!

Assalamualaikum...(^ ^)

Fuhhhhh tak sangka sungguh semalam diduga sebegitu, habis tergendala semua rancangan yang nak dibuat. Tapi apa pun syukur segalanya dapat diatasi, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tu. 


Alkisahnya semalam seronok nak pergi makan nasi kenduri kahwin dekat rumah kawan blogger, lagi pun Mas memang mengidam nasi kenduri. Tetiba masa tengah berhenti kat trafik light, enjin Mr Ex mati. Banyak kali husband cuba start tapi tetap tak mahu hidup, akhirnya kenalah tolak ke tepi jalan.

Husband cuba jugak tengok apa masalahnya sebab memang tak boleh hidup langsung. Dia agak macam fuel pump rosak sebab masa start minyak langsung tak naik. Nasiblah husband pomen, jadi memang dia tahulah jugak kalau kereta ada masalah. Tapi itu cuma andaian husband, kata dia kena bawak ke pusat servis Proton jugak untuk periksa betul² apa masalahnya. Lagi pun belum sampai setahun kami guna Mr Ex ni!

Hampir 2½ jam jugaklah kami tersadai kat tepi jalan tu, lama betul tunggu towing dari Proton datang. Kempunan terus mak buyung nak makan nasi kenduri, huhuhuu sedih! Pukul 4 lebih barulah kereta dibawa ke pusat servis Proton di Nilai. Bila diperiksa memang betullah fuel pump yang rosak, tepat tekaan Abam Pomen ai! Tapi yang buat Mas rasa nak terberanak bila dengar, kos untuk ganti barang dan repair mencecah RM700++. Haaaaa mana nak cekau duit saat tengah² bulan camni kan? 


Akhirnya husband buat keputusan tarik semula kereta keluar dan dia akan baiki sendiri je. Lagipun dia boleh dapatkan spare part original dengan harga yang lagi murah, pastu kos repair pun tak perlu bayar kan? Mas bersyukur sangat sebab nasiblah husband ada kemahiran bab baiki kereta ni, kalau tak tersadailah kereta tu kat Proton sebab nak cari duit dulu. 

Itulah agaknya hikmah yang Allah berikan!

Jumaat, 12 Mei 2017

Mama, Airis ada periksa!

Assalamualaikum...(^ ^)

Alahai bila anak kita umur 5 tahun kata dia ada peperiksaan rasa macam, "Alaaa boleh ke anak aku jawap soalan periksa ni!" Yelah zaman kita dulu masuk darjah satu baru tahu apa itu peperiksaan kan? Pastu pelajaran dahulu takdelah sehebat pelajaran sekarang, jadi itu agak merisaukan kita jugak.


Tapi Mas tahu, Insya Allah dia boleh buat. Lagi pun cikgu² dah banyak bantu dan ajar yang terbaik untuk anak² kita. Sebagai ibu bapa kita cuma kena bantu mereka ulangkaji di rumah sebelum tiba hari periksa. Airis pun Mas tengok seronok nak periksa, balik dari sekolah terus bagitau dia ada exam. Terus cakap, "Airis kena belajar ni mama, nanti tak boleh jawap periksa!" 

Hehehee, kemain lagi dia. Itu masa dia rajinlah, memang tak sabar² nak buka buku dan belajar. Cuba datang mood malas dia, penat jelah dia cakap pastu pergi main. Tapi takpelah kan, Mas tak nak paksa dan desak dia. Ajak elok² dan kena masa yang sesuai pasti dia nak belajar punya, kalau kita paksa dan berkeras pun tak guna jugak kan? Nanti anak² jadi stress dan takde mood, terus hilang tumpuan serta ganggu pembelajaran dia.

Haaaaa Airis, jom study! Minggu depan nak exam ni. 


Khamis, 11 Mei 2017

Setelah 4 bulan tak masak

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaaa 4 bulan kooo! Memang sedih dan kesian bila tengok husband dan anak² asyik beli makanan kat kedai je. Kadang husband rajin dan ada masa dia masaklah yang ringkas² je, janji boleh makan. 

Bukan Mas malas masak ye atau abaikan tanggungjawab pada husband dan anak², cuma alahan pregnant yang teruk membataskan segalanya. Tak boleh langsung masuk dapur atau bau masakan, mesti akan muntah dan perut mual². Kalau husband tengah masak sanggup berkurung dalam bilik sampai dia siap masak. Haaaaa sampai camtu sekali! 

Tapi Alhamdulillah, bila kandungan dan masuk 4 bulan lebih ni alahan tu dah hilang. Dah boleh masuk dapur untuk memasak dan semalam akhirnya berjaya masak hidangan makan tengahari untuk husband dan anak². Cuma ada jugak halangannya, tak boleh berdiri lama. Semalam baru berdiri 5 minit berperang di dapur, tiba² gelap mata dan kena pitam. Akhirnya kenalah memasak sambil duduk, nasiblah ada kerusi yang sama tinggi dengan dapur tu. 

Fuhhhhh mencabar jugak bila kena situasi camni, tapi demi kenyangkan perut husband dan anak² Mas gagahi jua. Lepas habis masak je terus melepek dek kerana kesan pitam tu. Tapi lega sebab berjaya jugak siapkan 3 hidangan untuk santapan kami sekeluarga.


Inilah menu tengahari semalam, ada Sambal Sotong, Sambal Tauhu + Bilis dan Kacang Buncis Goreng Sos Tiram. Berselera husband dan anak² makan, maklumlah dah lama tak makan masakan mama kan? Hehehee, mama pun seronok!

Selasa, 9 Mei 2017

Bila Airis semakin manja

Assalamualaikum...(^ ^)

Lagi 6 bulan jadi kakaklah dia, memang tak sabar sangat dah tu.  Hari² mesti dok tanya, "Mama bila baby nak lahir, lambat lagi ke?"


Tapi sejak nak ada adik ni, sikap manjanya tu yang terlebih pulak. Kadang tak turuti apa dia nak mulalah merajuk dan menangis. Pastu nak pujuk punyalah susah, kena janji macam² barulah berjaya. 

Cuma manjanya ni lebih kepada babah, dengan mama kurang sikit. Manja dengan mama bila kena marah dengan babah je, hehehee! Sekarang tidur pun lebih suka dengan babah, kalau babahnya tak keje syif malam memang tidur berdua kat ruang tamulah. Mama tidur sorang² dalam bilik, huhuhuu! Bila tanya, "Airis tak nak teman mama tidur dalam bilik ke? Sian mama tidur sorang²." Laju je dia jawab, "Mama kan tidur dengan baby dalam perut tu!" 

Hahahaa, bijak anak mama ni! Tapi Mas tak kisah pun dia nak manja lebih² sebab rasa macam cepat sangat dia membesar. Dulu 7 tahun tunggu nak dapatkan dia, jadi memang dia terlebih manjalah sikit dari kakak dan abangnya. Lagi pun tak puas lagi rasanya manja²kan dia macam baby. 


Jadi biarlah kan anak² nak manja terlebih dengan kita masa masih kecil ni. Dah besar susah dah nak bermanja, malulah mama kitaorang dah besar. Setakat nak borak gelak² tu boleh lagi tapi nak peluk gomol² tu tak mau dah mereka. Masa tu pasti kita akan rindu saat manja dengan mereka masa kecil².

Hurmmm, sebaklah pulak! Cepatnya anak² mama membesar.

Isnin, 8 Mei 2017

Filem Pelé : Kejayaan legenda bolasepak

Assalamualaikum...(^ ^)

Rasanya dah hampir 2 minggu filem Pelé ni ditayangkan di Astro, tapi setiap kali ia diulang tayang Mas mesti tak lepaskan peluang untuk tengok lagi. Bagi Mas filem ni memang menarik untuk ditonton, tak rasa bosan langsung. 


Sebelum ni Mas pernah dengar nama Pelé dan tahu dia adalah lagenda bolasepak yang terkenal dengan kecekapan dan ketangkasannya ketika beraksi di padang. Tapi Mas tak pernah tahu dan ambil tahu pasal kisah bagaimana dia boleh jadi pemain bolasepak. Jadi bila menonton kisahnya di dalam filem Pelé ni barulah Mas tahu bukan mudah untuk dia berjaya sehingga dikenali dan disegani ramai.

Dalam filem ni kita boleh tengok dia bukanlah dari keluarga senang, hanya tinggal di kawasan pedalaman di Brazil. Tetapi dek kerana minat terhadap bolasepak dia sanggup buat apa saja asalkan bakatnya itu diketahui ramai. Walaupun bapanya jugak seorang pemain bola tetapi ibunya melarang keras dia libatkan diri dalam sukan bola. Tapi walau dihalang minatnya terhadap bolasepak tak pernah padam, sehinggalah ibunya bersetuju dia mencuba nasib menyertai kelab bolasepak Santos.


Masa tu kita boleh tengok bagaimana Pelé berusaha menjadi pemain terbaik walaupun pada mulanya dia patah semangat. Pastu bagaimana dia tercedera apabila tidak yakin dengan skill permainannya sendiri. Tapi dia bangkit dengan semangat apabila ramai yang menyokongnya. Jadi bukan mudah dia nak jadi pemain terbaik, perlu jatuh bangun dan hadapi pelbagai cabaran. Sedih tau bila tengok, memang menitis airmata!

Korang kena tonton filem ni tau, banyak pengajaran dan suka duka kejayaan Pelé yang boleh kita tengok. Korang boleh menangis dan rasa keseronokan bila menonton babak² dalam filem ni. Pastu dari filem ni boleh dapat pengajaran bukan mudah nak berjaya sehingga disegani di mata dunia. Perlu pengorbanan, semangat, berani dan yakin pada kelebihan diri sendiri!

Sabtu, 6 Mei 2017

Maharaja Lawak Mega 2017 hambar

Assalamualaikum...(^ ^)

Habis sudah MLM 2017. Tapi serius mulanya Mas tak tahu pun siapa juara, naib juara dan tempat seterusnya. Mana taknya pertama kali tengok MLM Mas boleh tertidur, sedar² je dah habis! Hanya sempat tengok persembahan pertama dari Zero je, pastu terus lena dibuai mimpi. Hahahaa memang pertama kali dalam sejarah tengok final MLM sampai terlena.

Memang diakui MLM tahun ni hambar sangat, dari minggu pertama lagi. Kadang² je ada kumpulan yang berikan persembahan terbaik dan boleh buat Mas gelak sakan seperti Bocey dan Zero. Tapi kebanyakannya lawak yang agak membosankan.  

Kalau nak dibandingkan dengan MLM musim sesebelum ni, semuanya lebih memuaskan hati. Terutamanya masa Jozan, Sepahtu, Jambu, Boboi dan Nabil bertanding, memang tak kering gusi gelak. Setiap minggu ternanti² persembahan dari mereka, lagi² kumpulan Jozan dan Sepahtu. Walaupun lawak mereka kadang tu biasa² je tapi tetap buat kita ketawa. Kumpulan Jambu pun sama, kadang lawak mereka agak mengarut tapi penonton masih ketawa berdekah². Begitulah berkesannya lawak mereka di hati peminat!

Harap lepas ni produksi MLM adakan Maharaja Lawak Mega Legend. Panggil semua otai² lawak masuk bertanding macam Jozan, Sepahtu, Boboi, Senario, Nabil dan Jizan. Haaa baru gempak kan? 


Tapi apa pun tahniah pada semua pemenang MLM 2017 terutama juaranya Bocey. Mas rasa mereka memang layak sebab lawak Bocey je yang agak konsisten setiap minggu. Senarai keputusan penuh Maharaja Lawak Mega 2017:

Juara : Bocey
Naib Juara : Shiro
Tempat Ketiga : Dzawin
Tempat Keempat : Zero
Tempat Kelima : Puteh

Jumaat, 5 Mei 2017

Kawal diet semasa hamil

Assalamualaikum...(^ ^)

Ramai beranggapan bila mengandung kita boleh makan apa sahaja, tak perlu nak diet² dan kawal pemakanan. "Ala makan berdua, kenalah makan banyak. Kalau kawal diet camne anak nak membesar!" "Ala aku takde apa² masalah masa mengandung jadi tak perlulah kawal² makan ni!"

Salah tanggapan tu, sebab masa mengandung banyak faktor risiko yang bakal kita hadapi terutamanya dari pemakanan. Memang kita takde masalah masa kandungan lepas tapi siapa tahu mengandung kali ni ada masalah. Lagi pun sekarang faktor risiko yang paling utama sering dihadapi ibu hamil adalah kencing manis ketika hamil dan darah tinggi. Kalau tak kawal pemakanan dari awal, mana tau kita bakal hadapi masalah² ini.

Mas pernah ada kencing manis ketika hamil masa mengandungkan Airis tahun 2012. Masa tu memang kena kawal diet sehabis baik, tak boleh makan sebarangan. Siap kena jumpa Dietician lagi untuk diberi kaunseling berkaitan pemakanan sesuai untuk ibu hamil yang ada kencing manis. Gula, garam, minyak dan lemak tu semua memang kena kawal dan kalau boleh elakkan. Nasi pulak kena makan sekali sehari je tau! Lapar jangan cakaplah, tapi demi nak kawal gula dalam darah tu kena hadap jugak. Kalau tengah malam lapar teguk jelah air kosong banyak²! Haaaaa bukan senang tau, lagilah mengandung dah berumur memang mudah masalah² ni kena pada kita. 


Sekarang Mas dah mula kembali makan secara sihat dan kawal diet, awal² mengandung dulu memang bedal je apa saja. Risau jugak akan hadapi masalah nanti, jadi gigih bangun jam 5 pagi sediakan bekal makanan sihat. Air manis pun tak minum, teguk air detox lemon je. 

Jadi jangan ingat mengandung tak perlu kawal diet tau, penting untuk kesihatan kita dan anak yang dikandung. Moga anak Mas membesar dengan sihat!

Khamis, 4 Mei 2017

4 bulan

Assalamualaikum...(^ ^)

Alhamdulillah sekarang usia kandungan dah masuk 4 bulan. Keadaan kesihatan diri pun dah semakin baik sebab fasa alahan dah berlalu. Selera makan pun dah bertambah baik jugak tapi tetap kena kawal pemakanan dan amalkan makan secara sihat. Tak semestinya mengandung boleh bedal segalanya tanpa dikawal kan? Maklumlah sekarang pelbagai faktor risiko boleh dihadapi oleh ibu mengandung. 

Keadaan fizikal sekarang entahlah memang tak banyak sangat berubah, berat badan pun masih kekal seperti sebelum mengandung iaitu 68kg. Kadang tu naiklah ke 69kg, pastu turun semula. Tak taulah kenapa payah nak naik², padahal makan banyak dah rasanya. Sampai husband Mas pun tegur, "Ayang ni tak macam orang mengandung pun, kurus camtu jugak. Pastu perut pun tak nampak!" Hehehee, pelik pulak dia. Tak sabarlah tu nak tengok perut bininya ni membesar.

Tapi Mas pun perasan, rasa macam perut ni tak besar² pun. Padahal usia kandungan dah 4 bulan, seluar jeans pun masih boleh pakai lagi cuma tak boleh kancing butang jelah. Ahhhh Mas tak nak fikir sangatlah, janji baby dalam perut tu membesar dengan sihat. Biasalah dah lama tak pregnant jadi tak sabarlah nak tunggu perut membesar, hehehee!


Inilah gambar terbaru Mas 2 minggu lepas, tak macam orang mengandung kan? Baby bump pun tak nampak sangat lagi. Tapi takpe, nanti dah makin bertambah usia kandungan nampaklah kan?

Rabu, 3 Mei 2017

Review filem Fast 8 : Gempak!

Assalamualaikum...(^ ^)

Fuhhh akhirnya dapat jugak tengok filem ni, puas cari masa yang sesuai nak pergi. Maklumlah Mas ni ada 2 handbag kat rumah tu, cerita ni pulak 18 tahun ke atas. Jadi kenalah pandai cari masa nak tengok berdua²an dengan husband, hehehee!

Sinopsis filem
Filem kali ini berkisar kepada Dominic Toretto yang berpaling tadah pada keluarga, sahabat dan pasukannya. Dia telah bekerjasama dengan penjahat untuk mencuri senjata nuklear.


Review Fast 8
Bagi Mas filem kali ni adalah yang terbaik dan tergempak di antara sekuel Fast & Furious. Dengan aksi² yang melibatkan kereta memang buat kita tergamam dan tercenggang. Sampai tak berkelip matalah tengok! Pastu babak kelakar tetap ada terutama dari watak Roman, memang nak tergelak saja bila tengok perangai dia. 

Pastu banyak jugak babak yang menyentuh jiwa terutama bila Dominic dapat tau dia ada anak. Haaa Dom ada anak? Apakah itu penyebab dia berpaling tadah dan bekerjasama dengan musuh. Kalau nak tau kena pergi tengok sendiri tau! 

Lagi satu siapa sangka Dom dan pasukannya boleh bekerjasama dengan musuh² mereka yang dulu untuk selesaikan kemelut tersebut. Memang terbaik dan gempak sangat Fast 8 ni. Mas pun tak puas rasa tengok sekali, lepas ni nak tengok lagi sekali. 

Bagi 20 bintang lah, aci tak? Hehehee!

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com