Logo KBBA

terkini dan sensasi

Jumaat, 30 Januari 2015

Terpilih lagi

Assalamualaikum...(^ ^)


Alhamdulillah rezeki Atikah di tahun 2015 ni. Sekali lagi dia terpilih menyertai Kejohanan Boling Tenpin Peringkat Negeri Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSS) 2015 pada 9-13 Februari 2015.

Kalau ikutkan tahun ni memang Mas tak benarkan dia terlibat dengan sebarang kejohanan sebab dia nak duduki peperiksaan UPSR. Tapi pihak sekolah memang mengharapkan dia terlibat kerana sekolah kekurangan pemain boling yang bagus, jadi kenalah izinkan jugak dia terlibat. Lagi pun aktiviti kokurikulum ni penting jugak untuk dia ke sekolah menengah nanti.

Tapi awal² lagi Mas ingatkan dia untuk rancang jadual dengan sistematik, kena pandai bahagikan masa ulangkaji dengan aktiviti kokurikulum. Mula bulan ni dan bulan depan memang banyak dia tak masuk kelas kerana ada latihan boling. Jadi Mas pastikan dia rujuk dengan kawan² sekolah mengenai kerja sekolah dan matapelajaran yang telah diajar oleh cikgu.

Harap dia tak leka dan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Yang pastinya Mas nak jugak dia beroleh kemenangan dalam kejohanan boling yang dia sertai! 

Khamis, 29 Januari 2015

Jom Aktif Hebat!

Assalamualaikum...(^ ^)


Jom Aktif Hebat!

Inilah nama program riadah warga KKM yang diadakan di Kementerian Mas pada setiap petang Rabu. Nama pun Kementerian Kesihatan, jadi memang wajar diadakan aktiviti riadah seperti ini.

Bagus diadakan aktiviti sebegini di setiap jabatan. Bukan apa, kita ni dah seharian di pejabat mengadap kerja yang bertimbun. Memang boleh stress! Jadi cara yang berkesan untuk hilangkan stress adalah dengan bersenam, badan akan lebih sihat dan segar!

Mulai semalam Mas dah mengikuti aktiviti ini, sangat seronok! Selama 1 jam sesi senamrobik dengan pelbagai rentak lagu yang rancak, barulah berpeluh badan dan rasa segar sangat. Malam pun tidur lena dan pagi pun bersemangat bangun. Jadi memamg patut kita beriadah sekurangnya 30 minit sehari, baru sihat dan cergas.

Jom kawan², jangan jadikan alasan takde masa dan penat. Seminggu 3 kali pun dah memadai.

Selasa, 27 Januari 2015

Banjir 2014 : Sebulan sudah berlalu

Assalamualaikum...(^ ^)


Hari semalam genap sebulan selepas banjir besar melanda, kesannya masih terasa dan sisa² kemusnahan masih ada. Bila tengok semula gambar rumah Mas di kampung ni sebak rasa hati, sebahagian harta benda musnah dek banjir. Satu kenangan yang sukar dilupakan!

26 Disember 2014, itulah tarikh air banjir naik mendadak sehingga menenggelamkan rumah penduduk kampung dalam sekelip mata. Pada tarikh itu semua orang memperingati 10 tahun selepas kejadian tsunami, tapi tak disangka tsunami kecil pulak melanda negara kita. Keadaannya sama dahsyat dengan tsunami yang sebenar, Masya Allah!

Tapi dari bencana banjir ini kita belajar bersabar dan redha, ada hikmah dan pengajaran di sebalik kejadian ini. Mungkin semua harta benda musnah tapi syukur kita dan keluarga masih selamat. Walaupun sukar untuk bina semula kehidupan selepas bencana ini tapi ingat masih ada yang sudi dan akan sentiasa membantu. Insya Allah!

Keadaan rumah Mas selepas banjir. Alhamdulillah sedikit sebanyak telah pulih dan dibersihkan oleh adik beradik dan bantuan sukarelawan. Syukur! 



Isnin, 26 Januari 2015

Isu rotan anak

Assalamualaikum...(^ ^)


Memang dah jadi panas isu rotan anak ni, bila dah dikuatkuasa agaknya anak kita akan cakap kat kita macam gambar kat atas tu. Pening kepala mak ayah lepas ni, kalau anak buat salah hanya boleh marah dan nasihat. Nak rotan sebagai pengajaran dah tak boleh dah, nanti masuk penjara.

Bagi pendapat Mas tidak relevan perkara ini hendak dilaksanakan kerana cara mendidik anak yang paling berkesan adalah dengan merotan. Ini supaya mereka sedar akan kesalahan dan tak akan ulangi lagi. Contoh anak² Mas, kalau setakat marah dan nasihat memang payah nak dengar. Tapi bila dah angkat rotan memang cepat² mereka sedar yang mereka dah buat salah dan janji tak buat lagi.

Rotan bukan bererti mendera tapi sebagai pengajaran, lagi pun ia adalah sunnah Rasulullah SAW. Dalam hadis baginda ada mengatakan yang untuk mengajar seseorang anak adab, memang perlu kita merotan, jadi dah jelas kan?


Lagi pun jika nak merotan tu ada hadnya, bukan kita merotan membabi buta. Macam Mas biasanya akan rotan anak² di tapak kaki atau tapak tangan, sebab kalau rotan di bahagian tu rasa sakitnya akan cepat reda. Mas pun dulu jenuh dirotan oleh arwah abah kalau buat salah. Takde pun cacat cela, membesar dengan sihat je!

Jadi bagi Mas mendidik anak cara merotan memang lebih berkesan. Tak perlu nak laksanakan rotan anak itu satu jenayah, nanti anak kita yang jadi penjenayah. Fikirlah sedalamnya wahai Datuk Seri!


Rabu, 21 Januari 2015

Wordless Wednesday [80]

Assalamualaikum...(^ ^)

Sisa² kemusnahan selepas banjir. Sebak bila terkenang semula kejadian ini, moga mangsa banjir terus tabah melalui proses pasca banjir.







Selasa, 20 Januari 2015

Nur Airis Arissa : Chicken pox

Assalamualaikum...(^ ^)

Dah habis cerita pasal kisah banjir. Jadi hari ni Mas nak cerita kisah Airis kena chicken pox.

Airis kena chicken pox ni semasa Mas masih terperangkap dalam bencana banjir di kampung lagi. 3/1/2015, masa air mula surut Mas perasan ada naik biji² air di belakang dia. Masa tu memang dah syak dia kena chicken pox, mulalah rasa tak keruan sebab hari tu nak mula cuci rumah. Jadi dengan dia yang tak sihat tu memang berperang sikitlah nak buat kerja, sekejap cuci rumah sekejap dukung dia yang asyik nak mengamuk. Mungkin masa tu dia dah rasa tak selesa, dan Mas pun terpaksa sambung cuti lagi seminggu untuk jaga dia.

Malam pertama kena memang dia demam kuat, pukul 1 pagi terpaksa naik bot redah air banjir sebab suhu badan dia cecah hingga 40 darjah celcius. Terus kami bawa di ke Hospital Temerloh, 3 jam menunggu baru dapat jumpa doktor. Pukul 4 pagi baru selesai dan kami tak balik rumah pun, tidur dalam kereta sampai pukul 6 pagi. 

Hari kedua dah banyak biji² air, masa tu lagilah dia meragam. Asyik nak berdukung je. Makan langsung tak nak, minum susu pun sedikit. Demam dia masih berlarutan dan kami pantau dengan bagi ubat. 

Hari ketiga kami dah balik ke Salak Tinggi. Malam tu barulah jampi air dan cari daun bambu untuk campur dengan bedak sejuk, pastu lumur kat seluruh badan dia bagi hilang rasa gatal. Malam tu memang tak tidur sampai ke pagi sebab dia asyik menangis, bila rasa gatal dia akan cakap "Mama nyamuk gigit!" Memang meruntun hati sangat masa tu. Ini gambar dia masa hari ketiga, sampai bengkak muka. Sedih tengok!



Selepas 5 hari baru dia berselera makan bubur nasi, susu pun dah banyak dia minum. Demam pun dah berkurangan, cuma rasa gatal² tu masih ada. Tapi Mas masih terus sapu bedak sejuk campur daun bambu. Selepas seminggu barulah biji² air kering dan meninggalkan parut. Masa dah kering ni baru Mas sapu Bio Oil untuk hilangkan parut.



Ini gambar hari Ahad lepas. Dah semakin sihat dan dah boleh hantar ke taska, tapi parut masih ada dekat muka dia. Tapi takpe kalau budak ni parut dia cepat hilang, jadi tak risau sangat!


Isnin, 19 Januari 2015

Misi Pasca Banjir

Assalamualaikum...(^ ^)

Hampir sebulan selepas banjir melanda kampung Mas. Proses pembersihan rumah pun belum 100% siap. Kerosakan barang² memang boleh dikatakan total lost, nak ganti balik apa yang dah rosak memang memakan masa.


Tapi alhamdulillah pada hari semalam satu kumpulan dari kilang along Mas bekerja iaitu Profesh Sdn Bhd, sukarelawan dari group Republik Chenta dan 4x4 BSAdvanture telah datang ke kampung Mas bagi misi pasca banjir. Misi mereka adalah membersihkan sisa² banjir di rumah Mas dan mengagihkan barang bantuan ke penduduk kampung. Sukarelawan Republik Chenta dan 4x4 BSAdvanture ini memang pernah datang pada 4/1/15 yang lepas, masa itu mereka mengagihkan barang bantuan dan menolong mencuci rumah.

Dengan pertolongan dan budi baik mereka dapatlah sedikit sebanyak rumah Mas dibersihkan. Segala pinggan mangkuk yang belum dicuci pun mereka dah tolong cuci, segala sampah sarap yang berteraburan di halaman rumah mereka dah bersihkan. Segala sisa² barang yang rosak yang kami buang mereka telah bakar dan tanam, dinding luar rumah yang belum dicuci pun mereka dah cuci. Pendek kata hampir 80% telah dibersihkan, memang terhutang budi sangat pada mereka!

Memang terbaik sukarelawan Profesh Sdn Bhd, Republik Chenta dan 4x4 BSAdvanture, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik anda semua!













Jumaat, 16 Januari 2015

Banjir 2014 : Proses pembersihan 2

Assalamualaikum...(^ ^)


Hari Ahad masuk hari kedua proses pembersihan rumah, kali ni bersihkan rumah dapur pulak kerana air dah surut. Ini adalah proses pembersihan yang paling mencabar kerana paras selut sangat tinggi, atas dari buku lali.

Mula² kami buang selut yang ada dan masa yang diambil adalah selama lebih kurang 3 jam. Kemudian barulah simbah dengan air banjir yang masih ada di halaman rumah, pastu baru cuci dengan air bersih. Rumah dapur kami hanya cuci lantai sahaja, dinding memang tak cuci. Bukannya malas tapi dah tak larat, badan terlalu penat. Husband Mas cakap nanti cat sahaja dinding tu!  



Tapi kami sangat beruntung masa proses membuang selut tu, ada sukarelawan 4x4 dari kilang kakak Mas datang. Memang kami dah diberitahu oleh kakak yang ada sukarelawan akan datang. Mulanya mereka datang hanya nak hantar barang bantuan, tapi bila mereka tengok keadaan rumah dapur yang sangat teruk terus dengan rela hati mereka menolong. Terima kasih sangat pada sukarelawan Republik Chenta atas budi baik anda semua. Barang bantuan pun banyak mereka bagi untuk diberikan kepada penduduk kampung. 

Inilah gambar keadaan rumah dapur kami, penuh dengan lumpur dan selut! Pinggan mangkuk pun habis berlumpur dan paling tak tahan bau lumpurnya sangat busuk.






Jam 7.30 malam barulah selesai proses mencuci rumah dan letrik pulak kembali pulih pada Ahad malam tu. Lega sangat, barulah rasa cahaya terang sejak bergelap dan ditemani cahaya lilin selama 10 hari. Keesokkan harinya kami dah gerak balik ke rumah masing², sedih nak tinggalkan rumah kat kampung kerana pinggan mangkuk masih belum dibersihkan. Pastu halaman rumah pun tak dapat dibersihkan kerana air masih ada lagi. Tinggalkan rumah dengan hati yang sayu tapi rasa lega bila rumah dah bersih dan kemas!



Sebelum balik kami buat repot polis dulu di IPD Temerloh. Ramai sungguh orang, semuanya nak buat repot pasal banjir. Dapatlah Mas cuti bencana dari 25 Disember 2014 hingga 5 Januari 2015. 

Habis sudah cerita pasal pengalaman banjir. Memang sangat hiba, sayu dan menyayat hati banjir tahun 2014 ini. Bagi daerah Temerloh dan kampung Mas ia adalah yang terburuk. Kepada semua mangsa² banjir moga redha dengan ujian Allah ini. Teruskan kehidupan walaupun pengalaman pahit itu sering menghantui, bina hidup baru untuk tempuhi hari mendatang!

Khamis, 15 Januari 2015

Banjir 2014 : Proses pembersihan 1

Assalamualaikum...(^ ^)


Hari Sabtu dan Ahad air telah surut sepenuhnya, maka bermulalah misi membersihkan rumah. Mas cerita dulu proses pembersihan rumah atas pada hari Sabtu.

Seawal jam 7 pagi kami dah gerak balik ke rumah, kena naik bot sebab keliling rumah masih dipenuhi air. Hanya rumah atas dah tiada air, rumah dapur masih dipenuhi air. Mula² melangkah masuk ke dalam rumah memang mengucap panjang, seluruh barang dalam rumah tunggang langgang. Dengan lumpur yang paras buku lali dan baunya jangan cakaplah, sangat busuk! Almari² baju, kabinet TV, kabinet dapur, kabinet pinggan mangkuk semuanya rosak ditenggelami air. TV, peti ais, dapur gas pun sama. Tilam dan bantal pun ada yang rosak sebab almari tumbang jadi semuanya jatuh dalam air. 


Proses pembersihan dimulakan dengan membuang lumpur dahulu, kemudian baru simbah dengan air banjir dan akhir sekali cuci dengan air bersih. Memakan masa 12 jam dari jam 7 pagi hingga 7 malam proses mencuci disebabkan air paip sangat perlahan. Penat jangan cakaplah, rasa nak patah pinggang. Tapi gembira dan puashati bila rumah dah bersih. Mas pun terganggu jugak masa nak bersihkan rumah sebab Airis kena chicken pox kan, sambil cuci sambil layan dia!

Malam tu kami dah tidur semula di rumah. Lega rasa walaupun esok kena berdepan dengan proses pembersihan rumah dapur pulak. Inilah gambar keadaan dalam rumah kami, musnah semuanya






Rabu, 14 Januari 2015

Banjir 2014 : Day 9 & 10 | 1-2 Januari 2015

Assalamualaikum...(^ ^)

Masuk tahun baru 2015, keadaan banjir semakin pulih. Walaupun air surut perlahan² tapi kami sangat bersyukur kerana akhirnya banjir surut.





1 Januari kami masih menumpang di homestay penduduk kampung sebab air belum surut sepenuhnya, rumah pun baru nampak separuh. Sebelah petang dok layan anak² main dalam bot, anak² Mas memang teruja sangat maklumlah pertama kali terlibat dengan banjir. Tapi Mas bagi mereka main dalam bot je, air banjir memang dilarang main sebab masa surut ni air kotor. Pastu satu lagi paling syok ialah menjala ikan bila air dah surut. Tengoklah ikan yang penduduk kampung dapat, besar! Kami siap beli 3 ekor untuk buat lauk, puas makan.

2 Januari baru air surut dengan cepat, sebak dan sayu tengok kesan² selepas banjir terutamanya rumah² orang kampung. Husband Mas balik tengok rumah tapi belum boleh dicuci kerana air dalam rumah masih paras lutut. Husband hanya angkat barang² yang rosak dan buang, memang sedih tengok keadaan dalam rumah. Tunggang langgang semuanya dilanggar tsunami kecil, Masya Allah!

Inilah gambar keadaan kampung Mas selepas surutnya banjir, sedih!







Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com