Logo KBBA

terkini dan sensasi

Jumaat, 31 Ogos 2018

Floria 2018 raikan tahun ke-10

Assalamualaikum...(^ ^)

Korang dah ke Floria 2018 ke? Kalau belum pergilah bawak anak², mak ayah dan kawan², banyak port menarik untuk bergambar. 



Mas dah pergi semalam lepas kerja, kebetulan nak raikan ulangtahun perkahwinan. Sambil tu boleh jalan² tengok bunga dan hiasan menarik di Floria tu. Tapi tak puas jalan semalam sebab jam 6 petang baru Mas sampai kat situ, luas dalam tu nak terokai semua. Banyak jugak Mas tak sempat pergi, macam kena datang lagi je esok. Tengoklah camne sebab Sabtu Ahad mesti ramai orang, malas nak bersesak²!

Tiket kalau nak senang, Mas nasihatkan beli online je. Ada diskaun 20% tau kalau beli online, tiket dewasa hanya RM9.60 dan kanak² cuma RM4.80 je. Itu untuk hari biasalah, kalau Sabtu Ahad lain harga tau. Boleh layari floriaputrajaya.com.my/ticketing-information/. Nak beli kat sana pun bolah, Mas tengok dah banyak kaunter tiket berbanding tahun sebelum ni. Pastu jangan lupa bawak air masak sendiri, sebab dalam tu sebotol air mineral RM2 ye. Makanan pun boleh bawak sendiri kalau nak jimat, tapi kalau tak nak dalam tu ada banyak food truck. Harga makanan memang agak mahal sedikitlah, biasalah event camtu kan?



Kalau bawak baby tu dinasihatkan bawak stroller sebab penat nak dukung baby, luas dalam tu dan banyak tempat nak pergi. Payung pun boleh bawak jugak kalau tak nak panas. Lagi satu dalam tu ada disediakan tram kalau korang malas nak jalan, bayaran dia Mas tak pasti sangat. Cuma kalau nak puashati lebih baik jalan kaki je, senang nak bergambar dan boleh nikmati suasana cantik dalam tu. Jangan lupa abadikan kenangan dalam tu, banyak sangat port cantik² untuk bergambar. Cuma kena bergilir² dengan pengunjung lain, jangan berebut sebab memang ramai yang nak bergambar. 

Ikut pengalaman, Mas puashatilah ke Floria 2018 ni. Walaupun agak sama je dengan tahun sebelum ni tapi dalam tu cantik² sangat, seronok tengok hasil hiasan yang diaorang buat. Anak² pun seronok, jadi berbaloilah pergi. Jom tengok gambar², banyak tau jangan muak pulak!






Kalau pergi malam pun cantik bergambar tau!





Puashati dapat ambik gambar banyak²!






Khamis, 30 Ogos 2018

Ulangtahun perkahwinan ke-16

Assalamualaikum...(^ ^)

Ya Allah, syukur sangat! Kami masih dipanjangkan usia untuk raikan ulangtahun perkahwinan yang ke 16 tahun, Allah masih pelihara hubungan cinta kami. Moga kami terus cinta hingga je akhir hayat, dan dapat besarkan anak² bersama. Banyak dah asam garam pahit manis selama 16 tahun, dan moga ia berterusan hingga ke tahun² mendatang. 


Tahun ni takdelah jalan² sambut anniversary sebab kena kerja kan, anak² pun kena sekolah. Nak raikan esok, husband pulak kerja. Pastu nak ambik cuti kang baru je lagi lepas cuti raya haji hari tu, lagi pun nak simpan cuti untuk anak² periksa. Jadi tahun ni kami buat ala kadar je, janji dapat raikan ulangtahun tu. Hujung tahun baru kita pergi jalan²!

Fikir punya fikir mana nak raikan hari bahagia ni, terus teringat ada Floria. Haaa Mas kan suka bunga, jadi pergi tengok bunga jelah. Boleh jugak ambik gambar cantik², ala² romantik dikeliling bunga gitu. Pastu boleh jugak tengok bunga api malam merdeka, haaa janji ada kenangan manis di hari ulangtahun ni. Cukup best dah tu bagi Mas.


Tiket masuk Floria pun dah beli online je, senang tau dan ada diskaun 20%. Nanti nak beli kek jugak, boleh lepak tepi tasik kat Floria tu. Haaa potong kek sambil makan² dengan anak², romantik jugak kan? Haaa tak sabar tunggu balik kerja ni!

Happy Anniversary Abang, terima kasih atas segalanya selama 16 tahun ni. 

Rabu, 29 Ogos 2018

Persedian Airis ke tahun satu

Assalamualaikum...(^ ^)

Lagi 4 bulan je Mas nak buat persediaan untuk Airis ke tahun satu, bukan saja persediaan dari segi kelengkapan sekolah tapi dari segi Ujian Linus Tahun 1. Haaa yang ni paling utama!


Pembelajaran sekarang tak macam dulu, nak tentukan kelas mana kena hadapi ujian dulu. Nak tengok tahap penguasaan anak², boleh membaca dan menulis atau tidak. Kalau zaman Mas dulu masuk je kelas mana² tanpa ujian, bercampurlah satu kelas tu yang cerdik dan yang kurang. Bersaing secara sihat, jika kau rajin belajar dan tumpukan perhatian dalam kelas yang tak pandai pun boleh dapat A. Bukan kepandaian jadi ukuran tapi kerajinan. 

Tapi sekarang zaman KBAT, tahap pembelajaran dah berubah. Anak² kena menguasai apa yang dipelajari, kalau tidak mereka tak mampu buat. Jadi dengan adanya Ujian Linus ni tahap kemampuan anak² dapat diukur, kalau mereka tak boleh kena masuk kelas pemulihan. Ibu bapa pulak kena lakukan sesuatu, jangan harapkan cikgu je tapi kena ajar jugak di rumah. Kena pastikan anak² mampu membaca dan bersedia nak jawab soalan linus nanti. 


Untuk Airis Mas kena ajar dia lebih lagi, laaa ni dah siap cetak contoh² soalan linus dari Internet. Nak suruh dia cuba buat, selalu buat latihan nanti dia akan tahu camne nak jawab soalan² tu. Dia ni dah boleh membaca dua suku kata dan ayat² pendek. Mengeja pun dia dah lancar, cuma kadang selalu tersilap huruf je. Mas kena bagi dia lancar membaca ayat² panjang je, jadi kalau ada sarikata atau tulisan kat TV tu Mas suruh dia cuba baca. Pastu bagi dia baca buku cerita pendek yang mudah difahami, alhamdulillah dia boleh walaupun tak lancar sangat. Lama² dia mahirlah, kena rajin!

Untuk BI dan Matematik kena usaha lebih lagi, sebab yang ni yang agak lemah sikit. BI tu dia bolehlah baca perkataan pendek, kalau ayat panjang tu agak merangkak² bacaannya. Matematik pulak dia dah boleh buat tambah dan tolak, jumlah duit pun dah kenal sikit², tengok jam pun retilah jugak, tapi banyak lagi kena belajar. Moga sebelum Ujian Linus nanti, Airis mampu kuasai semua. Doakan yang terbaik untuk dia!

Selasa, 28 Ogos 2018

Misi sihat kurus bermula!

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa baru nak insaf dan istiqomah kembali! Hehehee nak buat camne, baru sedar diri tu dah semakin berat dan membesar. 


Sejak berjaya capai berat 63kg dulu, Mas dapat kekalkan sehinggalah mengandungkan Aiyra. Lepas bersalin ada berjayalah cecah ke 67kg, tapi tak kekal lama sebab diet tak konsisten sangat. Kadang makan secara sihat dan kadang tak, pastu bersenam pun malas. Pastu masa puasa dapatlah turun ke 65kg, namun tak kekal lama jugak. Lepas raya naik pulak ke 70kg, fuhhh memang seram nak naik penimbang. 

Lagi satu pengambilan gula Mas tak kawal sangat, banyak jugak bedal makanan manis. Huwaaa memang nangis tengok badan makin naik mendadak, lengan membesar dan perut asyik sebu dan berangin je. Haihhh takut pulak nanti tetiba cecah berat 84kg macam dulu. Mas kena mula kembali berdiet dan kawal nafsu makan yang makin rakus ni, kena makan secara sihat kembali. 

Jadi dah habis raya haji ni Mas bermula sediakan sendiri makanan dirumah supaya tiada pengambilan gula, garam dan minyak. Mas kurangkan makan nasi dan lebihkan makan sayur dan buah, pastu yang manis² memang tak makan dah. Lebihkan minum air kosong, setakat ni berjaya 3-4 liter sehari. Nasi Mas kena makan jugak sebab masih menyusukan Aiyra, kalau tak makan susu agak merundum. Cuma Mas kurangkan portion dan makan sekali sehari je.



Nak bermula kembali makan secara sihat ni tak susah sebenarnya, kita yang kena disiplin. Bila dah amalkan setiap hari, lama² akan jadi terbiasa. Mas ni takdelah nak kurus sangat cuma nak kekalkan berat ideal je, bila berat bertambah ni akan jadi malas. Badan rasa lemau dan cepat penat, pastu nafsu makan pun membuak². Insya Allah Mas boleh dapatkan semula berat 63kg tu, sebab sebelum ni Mas pernah lakukan. Dekat 2 tahun Mas ambik masa, perlahan² tapi berjaya. Awak mampu Mas!

Isnin, 27 Ogos 2018

Lampin dan Produk Penjagaan Bayi Kira Kira Baby

Assalamualaikum...(^ ^)

Pemilihan lampin pakai buang dan produk penjagaan bayi memang menjadi perkara utama bagi seorang ibu, yelah nak pastikan anak² sentiasa bersih dan selesa kan? Jadi mestilah ibu² nak pilih produk yang terbaik untuk bayi mereka, terutamanya yang bebas dari bahan kimia. 


Ok ni Mas nak perkenalkan produk Kira Kira Baby, jenama lampin dan penjagaan bayi premium yang lengkap dengan inovasi teknologi Jepun. Haaa sekarang ni produk Kira Kira Baby ni dah ada di Malaysia tau, nanti bolehlah ibu² cuba guna. Jom Mas cerita satu persatu mengenai produk Kira Kira Baby ni, comel sangat tau packaging dia.

Lampin Kira Kira Baby
Diperkenalkan dengan 2 jenis pilihan iaitu Kira Kira Airy Soft Premium Diapers dan Kira Kira Ultra Soft & Dry Premium Pants. Dah ramai pengguna berkongsi pengalaman yang mereka berpuashati dengan pilihan lampin ni, bayi mereka lebih ceria dan kurang meragam. "Bagi membolehkan bayi anda tetap selesa dan bergaya, kami telah menggunakan corak lampin yang kawaii (comel) untuk si kecil anda!" kata Patt Sue Ann, Pengarah Komersial-MOOCC bagi Pengasas DSG Malaysia Sdn. Bhd.


Direka mengikut garis pinggang, Airy Soft Premium Tape Diapers yang terdapat dengan saiz New Born dan S. Ia diperbuat daripada bahan² premium yang boleh menyerap udara serta lembut. Pastu pada lampin ni ada bantuan penunjuk kelembapan, jadi ibu bapa dengan mudah boleh tahu masa bila lampin perlu ditukar. Haaa bagus ni, takdelah kulit bayi terkena ruam dan boleh elakkan kerengsaan kulit. Lagi satu dengan bantuan pita boleh lekat semula yang ultra lembut dapat mengekalkan pemakaian lampin pada bayi, boleh mereka bergerak lebih selesa.


Ultra Soft & Dry Premium Pants pulak terdapat dalam pelbagai saiz dari M hingga ke saiz XXL. Pants camni memberikan kesenangan dan lebih mudah dipakai, terutama kalau bayi kita terlalu lasak. Bahan boleh serap udara yang premium dan penyerapan 2 lapisan memberikan rasa kering dan segar yang lebih lama kepada bayi. Bukan itu saja, ukuran perut dan kaki yang selesa membolehkan si manja bergerak dengan mudah. Mas pun dah cuba pakaikan yang jenis pants ni kat Aiyra, memang kekal kering lama tau. Pastu material yang lembut tu buat Aiyra rasa selesa bila pakai.

Produk Penjagaan Bayi Kira Kira Baby
Selain lampin, Kira Kira Baby jugak pakar dalam produk penjagaan bayi organik. Produk ni mengandungi hanya bahan² organik semulajadi dan diperbuat berdasarkan rumusan Jepun yang bebas daripada bahan² kimia berbahaya. Terdapat 3 produk iaitu:


1. Kira Kira Top to Toe Wash (400ml) berkesan untuk membersih dan mengekalkan kelembapan kulit bayi. Menggunakan ekstrak camelia japonica ia menjadikan kulit bayi lembut bila disentuh. Ia jugak mudah dibilas, jadi memang tak akan ada sisa sabun tertinggal pada kulit bayi.  

2. Kira Kira Baby Lotion (380ml) yang mengandungi baobab organik memberikan khasiat kepada kulit bayi apabila disapu selepas mandi. Rumusannya berasaskan air yang sangat ringan dan tidak melekit, ia jugak dapat melembap dan menyerap cepat ke dalam kulit.

3. Kira Kira Nappy Cream (50ml) jugak diperkaya dengan kebaikan ekstrak chamomile dan shea butter yang membantu memulihkan, melegakan dan melembapkan kulit bayi. Ia jugak dapat melindungi kulit bayi daripada ruam lampin. 


Haaa dah tahu kan kelebihan lampin dan produk penjagaan bayi Kira Kira Baby ni, camne pulak dengan harga? Mereka menawarkan harga yang berpatutan tau, dan untuk penjimatan yang lebih besar pengguna boleh membeli produk Kira Kira Baby menerusi laman web Shopee. Hanya layari http://bit.ly/KiraKiraShopee, dan pembelian melebihi RM100 masukkan kod promo KK25LAUNCH sewaktu pembayaran untuk menikmati diskaun. Kod promosi ini sah sehingga 30 September 2018, apa lagi cepat² pergi dapatkannya!

Untuk maklumat lanjut mengenai Kira Kira Baby, boleh layari dan like Facebook mereka di www.facebook.com/kirakiramalaysia.


Sabtu, 25 Ogos 2018

Kutip masuk mulut!

Assalamualaikum...(^ ^)

Bayi sebesar Aiyra ni memang itulah hobi dia, mengutip apa saja yang ternampak depan mata. Tapi Aiyra ni extreme sikit tahap mengutip dia tu berbanding kakak² dan abangnya. 


Sebab itulah setiap masa Mas kena pastikan kawasan sekitar ruang tamu tu bersih, takde habuk² atau sampah sarap yang kecik². Kalau Aiyra nampak dulu memang dikutipnya, terus masuk mulut tanpa rasa bersalah. Pastu bila benda tu dah ada dalam mulut dia, haaa nak keluarkan punyalah payah. Tak bernasib baik jari digigitnya, hahahaa!

Macam petang tadi, dia dok main senyap je dalam bilik Mas. Ingatkan takdelah apa yang pelik dia buat, lagi pun bilik Mas memang bersih dari habuk² ni. Tetiba dia keluar dari bilik, Mas tengok mulut dia macam kunyah sesuatu. Apa lagi terus ambik dia dan korek mulut tu, mengamuk² dia marah. Dapat je keluarkan tengok sekor kumbang kecik dalam mulut, Ya Allah Aiyra oiii. Hahahaa mengucap panjang mama, tanpa rasa bersalah kau masukkan dalam mulut kumbang tu. 

Haihhh Mas pun tak tahu kat mana dia jumpa kumbang tu, pandai betul dia cari. Tapi itulah, budak suka mengutip ni memang dia nampak je apa yang nak dimasuk dalam mulut. Cuma nasib baiklah Aiyra ni dia tak akan telan apa² yang dimasuk dalam mulut tu, dia akan kemam² dan macam nak kunyah je. Kalau dia pandai telan dah macam² masuk dalam perut dia tu. Tapi Mas risau takut dia tertelan dan tercekik je!

Dengan bayi camni kita kena lebih peka, bukan apa takut dia masukkan benda berbahaya je dalam mulut. 

Jumaat, 24 Ogos 2018

Review filem MI Fallout

Assalamualaikum...(^ ^)

Setelah setahun lebih tak jejak kaki ke panggung wayang, akhirnya raya haji hari tu kami mencipta sejarah. Hehehee siap bawak Aiyra lagi tau! Boleh baca kisah Pengalaman bawak Aiyra tengok wayang.


Kali ni kami tengok filem MI Fallout, sebab kami memang tak pernah missed tengok filem ni kat wayang dari MI1 dulu. Jadi gigih jugak bawak anak² pergi tengok, dekat RM60 tiket untuk satu keluarga. Haaa takpelah sekali sekala kan, nak tengok selalu kopak duit mama korang ni.

Rasanya Mas tak perlu tulis sinopsis filem ni, sebab ramai yang dah tahu jalan ceritanya kan? Mas cuma nak review dari apa yang Mas tengok je, bagi Mas sekuel filem MI memang tak pernah mengecewakan. Sentiasa penuh dengan aksi yang mendebarkan, walaupun ada setengah aksi tu macam tak logik tapi nampak real tau. Fuhhh berdebar² dada bila tengok, mulut tak henti² dok jerit. Hahahaa nak luluh jantung tengok aksi helikopter tu!

Pastu tabiklah dekat Tom Cruise, walaupun dah berusia tapi masih mampu lakukan aksi lagak ngeri. Macam baru berumur 20an je bila tengok dia berlari laju dan lompat sana sini, haihhh mantap betul! 


Memang MI terbaru ni best bagi Mas, terutama teknik penyamaran Benjy tu. Hehehee memang menjadi, tertipu si Walker yang jahat tu. Tak sangka betul, bikin suspen sungguh. Dari awal tengok sampai habis tak rasa bosan langsung, ada babak suspen yang boleh bikin sakit jantung. Ada jugak babak kelakar yang boleh buat korang tergelak, dan ada jugak babak yang buat korang rasa geram sangat. Haaa berjayalah filem MI Fallout ni, Mas kasi 10 bintang terus!

Korang yang belum tengok tu, bolehlah pergi panggung sekarang. Masih ada lagi ditayangkan kat pawagam tu, mesti tak kecewa punya!

Khamis, 23 Ogos 2018

Pengalaman bawak Aiyra tengok wayang

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa sebelum Mas review pasal filem MI Fallout tu, ni nak cerita sikit pengalaman bawak Aiyra masuk panggung. Memang tak pernah dibuat Mas bawak anak sekecil tu tengok wayang, masa kakak² dan abang dia dulu bila dah umur 3 tahun keatas baru berani bawak. 

Hehehee tapi kali ni entah kenapa Mas beranikan diri nak bawak anak baru berusia 10 bulan masuk ke panggung. Husband Mas yang beria sangat nak tengok cerita MI tu, Mas memang takde keyakinan sangat nak pergi. Risau Aiyra dok meragam dalam pawagam tu, maklumlah gelap dan bunyi sound system yang kuat. Kang tak pasal² dia melalak, Mas pulak yang kena keluar. Haaa rugi je beli tiket, nak tengok cerita pun tak dapat!


Tapi dek kerana rasa nak tengok jugak filem MI tu, Mas tawakal je. Siap cakap kat husband, kalau Aiyra meragam dia yang kena keluar panggung. Hahahaa ai tak nak keluar, nak tengok cerita sampai habis. Masa mula² masuk tu Aiyra macam biasa, nampak dia seronok. Dok dia atas riba sambil ralit tengok skrin besar depan mata, mulut dia bising sikit²lah. 

Bila cerita dah mula dalam 15 minit camtu, dia dah nampak resah. Tak nak dipegang dan duduk diam, meronta² mintak dilepas. Mas masa tu dah rasa nak keluar je, tapi cuba jugaklah pujuk dia. Pastu dia macam dah nak mengamuk menangis dan dok genyeh² mata, Mas syak dia mengantuk. Apa lagi teruslah bagi mengempeng, hahahaa nasiblah gelap dalam tu. Dapat menyusu terus 2 jam dia tidur, dapatlah Mas tengok wayang dengan aman. 

Lagi ½ jam cerita nak habis dia dah bangun, apa lagi buat onarlah sekejap. Dia takdelah meragam sebab dah puas tidur kan, cuma mulut dia dok bising. Puas jugak nak suruh diam, macam² bagi dia main. Dia takdelah jerit kuat², dok bunyi aaaaa aaaaa je. Cuma Mas risaulah kan, takut ganggu orang lain yang tengah syok menonton. Tapi disebabkan sound system yang kuat tu, takdelah suara Aiyra ni didengari sangat. Jadi semuanya masih boleh dikawal, kami pun dapat tengok cerita sampai habis.

Haaa camtulah pengalaman Mas bawak Aiyra menonton wayang, masih boleh dikawallah. Cuma lepas ni kena fikir banyak kali kalau nak bawak lagi, mungkin tunggu dia dah umur 2 tahun lebih ke. Bukan serik tapi Mas kesian je dekat dia, agak tak selesa dok dalam panggung tu 2 jam lebih. Memang dia tidur lama, tapi Mas pulaklah yang tak selesa sebab dia tidur sambil mengempeng. Sakit pinggang mak kau ni nak, hahahaa! Tapi apa pun ia suatu pengalaman yang manis, mana tau lepas ni nak bawak lagi. 

Rabu, 22 Ogos 2018

Aidiladha yang sederhana

Assalamualaikum...(^ ^)

Salam Aidiladha semua!



Tahun ni dapatlah Mas balik beraya haji kat kampung setelah bertahun tak balik, nasiblah husband dapat cuti. Kalau tak rayalah kami kat Salak tu je.

Tapi raya haji kali ni hanya Mas sekeluarga je yang balik, adik beradik lain tak dapat cuti. Mula tu ada jugak adik Mas balik tapi hari Isnin dia terpaksa balik ke Kuala Kangsar sebab bapa mertua meninggal dunia. Jadi tinggallah kami anak beranak je, namun itu tak halang kami untuk beraya kan? Tetap jugak semangat buat juadah raya, buat lemang dan rendang tau! Baca kisah Projek lemang raya ni.


Lepas husband balik sembahyang raya kami bergambar jugaklah sebagai kenangan, kenalah gembira walau adik beradik lain takde. Dah puas bergambar kami gerak ke Kuantan, nak pergi rumah mak mertua Mas. Walaupun mak abah takde kerana menunaikan haji, tapi adik beradik husband ada kat rumah tu. Jadi kami baliklah sekejap jumpa mereka, sambil tu boleh makan juadah raya sama². 

Sebenarnya kalau kita ingat adik beradik dan pergi kunjung mengunjung camtu raya yang sederhana tu akan jadi meriah kan? Kumpul ramai² sambil borak² dan menikmati juadah, haaa mesti seronoknya. Macam² ceritalah akan keluar, kadang sampai lupa nak balik! 


Dah siap makan sama² tu tetiba husband buat pasal ajak tengok wayang, nak tengok MI terbaru tu katanya. Haaa Mas ni tak yakin sebenarnya nak masuk panggung, maklumlah Aiyra ni lasak. Risau jugak dia buat hal dalam panggung tu, haru mak! Tapi teringin nak tengok punya pasal kami teruskan jugak, haaa camnelah Aiyra dalam tu? Nanti Mas cerita dalam entri lain, dan nantikan jugak review MI terbaru tu.

Itulah Aidiladha kami, sederhana tapi penuh kenangan!

Selasa, 21 Ogos 2018

Projek lemang raya

Assalamualaikum...(^ ^)

Masa arwah mak abah masih ada dulu, setiap kali raya mesti wajib buat lemang. Tak kiralah raya Aidilfitri atau raya Aidiladha. Biarlah mereka letih, asalkan puashati buat lemang sendiri. 



Tapi bila mereka dah takde kami adik beradik memang tak teruskan tradisi tu, masing² seolah takde masa nak buat. Bukannya tak pandai tapi tiap kali raya memang ada niat nak buat, cuma bila fikir bab nak bakar tu semuanya tak sanggup. Hehehee camtulah kan bila mak abah takde, masa mereka ada apa saja sanggup demi anak² kan? Alaaa rasa sebaklah pulak!

Entah camne raya haji ni tetiba Mas teringin sangat nak buat lemang sendiri, walaupun pada awalnya macam jadi tak jadi je. Tanya husband dia sanggup tak nak cari buluh, cari kayu api dan berpanas tepi api membakar lemang tu. Dia kata sanggup je, nak makan punya pasal. Sekali tu hari semalam husband cakap malas pulak nak buat, haaa masa tu Mas dah geram dah. Kita nak makan dia pulak tak nak buat. 



Pastu bangun pagi tadi Mas terus cakap dengan husband nak buat jugak lemang, terus suruh dia pergi beli barang. Balik dari pasar husband cari buluh dan kayu api. Dalam pukul 10 pagi camtu Mas rendam pulut, pukul 1 proses masukkan pulut dan santan dalam buluh yang husband dah isikan daun pisang. Dekat pukul 2 petang baru mula bakar, haaa tengah panas terik masa tu. Gigih tau berpanas tepi api nak makan lemang punya pasal. 

Dalam pukul 5 petang camtu lemang dah masak, terus belah sebatang nak tengok hasilnya. Fuhhh rasa nak lompat bintang bila lemangnya elok menjadi, rasa pun sedap, lemak dan tak berkerak. Haaa rasa nak nangis pun ada tau, sebab pertama kali buat sendiri tau! Dapatlah 8 batang lemangnya dari 2 kilo pulut, puaslah kami anak beranak makan. Boleh raya puasa tahun depan buat lemang sendiri lagi, hehehee suka!


Isnin, 20 Ogos 2018

Projek merebus belimbing buluh

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa memang banyak rezeki balik kampung tahun ni, macam² menjadi kat dusun ni. Laaa ni pun buah rambutan semua masak ranum kat atas pokok tu, puas lagi makan. 


Pastu buah belimbing buluh pulak banyak berbuah, lebat sangat. Mula dok fikir nak buat apalah dengan buah banyak camni, tak kan nak makan camtu je. Sekali adik Mas cakap kita rebus buat sambal hitam lah, boleh jugak makan. Hehehee terlupa pulak Mas pasal sambal hitam ni, nama je orang Pahang!

Jadi semalam apa lagi, projek mengutip belimbing buluh pun bermula. Mula cadangnya Mas nak kutip dan bawak balik ke Salak je, rebus kat sana. Tapi adik cakap nanti habis setong gas, nak rebus belimbing ni makan masa lama sampai berjam². Heheheee terus jelah rebus kat kampung ni guna api kayu, haaa senang. Mulanya guna periuk kecik je, sekali kutip punya kutip buah terlampau banyak. Teruslah guna periuk besar!



Lebih kurang 7 jam jugak kami merebus semalam, dari jam 6 petang sampai 12 tengah malam. Mas rebus belimbing ni hanya belimbing dan garam sahaja, air tak letak pun sebab air belimbing tu akan keluar banyak. Rebus memang sampai kering dan belimbing tu jadi hitam, pastu Mas takdelah buat sambal hitam terus. Simpan je belimbing tu camtu, nanti nak makan baru campur cili dan ikan bilis yang ditumbuk. Kalau ikut arwah mak dulu, belimbing rebus ni boleh simpan bertahun kalau rebus lama sampai kering. 



Haaa dapatlah seperiuk ni lepas dah direbus sampai kering, nanti nak bahagi sikit sorang adik beradik. Fuhhh sedap tau, rasa masam masinnya. Ini kalau jual ni RM40 sekilo tau, fuhhh untung! Tapi Mas takdelah nak jual, nak makan je. Memang puashati dapat buat sendiri, puas makan nanti.


Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com