Logo KBBA

terkini dan sensasi

Khamis, 31 Disember 2020

Jemapoh Pizza Kayu Api

Assalamualaikum...(^ ^)

Lama dah sebenarnya teringin nak makan Jemapoh Pizza Kayu Api ni setelah lihat ianya viral di Facebook. Tapi dek kerana kekangan PKP masa tu, maka simpan jelah dulu hasrat tu. Pernah jugak sekali masa tu husband ada hantar barang ke Kuala Pilah, jadi suruh jugaklah dia singgah tapi takde rezeki sebab kedai tutup.

Jadi semalam husband beritahu dia ada hantar barang ke Kuala Pilah, haaa apa lagi pucuk dicita ulam mendatanglah. Terus Mas ikut dia, tak sabar rasanya nak ke Jemapoh Pizza Kayu Api tu. Mas sempatlah telefon pemilik kedai tu tanyakan sama ada kedai bukak atau tak, alhamdulillah rezeki Mas kedai dia bukak macam biasa. 

Jemapoh Pizza Kayu Api ni terletak di Kampung Jemapoh Kuala Pilah, nak cari kedai dia korang waze je Jemapoh Pizza Kayu Api. Pasti akan jumpa kedainya! Kedai dibuka pada setiap hari Rabu hingga Ahad sahaja, hari Isnin dan Selasa kedai tutup. 

Kalau datang hari biasa memang tak ramai sangat orang tapi kalau weekend katanya tak menang tangan, kadang tu kena ambik masa yang lama sikit untuk dapat pizza. Jadi sebelum datang kalau hari minggu digalakkan buat tempahan online dulu, nanti bila dah sampai order dah siap. Kalau walk in memang kena tunggu lama sikit, tapi macam Mas pergi semalam tak lama tunggu sebab hari bekerja kan? 

Pilihan pizza pulak ada 5 jenis:

1. Jemapoh Signature: RM18
2. Jemapoh Signature Extra Cheese: RM20
3. Jemapoh Signature Extra Everything: RM21
4. Pilah Tuna: RM20
5. Peperoni Daging: RM21



Mas beli 2 pizza Jemapoh Signature dan 1 pizza Pilah Tuna, ternyata memang sedap. Makan pulak panas², memang tak sedar habis 3-4 keping. Toping atas pizza pun banyak, kulit pizza pun lembut dan ranggup. Walaupun makan dah sejuk tetap rasa sedap dan pizzanya tak keras. Patutlah ramai orang datang beli sampai berkotak²!

Tempat makan dia pun selesa dan cantik, haaa suasana kampung kan. Rasa nyaman je lepak² makan sambil menikmati pizza panas². Jadi bagi Mas berbaloi lah datang jauh sikit, tapi dapat makan pizza yang sedap. Puashati sangat!


Rabu, 23 Disember 2020

Selamat bertugas Datuk Harjeet!

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaaaa habis dah tempoh honeymoon selama sebulan selapas Dr Uzailee bersara, mulai 16/12 lepas boss baru dah masuk bertugas secara rasmi selepas dia tangguh selama seminggu dari tarikh lapor diri 9 Disember 2020.

Hari ni genap seminggu dah Mas bertugas dengan boss baru, Datuk Harjeet Singh. Sepanjang 17 tahun berkhidmat sebagai PA, ini kali pertama Mas jaga boss berpangkat Datuk dan bukan bangsa Melayu. Memang satu pengalaman yang berharga buat Mas!

Seminggu jadi PA beliau memang agak sibuk, maklumlah dia pun masih baru dan belum betul² familiar lagi dengan suasana kerja di KKM. Jadi banyak benda dia akan bertanya dengan Mas serta mintak Mas sediakan untuk dia, haaa sebab tu sangat sibuk sekarang. Seawal jam 8 pagi memang dah banyak benda kena uruskan, kadang tu nak makan pun tak sempat. Sedar tak sedar dah waktu tengahari, jadi makan sekali harung jelah.

Nak update blog pun tak sempat, sebab waktu rehat selama sejam tu sangat berharga. Masa itulah nak makan dan solat awal sikit kalau boss takde mesyuarat, kalau ada Mas akan solat selepas dia pergi. Tak boleh dah nak bersenang lenang dan rilek² macam masa dengan Dr Uzailee dulu, dengan Datuk semua kena pantas dan cepat. Tapi Mas lagi suka camtu, sebab masa tu takde berlalu dengan lambat. Semuanya jadi pantas, sedar je dah nak balik dah! 

Setakat seminggu ni Mas rasa selesa je kerja dengan Datuk, walaupun tak menang tangan sebab banyak kerja nak kena buat. Tapi takpelah sebab itu dah tugas Mas, lagi pun boss masih baru kan jadi banyaklah yang perlu kita buat untuk dia. Nanti dia dah biasa, semua akan lebih senang dan mudah. Lagi pun Datuk ni kebanyakan benda dia suka buat sendiri bersama PA, tak perlu nak harapkan orang lain. Kalau tak boleh selesai baru dia mintak panggil pegawai. 

Dua tahun lebih je Mas akan kerja dengan Datuk, harap kami dapat serasi sehingga Datuk bersara pada bulan Februari tahun 2023. 

Isnin, 14 Disember 2020

Gegar Vaganza 7: Konsert Akhir

Assalamualaikum...(^ ^)

Tahniah Cliff Umar!

Yer memang kemenangan yang sangat tak dijangka, peserta yang hampir tersingkir di konsert separuh akhir telah dinobatkan sebagai Juara GV9. Siapa sangka, rezeki dia! 

Sejujurnya Mas tak target pun Cliff Umar bakal jadi juara, Mas teka dia tempat ketiga je sebab persembahan dia untuk lagu duet agak kurang menyengat. Tapi bila menyanyikan lagu solo dia berikan persembahan yang all out dan setaraf konsert bak kata juri, dan semua juri pun suka jadi selayaknya dia menang. Untuk lagu battle pun dia bernasib baik sebab dapat gandingan dengan Mus dan Oja. Itu satu bonus bagi dia!

Ikutkan Mas memang teka Mus bakal bergelar juara, persembahan dan vokal dia memamg best semalam. Mas suka masa dia nyanyi lagu Mencintaimu, walaupun Azharina agak over tapi Mus berjaya sampaikan lagu tu dengan cara dia sendiri. Cuma mungkin sebab dia agak selesa dengan genre lagu yang dinyanyikan, jadi juri fikir agak kurang mencabar untuk dia. Tapi takpe naib juara pun dah terbaik bagi Mus, sebab dia dah legend dan ada nama. 

Ayu Damit pulak Mas teka dia dapat naib juara, sebab bagi Mas semalam dia berikan yang terbaik dari minggu² sebelum ni. Dia nampak lebih yakin dan lontarkan vokal yang jelas dan mantap. Tok Ram pun cakap lagu solo yang dia dapat tu susah untuk dinyanyikan tapi dia buat dengan baik. Masa dia duet dengan Naqiu tu Mas paling suka, vokal kedua²nya mantap!

Untuk persembahan battle semuanya Mas suka, best dan bertenaga. Semua peserta dapat nyanyikan lagu rap dengan bagus dan sebutan pun jelas. Paling seronok tengok kumpulan MCO iaitu Mus, Cliff dan Oja. Sangat menghiburkan persembahan mereka sampaikan Joe Flizzow mintak nyanyikan satu lagu lagi. 

Juri dah buat keputusan, jadi kenalah akur walaupun ianya sangat tak disangka. Itulah lumrah sesuatu pertandingan, yang penting mereka dapat tonjolkan semula bakat menyanyi yang dah lama menyepi. Tahniah untuk semua peserta GV7!

Juara: Cliff Umar
Naib Juara: Mus
Tempat Ketiga: Ayu Damit
Tempat Keempat: Noraniza Idris
Tempat Kelima: Linda Nanuwil
Tempat Keenam: Oja
Tempat Ketujuh: Ashira

Selasa, 8 Disember 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Separuh Akhir

Assalamualaikum...(^ ^)

Tiada penyingkiran di konsert separuh akhir, haihhh macam² lah GV tahun ni!

Macam tak adil pulak bagi yang dah berikan persembahan terbaik, tiba² semua mara ke pentas akhir. Baik tak payah buat separuh akhir, terus umum semua layak. Yelah sebab Mas ingat Noraniza Idris akan tersingkir, persembahan dia malam tu agak hambar. Tapi tak tahulah kenapa nak jugak pihak Astro bawak semua ke final!

Mengenai persembahan malam separuh akhir seperti biasa je, takde pun yang menyengat sangat dan boleh buat Mas sebagai penonton setia GV nak ulang tengok 2-3 kali. Memang dari awal kan Mas cakap GV7 ni agak hambar! 

Oja dinobatkan sebagai peserta yang dapat markah tertinggi, haaa dah separuh akhir baru nampak sikit dia bagus sebenarnya. Cuma mungkin kurang keyakinan diri membuatkan persembahan dia kurang memikat hati juri. Vokal pun boleh tahan sedap, pandai main gitar pulak tu. Patutnya dia cipta kelainan dalam persembahan, guna bakat yang ada tu. Barulah wow kan?

Mus dan Ayu Damit pun dapat markah tinggi minggu ni, dua peserta ni ada harapan jadi juara cuma kena beri lebih dan lebih lagi. Mas suka vokal dan persembahan Mus masa dia nyanyikan lagu Kasih tu, sedap di dengar. Ayu pulak masa dia nyanyikan lagu Skyfall, barulah nampak dia mampu berikan yang terbaik dan lontarkan vokal yang mantap!

Jadi di konsert akhir nanti kita bakal saksikan ketujuh² peserta berentap untuk gelaran juara. Siapakah bakal juara, Mas pun tak boleh nak agak sangat walaupun ada 2-3 yang ada harapan bergelar juara. Sebabnya semua peserta GV kali ni takde yang konsisten sangat dari awal hingga akhir, jadi kita tengok jelah konsert akhir nanti!

Untuk pentas akhir semua peserta akan nyanyikan satu lagu solo dan satu lagu berduet dengan juara GV musim² lalu. Pastu seperti GV² sebelum ni, tak sah final kalau takde lagu battle kan? Inilah senarai lagu² yang bakal dinyanyikan:

Lagu Solo & Lagu Duet
Oja | Jujur (Radja)
Di Sana Cinta Di Sini Rindu (Tajul & Wany Hasrita) duet Siti Nordiana

Mus | Mentari Di Ufuk Timur (Search)
Mencintaimu (Kris Dayanti) duet Azharina

Linda Nanuwil | One Moment In Time (Whitney Houston)
Terlanjur Cinta (Rossa & Pasha Ungu) duet Hady Mirza

Ashira | Wajah Kekasih (Datuk Seri Siti Nurhaliza)
Beribu Sesalan (Jaclyn Victor, Ning Baizura & Shila Amzah) duet Ayai Ilusi 

Ayu Damit | Bukan Dia Tapi Aku (Judika)
Memori Tercipta (Shila Amzah) duet Naqiu

Noraniza Idris | Hutang (Floor 88)
Empat Dara (S. Radziah & Orkes Gambus Penambang) duet Aishah

Cliff Umar | Nakal (Gigi)
I'd Do Anything For Love - But I Won't Do That (Meat Loaf) duet Noryn Aziz

Lagu Battle
Battle 1: Hikayat Ben Ladin (Ben Ladin)
Battle 2: Eh (Zizi Kirana)
Battle 3: Inilah Nasibku (Nico)

Selasa, 1 Disember 2020

Kewajiban menunaikan Zakat Perniagaan

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebelum ni Mas hanya tahu zakat digunakan untuk membantu golongan miskin dan asnaf yang susah sahaja, rupanya banyak lagi kategori zakat iaitu Zakat Fitrah, Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat KWSP, Zakat Emas dan Perak, Zakat Saham serta Zakat Pertanian. Alhamdulillah bila dah tahu dan ada pengetahuan tentang kewajiban menunaikan zakat, Mas pun dah buat potongan gaji untuk pembayaran zakat pendapatan. 

Tapi Mas tak nak cerita pasal zakat pendapatan, Mas nak kongsikan mengenai Zakat Perniagaan. Apa yang korang tahu pasal zakat perniagaan? Haaa zakat perniagaan ni wajib tahu dikeluarkan pada sesiapa sahaja yang mempunyai apa pun bentuk perniagaan sama ada besar atau kecil.

Penjelasan dalil Zakat Perniagaan


Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu jugak termasuk dalam hasil usaha yang wajib dizakat.

"Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu." (Surah Al-Baqarah: Ayat 267)

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)." Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?" Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya, "Kalau tidak mempunyai pekerjaan?" Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?" Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah." (Hadis riwayat Muslim)

Fahami apa itu Zakat Perniagaan


Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan. 

Ia merangkumi sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Semua jenis pernigaan berskala kecil dan berskala besar diwajibkan membayar zakat perniagaan. Jenis perniagaan tersebut adalah seperti perniagaan online, Sendiri Berhad, penjaja, Berhad, Stokis dan Ejen serta Koperasi.

Syarat wajib Zakat Perniagaan
  • Islam
  • Milik Sempurna
  • Cukup Haul
  • Cukup Nisab
  • Harta Berkembang
  • Niat Berniaga
  • Produk dan Perkhidmatan Halal
  • Bukan Kegunaan Sendiri

Kaedah pengiraan Zakat Perniagaan
Kaedah pengiraan zakat perniagaan ada dua cara, iaitu:

Kaedah Model Berkembang (Growth Model
Ianya mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber² pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih mudah difahami ialah modal dicampur dengan keuntungan.

Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Bukan Semasa +/- Pelarasan 
= Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)
Ia mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item² yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.

Aset Semasa - Liabiliti Semasa +/- Pelarasan
= Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Korang boleh mengira zakat perniagaan menggunakan kalkulator zakat ni.

Haaa jadi begitulah pentingnya kita tahu apa itu zakat perniagaan dan ianya wajib dilunaskan tak kira apa saja bentuk perniagaan yang kita jalankan. Jangan ingat syarikat yang besar sahaja perlu bayar zakat perniagaan tapi kalau kita penjaja atau berniaga online sekalipun diwajibkan zakat perniagaan. Cukup haul, cukup nisab dan adanya keuntungan dari perniagaaan tu, maka wajib bayar! 

Sentiasa Lekatkan Zakat Dihati


Sebagai orang Islam, kita kena sentiasa ingat bahawa zakat itu adalah tanggungjawab kita dan ianya wajib dibayar. Melalui zakat kita dapat menyucikan diri, membersihkan jiwa dan setiap harta yang kita miliki akan sentiasa diberkati. Ingat apa saja bentuk harta yang kita ada wajib dibayar zakat, jadi jangan lari dari tanggungjawab ini. 

Untuk dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai zakat boleh layari laman sesawang dan media sosial Lembaga Zakat Selangor.

Facebook: Zakat Selangor
Instagram: zakatselangor

Isnin, 30 November 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Suku Akhir

Assalamualaikum...(^ ^)

Yantzen tersingkir

Serius Mas kurang berpuashati dia tersingkir, sebab bagi Mas nyanyian dan persembahan dia semalam lebih baik dari Ashira dan Cliff Umar tu. Patutnya Ashira tu yang tersingkir, pelik betul setiap minggu nyanyi tak sedap pun tapi asyik terselamat je!

Persembahan terbaik semalam memang Mas akui milik Mus, layaklah dia dapat markah tertinggi dari semua juri. Memang dia selesa semalam sebab dapat genre rock, tapi lagu tu bukan lagu dia dan dia persembahkan dengan cara tersendiri. Vokal pun mantap! 

Satu lagi peserta favourite Mas iaitu Ayu Damit, setiap minggu memang Mas nantikan persembahan dia. Mas suka vokal dia sangat jelas bila sampaikan lagu. Cuma kadang² Ayu ni agak² tak yakin nak berikan persembahan yang bagus, agak berjaga². Dia boleh bagi yang lebih terbaik dan kena konsisten. Harap sangat di konsert separuh akhir nanti dia dapat berikan persembahan yang memukau sebab lagu yang dia dapat sangat best!

Dah nak masuk konsert separuh akhir, siapa calon juara GV7 Mas masih belum nampak siapakah yang bakal miliki takhta tu. Mus ada ciri² sebagai calon juara, tapi tak boleh pertikaikan jugak kemantapan vokal Ayu Damit dan Linda Nanuwil. Cuma Mas harap juri tak pilih yang dah ada gelaran legend jadi juara, biarlah yang betul² layak.

Di konsert separuh akhir nanti semua lagu sangat best dan mampu menguji vokal dan kehebatan setiap peserta. Bertemakan Out Station, mereka akan nyanyikan lagu² dari artis luar Malaysia. Bukan 1 lagu tapi 2 lagu bakal dinyanyikan, tak sabar nantikan persembahan terbaik dari setiap peserta!

1. Mus | Rock You Like A Hurricane (Scorpion) & Kasih (Hetty Koes Endang) 
2. Linda Nanuwil | Anak (Freddie Aguilar) & Teruskanlah (Agnes Monica) 
3.  Ayu Damit | Skyfall (Adele) & Dia (Dato' Sheila Majid) 
4. Noraniza Idris | Chaiyya Chaiyya (Sapna Awasthi & Sukhwinder Singh) & Bisikan Cinta (Anita Sarawak) 
5. Oja | Biso Bonar (Hattan) & Fantasia Musim Cinta (Iwan) 
6. Ashira | Don't Speak (No Doubt) & Peluang Kedua (Nabila Razali) 
7. Cliff Umar | Hoi Fut Tin Hung (Beyond) & Tercipta Untukku (Ungu) 

Jumaat, 27 November 2020

Raikan Birthday Nur Airis Arissa

Assalamualaikum...(^ ^) 

8 tahun dah usia anak yang ditunggu selama 7 tahun ni, hehehee!


Setiap tahun dia akan complain kenapa birthday dia paling lambat sekali, haaa nak buat camne nak oiii kamu kan lahir bulan November. Dia selalu jugak cakap Aiyra tu adik, kenapa dia sambut birthday dulu dari dia. Hahahaa risau sangat orang lupa dan tak raikan birthday dia!

Masa 24 November tu pagi² dia dah tanya babahnya, hari ni 24hb kan? Pastu bila Mas balik kerja terus dia monyok sebab Mas takde belikan kek birthday untuk dia. Siap tanya lagi, "Mama tak ingat ke hari ni birthday Airis?" Hehehee Mas ingat tapi terpaksa raikan hari esoknya sebab baru gaji kan? Barulah Mas ada rezeki nak beli kek birthday untuk dia, nak belanja makan dan belikan hadiah untuk dia.




Macam biasa kami raikan dalam suasana yang sederhana je, gantung hiasan happy birthday tu dan belon². Kebetulan hiasan yang guna masa Aiyra bulan lepas masih elok, jadi tak perlulah membazir beli yang baru. Airis pun dah gembira tengok hiasan camtu. Pastu Mas beli kek Choco Cheese Mousse kat Baker's Cottage, sedap keknya. Cuma satu je kelemahan staff kat Baker's Cottage ni, tulisan kat kek tu selalu diaorang tulis tak cantik. Sebelum ni beli kek untuk Aiyra pun camtu, tapi Mas abaikan je janji kek dia sedap.

Hadiah pulak babahnya yang beli, ada set alat tulis + bekas pencil, buku dan pensil warna. Mulanya beli memang tiga² hadiah tu untuk Airis, tapi biasalah bila si Aiyra dah nampak teruslah dia nak jugak. Kalau tak diberi memang saja cari nahas, melalak sekuat hatilah dia. Jadi kakak Airis kenalah mengalah dengan adik, lagi pun Mas dah janji akan belikan hadiah lain nanti. Tengoklah tu, hadiah yang paling besar jadi kepunyaan dia!



Alhamdulillah lengkaplah sambutan hari lahir untuk semua anak² Mas, walaupun diraikan dalam suasana yang sederhana tapi anak² tetap gembira. Mas siap pesan nanti kalau mama dah tua jangan lupa ingat hari lahir mama, tak payah buat besar-besaran janji doakan mama sihat dan panjang umur. 

Moga ada rezeki lagi di tahun 2021 untuk raikan hari jadi anak²!

Isnin, 23 November 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Ketujuh

 Assalamualaikum...(^ ^)

Arghhh kenapa Mas rasa konsert GV7 minggu ketujuh ni paling tak menarik, sebahagian peserta kurang memberikan persembahan yang menyengat!

Penyingkiran Aju Success bagi Mas tak patut sebab ada yang nyanyi lagi teruk dari dia, tapi mungkin bukan rezeki dia sebab menyampaikan lagu tu terlalu beremosi. Mas suka jugak vokal Aju ni, sedap didengar cuma markah juri tak berpihak pada dia. Moga dia terus maju jaya dalam industri muzik dan teruskan kerjayanya sebagai penyanyi.

Macam Oja pulak sesuailah dia dapat markah tertinggi sebab dia berikan persembahan terbaik untuk lagu Amalina tu. Dia nyanyi dalam bahasa tamil pun sedap didengar dan jelas sebutannya. Oja ni boleh menyerlah kalau dia konsisten, lagi pun dia ada bakat bermain alat muzik. Ayu Damit yang Mas suka vokalnya pun, gagal berikan yang terbaik minggu ni. Vokal dia ok, cuma bila dia ubah melodi lagu Jejaka Idaman tu jadi tak berapa sedap dan tak kena dia nyanyi. 

Pastu mengenai pemilihan Ashira dan Noraniza Idris sebagai top 3 di konsert kali ini Mas agak kurang setuju. Mas pelik kenapa Ashira tu nyanyi biasa² je dan persembahan dia tak pernah ada wow faktor tapi selalu jugak dapat top 3, tak tahulah camne juri bagi markah. Noraniza Idris pulak memang dari konsert pertama hingga keenam Mas nampak persembahan dia bagus dan vokal pun bagus, cuma minggu ketujuh ni Mas rasa dia tak sedap langsung nyanyi lagu Canggung tu. Bagi Mas Yantzen dan Mus lagi layak dapat top 3. 

Minggu depan dah konsert suku akhir, moga semua peserta boleh berikan yang lebih baik dari minggu ketujuh ni. Lagu yang diberikan pun sedap dan mantap, moga mereka dapat nyanyikan dengan gaya tersendiri dan vokal yang bagus. Diharap jugak pemilihan peserta² yang akan mara ke konsert separuh akhir biarlah yang betul² layak seperti GV sebelum ni, bukan dari sebab artis tu legend atau pernah popular suatu  masa dulu. 

Di konsert suku akhir nanti para peserta akan nyanyikan lagu yang bertemakan GV Throwbaek, iaitu lagu² popular artis² GV yang pernah bertanding di pentas Gegar Vaganza. Semua lagu Mas suka, tak sabar nak tengok persembahan mereka!

Oja | Memori Cinta Luka (Nassier Wahab)
Ashira | Nur Kasih (Slam)
Noraniza Idris | Anak Kampung (One Nation Emcees)
Yantzen | Segalanya Ku Terima (Ilusi)
Mus | Seragam Hitam (Kristal)
Linda Nanuwil | Teringin (Shima)
Ayu Damit | Rahsia Pohon Cemara (Exist)
Cliff Umar | Pesanan Buat Kekasih (Spring)

Sabtu, 21 November 2020

Projek cat baru seluruh rumah

Assalamualaikum...(^ ^)

Ikutkan dalam tahun 2020 ini kali kedua Mas cat rumah, kali pertama cat masa PKP bulan Mac tu. Itu pun tukar cat selepas 10 tahun menetap kat rumah sendiri ni. Inilah gambar masa cat bulan Mac hari tu, pink DSV gitu!

Tapi sebenarnya tukar cat ni lebih kepada mata dah tak tahan tengok hasil contengan mural oleh Airis dan Aiyra, macam² contengan ada. Siap lukis kartun diaorang lagi, haaa sebab tu Mas sanggup labur duit untuk cat lagi sekali. 

Cuma kali ni Mas cat seluruh rumah, dari ruang depan sampailah ke bilik² dan luar rumah. Semua pintu pun Mas cat baru, haaa baru puashati. Pemilihan warna cat semua Mas yang pilih, husband ikut je apa yang Mas suka. Lagi pun kami bukan jenis yang cerewet, janji lawa di mata kami itu dah memadai. 


Untuk ruang depan Mas pilih tema purple + hijau, dinding utama warna purple dan dinding lain warna hijau. Pertama kali kami cat rumah guna dua² warna ni, menyerlah sangat dan sesuai dengan konsep banyak pokok² hijau dalam rumah Mas. Nampak tenang dan segar mata memandang! 

Bagi bilik kami pulak, warna oren peach jadi pilihan. Saja je pilih warna ni, nampak menyerlah sikit. Bila dah tutup lampu dan pasang lampu tidur, ia nampak suram² terang gitu. Haaa nak tidur pun rasa selesa. Bilik anak² pulak saja pilih warna coklat cair, nak bagi nampak terang dan sesuai untuk mereka belajar. Tapi disebabkan 5 liter cat tak cukup untuk 2 bilik, jadi Mas gabungkan dengan warna purple tu. Lagi pun warna tu banyak lebih lepas cat dinding ruang depan. Nampak cantik pulak bila dah gabungkan! 


Kat luar rumah pulak Mas pilih warna coklat terang, macam warna kopi susu gitu. Pertama kali tukar cat kat luar rumah ni lepas cat masa mula² masuk rumah dulu. Nanti tiang batu kat depan kami akan cat warna coklat gelap, baru nampak kontra. Cantik kan, nak pulak ada pokok² kat taman mini tu. Tapi dalam gambar nampak macam oren pulak, hehehee!

Pintu rumah dan pintu bilik pun kami cat tau, sebab dah penuh hasil contengan anak². Kami pilih cat minyak warna coklat gelap, lebih kurang warna kayu gitu. Bila dah cat nampak cantik dan menyerlah pulak, kontra dengan warna cat rumah! 


Itulah pilihan warna² cat rumah kami, semua ikut citarasa Mas. Lain orang lain citarasa kan, ada yang suka cat putih je seluruh rumah. Jadi ikut pada minat dan keselesaan masing²! 

Harap dapat bertahan lama cat ni, dah bagi amaran keras kat Airis Aiyra supaya jangan nak menconteng lagi. Buat lagi mama titik tangan, haaaa mak garang kau!

Isnin, 16 November 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Keenam

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa betullah GV7 ni ada 10 minggu sebab minggu ni masih belum suku akhir, dan minggu depan masuk konsert ke-7. Minggu kelapan nanti barulah konsert suku akhir! 


Minggu ke-6 menyaksikan Rozita Izlyn tersingkir, ini memang Mas dah jangka dari awal sebabnya nyanyian dia minggu ni agak teruk berbanding dengan minggu lepas. Katanya faktor kesihatan, jadi dia tak mampu nak berikan yang terbaik. Apa pun tahniah pada dia kerana berjaya masuk GVdan kekal hingga ke minggu keenam!

Seramai 9 orang peserta lagi akan berentap di konsert ke-7 nanti, jadi semuanya kerja lebih konsisten untuk sampai ke pentas final. Mas dah nampak siapa yang bakal kekal ke konsert akhir, ini berdasarkan persembahan mereka setiap minggu. Bagi Mas nak menyanyi tu memang mudah tapi nak berikan yang terbaik dan kekal bagus setiap minggu tu yang payah. Yelah nak nyanyikan lagu yang bukan genre mereka, haaa susah tu. Jadi yang betul2 bagus dan berusaha akan berjaya ke pentas akhir!

Minggu ni Mas masih nampak Noraniza Idris dan Mus mampu berikan persembahan terbaik, baik dari segi vokal dan penyampaian. Mereka berdua ni betul2 kerja keras dan berusaha untuk sampaikan lagu yang bukan dari genre mereka sendiri, bukan senang tau tapi 2 orang ni mampu buktikan! Kita boleh nampak mereka betul2 keluar dari zon selesa, dan nampak mereka benar2 menguasai lagu yang disampaikan. Haaa memang berentap untuk calon juara 2 orang ni!


Ayu Damit pun bagi Mas bagus, setiap minggu dia sentiasa cuba berikan yang terbaik. Mas suka vokal dia dan cara persembahan dia yang bersahaja. Cuma kadang2 Ayu ni agak berjaga2 dalam melontarkan vokal, padahal dia mampu berikan yang lebih bagus dan boleh all out. Macam minggu ni persembahan dia memang agak kurang, padahal vokal dia sedap. Tapi cuma Mas kurang setuju bila dia dapat markah paling rendah, bagi Mas patutnya dia dalam top 5! 

Untuk peserta2 lain bagi Mas, semuanya bagus cuma wow faktor tu tak nampak. Peserta selain dari 3 orang ni tak banyak lari dari genre selesa mereka walaupun vokal sedap. Harap mereka mampu berikan yang lebih terbaik, bukan sahaja pikat hati juri tapi hati penonton yang menonton setiap minggu!

Tema konsert ke-7 nanti adalah Take Over, iaitu artis lama akan nyanyikan lagu baru dan artis baru akan nyanyikan lagu lama. Jadi mari kita tengok lagu2 yang diberikan kepada semua peserta, haaa semua lagu best dan agak mencabar kemampuan para peserta!

Noraniza Idris | Canggung (Wany Hasrita)
Cliff Umar | Rozana (Search)
Aju Success | Hanya Rindu (Admesh Kamaleng)
Mus | Sembah (Naim Daniel ft Man Kidal)
Oja | Amalina (Santesh)
Ashira | Sekilas Senyumanmu (Fauziah Latiff)
Linda Nanuwil | Suci Dalam Debu ((Iklim) 
Yantzen | Bunga (Ara Johari)
Ayu Damit | Jejaka Idaman (Raja Ema)

Jumaat, 13 November 2020

Selamat Bersara Dr Uzailee

 Assalamualaikum...(^ ^)

Hari ni dengan rasminya boss Mas dah bersara. Selamat Bersara Dr Uzailee dan Selamat Hari Jadi!

Bohonglah Mas cakap tak sedih, gugur jugaklah airmata masa bercakap dengan dia sebelum balik semalam. Padahal dari pagi cuba kawal kesedihan dengan gelak tawa dan dah janji tak nak menangis depan Dr, tapi nak buat camne ai hati tisu! Hehehee malu jugak menangis depan boss, dia siap cakap "Janganlah nangis Mas!"

Setahun 4 bulan Mas jadi Pembantu Khas dia, jadi mestilah sedih kan bila dia dah bersara. Pagi ni bila masuk dalam bilik boss, terbayang macam Dr ada lagi. Biasa setiap pagi bila dia datang, mesti akan tanya Mas sihat ke tak? Pastu setiap hari mesti berborak dengan dia sambil bergelak ketawa, dia memang suka bercerita. Seorang yang happy go lucky, sporting dan sangat baik hati!


Dia boss Mas yang ke-10 sepanjang berkhidmat sebagai PA, dan biasanya bila dengan boss yang baik hati ni mesti sekejap je. Masa mula² nak jadi Pembantu Khas dia, memang Mas tahu yang dia ada khidmat selama setahun lebih je lagi. Dari awal dah tahu tak akan lama dengan dia, jadi Mas nak seronok je bekerja dengan Dr dan nikmati momen² bersama dia. Banyak sangat tunjuk ajar dan nasihat yang dia berikan, serius semuanya Mas tak akan lupa!

Mulai hari ni bersedialah dengan kehadiran boss baru, nervous jugak ni tunggu siapakah gerangannya. Jujur cakap Mas risau jugak, yelah mana tau boss baru nanti bawak PA. Haaa kalau bawak, jawapnya Mas kenalah ditukarkan ke tempat lain. Haihhh tu yang berdebar memikirkannya! Tapi takpelah Mas redha je kalau boss baru bawak PA dia sendiri, itulah lumrah bekerja sebagai seorang Pembantu Khas! Kalau dia tak bawak, alhamdullillah syukur. Mas akan berikan khidmat yang terbaik sebagai seorang PA kepada boss baru nanti.


Bila boss baru akan masuk, tak tahu lagi. Jadi buat masa ni, nikmati dulu masa² takde boss ni. Hehehee bolehlah kemas² bilik boss dulu, sebelum yang baru masuk. Cuma rasa sunyilah sikit sebab kat pejabat seorang je, yelah PKPB ni Mas dan Pembantu Am Pejabat tu kerja secara giliran. 

Moga Mas akan dapat boss yang bagus serta baik hati, dan moga kami dapat bekerjasama dengan baik serta seronok sebagai PA dan boss! 

Isnin, 9 November 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Kelima

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa dah nampak dah calon juara GV7, sebabnya di konsert kelima ni baru Mas nampak siapa yang sentiasa berikan persembahan terbaik dan vokal mantap setiap minggu. Mereka ialah antara Mus, Noraniza Idris dan Ayu Damit, yelah mereka bertiga ni memang konsisten setiap minggu!

Cuma Mas tak puashati sikit minggu ni dengan keputusan juri, kenapalah kedudukan pertama dan kedua tu bagi dekat Cliff Umar dan Ashira. Haihhh Mas tak nampak pun apa yang bagusnya persembahan mereka berdua tu, takde kelainan dan kelebihan pun. Rasanya Mus, Noraniza Idris dan Ayu Damit lebih bagus persembahan mereka, ada kelainan dan menarik. Vokal pun mantap!

Berbalik pada konsert minggu kelima ni, bagi Mas yang terbaik adalah Noraniza Idris. Mas suka sangat dengan persembahan dia, walaupun jauh dari genre etnik kreatif yang biasa dia nyanyikan tapi dia mampu berikan satu kelainan pada persembahan lagu Nakal Nakal Nakal tu. Selayaknya dia yang dapat kedudukan pertama pada konsert kali ini! 

Untuk Mus dan Ayu Damit pulak, Mas suka sangat vokal mereka pada minggu ini. Sentiasa sedap dan sesuai dengan lagu yang disampaikan, memang takde sumbang langsung. 

Bagi penyingkiran pulak, memang Mas dah tau Nomad akan tersingkir. Lagi pun juri tetap Tok Ram sampai cakap "Nomad kau komen sendirilah, takde point nak potong dah!" Haaa jadi boleh tau kan kalau Tok Ram dah cakap camtu. Yelah dia nyanyi pun banyak lupa lirik, pastu tempo pun macam tak kena je! Sebelum juri bagi komen pun, Mas rasa dia dah tahu banyak kekurangan pada persembahan dia. Jadi kena bersedialah untuk tersingkir!

Minggu depan dah masuk minggu keenam, kalau ikutkan dah konsert suku akhir. Tapi tak tahulah kalau Astro nak panjangkan jugak GV7 ni sampai 10 atau 11 minggu. Apa pun kita tunggu jelah konsert keenam nanti yang bertemakan Double Special, iaitu para peserta akan menyanyi dengan rakan duet. Inilah antara lagu2 tugasan yang bakal dinyanyikan, semua best!

Cliff Umar | Smooth (Santana ft Rob Thomas) duet Mimi Fly
Ashira | Dengarkanlah (Amy Mastura & Glen) duet Mark Adam
Ayu Damit | Dua Insan Bercinta (Ella & Search) duet Hazama
Noraniza Idris | Bolehlah Boleh (Mas Idayu) duet Amelina
Mus | Bercanda Di Pasiran Pantai (Sudirman & Anita Sarawak) duet Siti Sarah
Aju Success | Gering (TerraRossa) duet Ali XPDC
Rozita Izlyn | Mengapa Sukar Melafazkan Cinta (Rozita Izlyn & Aju Success) duet Ezad Lazim
Linda Nanuwil | Bertakhta Di Hati (Faradhiya) duet Khai Bahar
Oja | Sembilu (Ella) duet Black
Yantzen | Di Sebalik Rahsia Cinta (Metropolitan) duet Marsha Milan

Ahad, 8 November 2020

SPM ditunda ke Februari 2021

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa rupanya betullah ura² yang Mas dengar, SPM bakal ditunda!

Akhirnya hari ni KPM dah umumkan ianya akan ditunda ke bulan Februari 2021, tak jadi bulan Januari seperti yang anak Mas bagitau sebelum ni. Yelah nak periksa bulan 1 pun memang tak sempat, sebabnya kakak Atikah belum habis lagi trial SPM. Ada lagi 9 kertas peperiksaan yang belum dihabiskan!

Mas kesian jugak dekat dia, dah bersedia dari awal lagi tapi akhirnya semua terpaksa ditangguhkan. Tapi nak buat camne kan, kenalah akur dengan keputusan KPM. Di saat wabak Covid-19 semakin meningkat kes ni, kenalah tangguh dulu semua aktiviti persekolahan. Cuma Mas berharap sangat trial SPM tu dapatlah diselesaikan dalam masa terdekat ni, takdelah anak² rasa tertekan.

Lagi pun bulan Januari dah boleh mohon UPU Online, jadi untuk saringan ke program bertemuduga dan ujian kena guna keputusan peperiksaan percubaan SPM. Nak tak nak memang kena habiskan jugak sebelum Januari tahun depan, kalau tak camne nak mohon UPU kan? Haraplah bulan Disember nanti akan diberikan tarikh terbaru untuk habiskan trial SPM ni.

Untuk kakak Atikah ni sebenarnya takdelah Mas risau sangat, sebabnya Mas tengok dia sentiasa buat ulangkaji. Sepanjang PKPB ni pun setiap hari dia ada kelas online, satu sesi pagi dan satu sesi petang. Latihan soalan² SPM pun banyak cikgu bagi, jadi dia sentiasa ada bahan untuk diulangkaji. Cumanya Mas takut dia terlalu struggle dan stress, belajar lebih sangat tapi peperiksaan asyik tangguh je. Jadi Mas tak nak terlalu bebankan dia, suruh dia bersedia je!

Sampai masa nak periksa nanti, buat je sehabis baik. Dah banyak masa diberikan untuk ulangkaji dan habiskan silibus pelajaran, haaa ada hikmah jugak PKPB ni kan? Dapatlah anak² belajar lebih sikit, dapat lebih bersedia untuk hadapi peperiksaan SPM nanti. 

Mas doakan moga dipermudahkan urusan kakak Atikah untuk habiskan trial SPM dan peperiksaan SPM sebenar nanti!

Isnin, 2 November 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Keempat

Assalamualaikum...(^ ^)

Dua penyingkiran, dah agak sebab minggu lepas tiada peserta yang disingkirkan.

Tapi Mas setuju dengan juri bagi markah rendah untuk kumpulan Eva dan Indigo, sebab bagi Mas persembahan mereka tiada jiwa. Vokal kurang mantap, harmonisasi takde, nyanyi pun macam kurang persediaan dan tak menjiwai persembahan. Mas tengok pun takde mood!

Lagi satu Mas rasa sikit yang GV7 ni kurang menyengat, mungkin sebab diadakan dalam norma baharu atau ada beberapa pesertanya yang kurang menyerlah. Mas penonton setia Gegar Vaganza, dari GV1 sampailah GV6 jadi Mas boleh nilai samada GV tu menarik atau tidak. Dah masuk konsert keempat ni, Mas masih belum betul² nampak mana² peserta sebagai calon juara!

Memang ada 2-3 peserta yang bagus dan konsisten, cuma auranya belum dirasai. Tak macam GV sebelum ni, konsert 1 atau 2 dah boleh nampak siapa calon juara. Harap² konsert kelima nanti aura² peserta lebih menyerlah!

Berbalik pada konsert keempat ni, Mas paling suka persembahan Mus. Bila tahu dia dapat lagu Yuna terus terfikir boleh ke dia berikan persembahan terbaik. Tapi tak sangka dia mampu nyanyikan lagu yang bukan dari genrenya, sedap dan bersahaja. Nampaknya dia mungkin berjaya menjadi peserta favourite Mas, jadi harap minggu depan dia lebih bagus!

Noraniza Idris pun berjaya jugak sampaikan lagu Saat Kuidamkan tu dengan baik, cuma entahlah Mas kurang rasa aura dia. Ayu Damit pun Mas dah mula suka, setiap minggu dia cuba yang terbaik. Itu jelah 3 peserta yang bagi Mas boleh lebih menyerlah auranya dan setiap minggu Mas suka persembahan ketiga²nya! 

Haaa walau ada 3 peserta yang Mas suka tengok persembahan mereka setiap minggu tapi macam Mas cakap tadi aura juara tu jer belum nampak. Harap minggu depan mereka bertiga ni akan lebih bagus dan mantap!

Bertemakan Tau² Sampai iaitu lagu² karaoke yang sentiasa jadi pilihan, inilah lagu² yang diberikan kepada para peserta. Mampukah mereka memikat hati juri, hati Mas dan mampukah mereka tonjolkan aura juara tu? Sama²lah kita saksikan konsert kelima nanti, berjayakah lagu² ni disampaikan dengan baik oleh peserta² GV7!

Mus | Takdir Penentu Segala (Jamal Abdillah)
Linda Nanuwil | Jangan Kau Mimpi (Siti Sarah) 
Noraniza Idris | Nakal Nakal Nakal (Ayda Jebat) 
Yantzen | Sekuntum Mawar Sebuah Puisi (Alleycats)
Ayu Damit | Awan Yang Terpilu (Ning Baizura) 
Cliff Umar | Sedang Ingin Bercinta (Dewa 19)
Oja | Ketulusan Hati (Anuar Zain) 
Aju Success | Kau Lupa Janji (Jamal Abdillah) 
Rozita Izlyn | Lelaki Idaman (Melly Goeslow) 
Ashira | Yang Terindah Hanyalah Sementara (Erra Fazira)
Nomad | Kasih Latifah (Spider) 

Ahad, 1 November 2020

Peluang Kerjaya di iREHAB

Assalamualaikum...(^ ^)

Dek kerana wabak yang melanda sekarang dan keadaan ekonomi negara kita yang tidak berapa stabil Mas percaya ramai yang hilang punca rezeki dan pendapatan. Ramai jugak yang hilang pekerjaaan kerana tempat mereka bekerja menghadapi kesukaran untuk meneruskan perniagaan!

Walaupun Mas mempunyai pekerjaan tetap dan terjamin, tapi Mas turut merasai kesukaran ini. Buat masa sekarang wang ringgit sangat penting demi meneruskan hidup dan menyara keluarga.

Jadi demi membantu golongan yang hilang sumber pendapatan, hilang pekerjaan atau mereka yang tercari² kerja buat masa ni iREHAB dapat membantu.

Pihak iREHAB telah membuka peluang kerjaya sebagai caregiver atau penjaga terlatih kepada warga emas atau bekas pesakit stroke. Haaa bagi Mas ini adalah peluang baik buat mereka yang sedang mencari kerja sekarang, yelah walau bukan di bidang kemahiran mereka tapi buat masa sekarang ini adalah pilihan yang tepat!

Tak perlu risau tiada pengalaman, kerana iREHAB tidak memerlukan semua itu. Pihak iREHAB akan memberikan kursus serta latihan penjagaan yang lengkap, iaitu secara teori dan praktikal. Kursus dan latihan akan dijalani samada di iCenter atau di iHome. 

Haaa bagi yang berminat untuk mengikuti kursus dan latihan seterusnya diberi peluang bekerja di iREHAB, korang cuma perlu bayar RM70 sahaja untuk mengikuti 1 hari kursus dan latihan. Selasai sahaja kursus, Insya Allah korang terus ditawarkan bekerja di iREHAB. 

Wahhh mudahnya, dahlah bayaran murah dan berpatutan. Dalam masa sehari dah boleh dapat kerja, rugi sangat kalau tak rebut peluang ni!

Jika betul² berminat korang boleh hubungi talian 012-9061690 atau 017-9880324. Bagi dapatkan maklumat lebih lanjut boleh layari:

Web: https://irehab.com.my

Facebook: www.facebook.com/irehab.neurocare

Instagram: www.instagram.com/irehab.neurocare

Sabtu, 31 Oktober 2020

Suka duka jaga Taman Mini

Assalamualaikum...(^ ^)

Kalau dikira bulan ni dah genap 4 bulan usia taman mini Mas tu, haaa dari ada 10 pokok sekarang dah berpokok². 

Seronok tau ada taman mini camni, kalau Mas tahu dah lama Mas buat. Yelah tengah rasa bosan dan stress, Mas akan hadap pokok jelah. Tenang rasa hati, nak pulak bila pokok² di taman mini tu semuanya hidup segar dan sihat. 

Lagilah sekarang husband Mas dah sama² berminat dengan pokok², hehehehe dah ada geng. Banyak jugaklah pokok² yang dia belikan, dan ada juga pokok² yang dia dapatkan percuma jer untuk Mas. Memang tak sangkalah dia layan minat Mas ni, mula² dulu dia tengok jer! 

Contoh macam pokok² kat luar pagar ni, haaa yang ni bahagian pokok dia punya. Dia yang tanam dan jaga, ada yang dibeli ada yang dia yang ambik kat balai dan kat rumah jiran. Ambik tu bukan ambik senyap² yer, mintak kebenaranlah. Hehehee kena kasi jelas, kang ada yang kondem pulak!

Pastu pokok Elephant Ear ni dah lama Mas teringin nak, tapi nak beli harganya boleh tahan. Sekali satu hari tu balik kerja husband Mas bawak balik pokok ni. Rupanya kat balai dia banyak tumbuh, jadi dia mintaklah nak ambik satu pokok. Haaa apa lagi gembira tak terkatalah Mas, dapat apa yang diidamkan. Tak sabar nak tengok pokok tu membesar dan tinggi!

Cuma jaga pokok² ni ada jugak masa sedih dia, terutama bila pokok² kita mati. Pernah satu masa sampai 5-6 pokok mati, memang rasa kecewa sangat. Yelah dah jaga dengan sempurna, baja dan siram tapi rezeki takde nak jaga lama kan? Bila jadi camtu rasa macam takde mood dah nak jaga pokok, macam nak give up je. Rasa nak biar je semua pokok² tu tak terjaga!

Tapi bila fikir balik itulah cabarannya kan, Mas kena fikir positif. Tak guna pun dok fikir pokok yang dah mati tu, memanglah rasa sedih kan tapi pokok kat nurseri tu masih banyak. Hahahaaa mati 1 pokok beli 2-3 pokok, haaa itulah konsep Mas. Kalau pokok tu hidup selamanya tak lakulah pokok² kat nurseri tu kan? 

Jadi sekarang Mas fikir seronok je, ada pokok yang mati Mas tak nak sedih sangat. Kena hadap semua tu kan, ada rezeki kita beli pokok baru. Satu lagi moga impian Mas nak buka mini nurseri kat rumah tercapai suatu hari nanti! 

Jumaat, 30 Oktober 2020

iREHAB Pusat Pemulihan Fisioterapi dan Rehabilitasi

Assalamualaikum...(^ ^)

Risau nak ke hospital di musim pandemik Covid19 ni?

Yer Mas pun ada perasaan yang sama, masa temujanji Airis bulan 9 hari tu berapa kali dok tukar tarikh. Rasa risau dan takut tu membuatkan Mas teragak² nak bawak anak ke hospital. Memang ada SOP yang perlu diikuti tapi kadang² rasa cuak tetap ada!

Namun bagi pesakit² yang perlu jugak ke hospital kerana ada temujanji bulanan yang perlu dihadiri, mereka sukar nak elakkan. Terutamanya bagi pesakit yang perlu menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi, mereka ni dah ada tarikh temujanji yang ditetapkan untuk lengkapkan sesi rawatan. Tapi dek kerana wabak ni, tentu rasa bimbang nak ke hospital tu tetap mereka hadapi.

Tapi sekarang mereka tak perlu risau dan bimbang lagi, kerana ada yang boleh membantu pesakit² yang perlu menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi sama seperti rawatan di hospital. Harga yang ditawarkan pun murah dan berpatutan! Haaa di mana tu, iREHAB lah tempatnya.

Apa itu iREHAB? iREHAB adalah pusat pemulihan yang pakar dalam perkhidmatan pemulihan stroke dan neurologi serta perkhidmatan rehabilitasi. Mereka menawarkan khidmat pesakit luar dan perkhidmatan perawatan dan pemulihan di rumah. 

Di iREHAB mereka dapat membantu pesakit² untuk meneruskan sesi rawatan seperti yang disyorkan kerana rehabilitasi adalah keperluan terutamanya selepas stroke. 

Jadi dek kerana pandemik Covid19 yang sedang berlaku sekarang, sudah tentu pesakit² menghadapi kesukaran untuk menghadiri sesi rawatan physiotheraphy, occupational therapy dan speech therapy. Ini kerana semua hospital terutamanya hospital kerajaan perlu mengurangkan jumlah pesakit yang hadir untuk rawatan pada satu masa. 

Prihatin atas kesukaran dan masalah ini, iREHAB menawarkan pakej rawatan dengan harga terendah supaya pesakit² masih boleh menghadiri sesi rawatan dengan kerap untuk membantu penyembuhan mereka. Haaa mudah kan, pesakit² pun dapat menjalani sesi rawatan dengan teratur seperti di hospital!

Caranya mudah saja, pesakit² hanya perlu menunjukkan kad temujanji hospital dengan tarikh yang dihadiri dan perlu dihadiri bagi mendapat harga diskaun yang ditawarkan oleh pihak iREHAB. 

Untuk membuat temujanji, pesakit² boleh menghubungi terus iREHAB sekarang di talian 012-9061690 atau 017-9880324 (tertakluk pada terma dan syarat). Bagi dapatkan maklumat lebih lanjut boleh layari:

Web: https://irehab.com.my

Facebook: www.facebook.com/irehab.neurocare

Instagram: www.instagram.com/irehab.neurocare

Khamis, 29 Oktober 2020

Potty training untuk Aiyra

Assalamualaikum...(^ ^)

Memandangkan Aiyra dah masuk usia 3 tahun dan semasa PKPB ni pun Mas bekerja dari rumah jadi mudahlah nak potty training untuk dia. Lagi pun memang dari anak pertama Mas akan ajar seawal usia 3 tahun.

Mas mula ajar dia dari hari Rabu minggu lepas, kiranya hari ini dah genap seminggu lebih dia belajar. Hari pertama ajar memang dia tak nak, tapi Mas cakap Aiyra dah besar kenalah belajar tak pakai diapers. Bila cakap camtu terus dia excited nak cuba!

Hari pertama memang agak mencabar, yelah baru mula belajar kan? Dia ada rasa nak buang air kecil dan besar, cuma dah terlepas baru dia cakap. Padahal setiap 15 minit Mas akan tanya, nak pergi tandas atau tak? Tapi biasalah dia nak biasakan diri, jadi hari pertama 3 kali terkencing dalam seluar dan 2 kali terberak dalam seluar. 

Haaa kalau hadapi situasi camni, jangan cepat putus asa tau. Kena terus ajar anak kita, dan yang paling penting jangan marahi anak kalau mereka terkencing atau terberak dalam seluar. Kena cakap elok², barulah emosi anak tak terganggu dan dia akan dengar dan ikut apa yang kita ajar.

Alhamdulillah masuk hari kelima Mas ajar Aiyra dia dah berjaya, takde dah terbabas dan dia dah pandai bagitau nak pergi ke tandas. Cuma kalau dia leka bermain tu Mas akan tetap tanya 2-3 kali, yelah risau jugak dia terbabas sebab leka sangat! 

Bila dah lulus potty training ni dia pun rasa seronok, selalu cakap ! Cuma masa dia tidur Mas masih pakaikan diapers, nanti bia dia betul² pandai kawal bila waktu siang barulah Mas ajar bila nak tidur.

Lega tau bila anak dah berjaya potty training ni, dapatlah jimat sikit diapers. Sekarang pakai waktu malam jer! Harap sebelum taska bukak ni, Aiyra dah  jadi tak perlu dah pakai diapers bila pergi ke taska.

Isnin, 26 Oktober 2020

Gegar Vaganza 7: Minggu Ketiga

Assalamualaikum...(^ ^)

Haaa tiada penyingkiran di konsert ketiga!

Adil lah bagi Mas sebab Yantzen tak dapat buat persembahan disebabkan faktor kesihatan, bukan dia saja²! Nak pulak musim Covid19 ni kan, tak boleh sesuka hati nak datang ke event camtu kalau tak sihat.

Jadi boleh tarik nafas legalah semua peserta, ada peluang lagi untuk mereka perbaiki mutu persembahan di konsert keempat nanti. Yelah lagu di konsert ketiga ni memang agak mencabar, Mas tengok kebanyakan peserta kurang mantap dari segi vokal dan persembahan. 

Yang Mas nampak menyerlah Ayu Damit dan Noraniza Idris, jadi memang patutlah mereka duduki tangga 2 terbaik. Ayu Damit nampak santai dan menarik persembahan dia, vokal dia pun best. Noraniza Idris pulak mampu buktikan dia boleh nyanyi lagu yang bergenre lain, berjayalah dia sampaikan lagu Akan Ku Tunggu dengan baik. 

Linda Nanuwil pulak Mas kurang setuju dia dapat tempat ketiga terbaik, bagi Mas kurang best dia nyanyikan lagu Akar dan Bumi tu. Terlampau over sangat suara high note tu, patutnya dia nyanyi ikut gaya dia tersendiri. Kalau tak tarik lebih sangat pun lagi best, sebab vokal dia dah sedap!

Dah masuk minggu ketiga ni Mas belum nampak sangat lagi calon juaranya sebab masing² tak konsisten berikan persembahan terbaik. Dari segi vokal memang boleh nampak 2-3 peserta yang vokalnya mantap. Jadi Mas nak tunggu konsert keempat nanti, mungkin akan lebih menyerlah. Tapi sekarang Mas macam dah tertarik dengan Ayu Damit

Konsert keempat nanti para peserta bakal nyanyikan lagu bertemakan Lagu² Berhantu, iaitu lagu yang hit. Inilah senarai lagu²nya:

Ayu Damit | Jahat (Stacy)
Noraniza Idris | Saat Ku Idamkan (Amy Search)
Linda Nanuwil | Kemarin (Seventeen) 
Mus | Dan Sebenarnya (Yuna) 
Aju Success | Pusara Di Lebuhraya (Ekamatra) 
Nomad | Rahasia Perempuan (Ari Lasso) 
Oja | Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir)
Rozita Izlyn | Ku Seru (Misha Omar) 
Eva | Kini (Feminin)
Ashira | Cinta Beralih Arah (Aishah)
Cliff Umar | Dialah Dihati (Siti Nurhaliza)
Indigo | Hidup Dalam Mati (Syamel) 
Yantzen | Akan diketahui semasa konsert
 
Haaa mencabar jugak lagu yang Ayu Damit, Noraniza Idris dan Mus dapat, moga mereka dapat berikan yang terbaik serta memukau juri dan penonton!

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com