Logo KBBA

terkini dan sensasi

Selasa, 1 Disember 2020

Kewajiban menunaikan Zakat Perniagaan

Assalamualaikum...(^ ^)

Sebelum ni Mas hanya tahu zakat digunakan untuk membantu golongan miskin dan asnaf yang susah sahaja, rupanya banyak lagi kategori zakat iaitu Zakat Fitrah, Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat KWSP, Zakat Emas dan Perak, Zakat Saham serta Zakat Pertanian. Alhamdulillah bila dah tahu dan ada pengetahuan tentang kewajiban menunaikan zakat, Mas pun dah buat potongan gaji untuk pembayaran zakat pendapatan. 

Tapi Mas tak nak cerita pasal zakat pendapatan, Mas nak kongsikan mengenai Zakat Perniagaan. Apa yang korang tahu pasal zakat perniagaan? Haaa zakat perniagaan ni wajib tahu dikeluarkan pada sesiapa sahaja yang mempunyai apa pun bentuk perniagaan sama ada besar atau kecil.

Penjelasan dalil Zakat Perniagaan


Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu jugak termasuk dalam hasil usaha yang wajib dizakat.

"Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu." (Surah Al-Baqarah: Ayat 267)

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)." Mereka bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?" Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah." Mereka bertanya, "Kalau tidak mempunyai pekerjaan?" Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan." Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?" Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah." (Hadis riwayat Muslim)

Fahami apa itu Zakat Perniagaan


Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan. 

Ia merangkumi sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Semua jenis pernigaan berskala kecil dan berskala besar diwajibkan membayar zakat perniagaan. Jenis perniagaan tersebut adalah seperti perniagaan online, Sendiri Berhad, penjaja, Berhad, Stokis dan Ejen serta Koperasi.

Syarat wajib Zakat Perniagaan
  • Islam
  • Milik Sempurna
  • Cukup Haul
  • Cukup Nisab
  • Harta Berkembang
  • Niat Berniaga
  • Produk dan Perkhidmatan Halal
  • Bukan Kegunaan Sendiri

Kaedah pengiraan Zakat Perniagaan
Kaedah pengiraan zakat perniagaan ada dua cara, iaitu:

Kaedah Model Berkembang (Growth Model
Ianya mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber² pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih mudah difahami ialah modal dicampur dengan keuntungan.

Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang - Aset Tetap - Aset Bukan Semasa +/- Pelarasan 
= Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)
Ia mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item² yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.

Aset Semasa - Liabiliti Semasa +/- Pelarasan
= Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Korang boleh mengira zakat perniagaan menggunakan kalkulator zakat ni.

Haaa jadi begitulah pentingnya kita tahu apa itu zakat perniagaan dan ianya wajib dilunaskan tak kira apa saja bentuk perniagaan yang kita jalankan. Jangan ingat syarikat yang besar sahaja perlu bayar zakat perniagaan tapi kalau kita penjaja atau berniaga online sekalipun diwajibkan zakat perniagaan. Cukup haul, cukup nisab dan adanya keuntungan dari perniagaaan tu, maka wajib bayar! 

Sentiasa Lekatkan Zakat Dihati


Sebagai orang Islam, kita kena sentiasa ingat bahawa zakat itu adalah tanggungjawab kita dan ianya wajib dibayar. Melalui zakat kita dapat menyucikan diri, membersihkan jiwa dan setiap harta yang kita miliki akan sentiasa diberkati. Ingat apa saja bentuk harta yang kita ada wajib dibayar zakat, jadi jangan lari dari tanggungjawab ini. 

Untuk dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai zakat boleh layari laman sesawang dan media sosial Lembaga Zakat Selangor.

Facebook: Zakat Selangor
Instagram: zakatselangor

5 ulasan:

  1. Zakat perkara wajib dilaksanakan. Dalam rezeki kita sememangnya ada rezeki insan lain. Tak miskin pun bayar zakat.

    BalasPadam
  2. Ramai ingat bisnes yang besar2 je yang wajib bayar zakat.

    BalasPadam
  3. terima kasih atas perkongsian ni. Sangat berinformasi.

    BalasPadam
  4. T.kasih share info tentang zakat. Smg bermanfaat

    BalasPadam
  5. Banyak cara nak berzakat kan... Jom berzakat...

    BalasPadam

Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com