Logo KBBA

terkini dan sensasi

Jumaat, 27 Februari 2015

Diet : Cara saya!

Assalamualaikum...(^ ^)

Jaga makan dan senaman, ini yang Mas amalkan. Mas bukan amalkan diet atkins tapi diet yang seimbang dan konsisten.



Hidangan yang Mas ambil setiap hari
1. Breakfast : 2 keping roti gandum penuh, sebiji epal hijau dan air kosong.

2. Minum pagi (10 pagi) : Segenggam fitness cereal dan secawan green tea.

3. Lunch : Ikan/ayam (yang dikukus, bakar atau sup), sayur dan ulam yang banyak dan air kosong. Nasi Mas ambik bila teringin nak makan, biasanya seminggu sekali. Itu pun hanya segenggam!

4. Tea time : Kekacang kerana kacang mengandungi lemak baik, cukup 10-12 biji dan air kosong.

5. Dinner : Ambik jika lapar sahaja sebelum jam 8 malam. Makan semangkuk fitness cereal, epal hijau dan air kosong.

Jangan lupa minum air secukupnya sekurang² 2 liter sehari. Mas lebih suka minum infused water kerana ia adalah detox yang paling bagus!


Senaman yang dilakukan
1. Jogging 3 kali seminggu (5-7km)
2. Aerobik sekali seminggu
3. Zumba sekali seminggu
4. Workout setiap hari selama 30 minit sebelum tidur. Antaranya cardio, squat, plank dan skipping

Alhamdulillah dengan cara ini Mas dapat kurangkan berat badan dan lebih sihat. Yang penting Mas bukan berdiet yang perlu berlapar untuk kurus.

Khamis, 26 Februari 2015

Diet seimbang : Susah ke?

Assalamualaikum...(^ ^)

Dulu memang Mas rasa susah! Dah banyak kali cuba berdiet tapi segala usaha itu gagal.

Kenapa? Sebab masa tu Mas tak tahu bagaimana nak mula dan apa diet yang betul. Masa tu selalu tak ambik sarapan, kononnya nak makan sekali sehari je. Tapi bila waktu tengahari memang lapar tahap tenuk, jadi terus ambik nasi dengan kadar yang banyak.

Tapi sekarang Mas dah berjaya amalkan diet seimbang dan ianya berjaya, sebulan lebih boleh kurangkan 8kg berat badan. Mas amalkan diet yang betul, tak skip breakfast dan tidak berlapar. Mulanya memang tak boleh tahan hawa nafsu. Nampak fast food tergoda, nampak aiskrim, coklat, donut dan macam² lagi pun tergoda. Pastu nampak air manis tergoda, tapi Mas kuatkan semangat dan kentalkan azam. Fokus pada berat badan unggul yang Mas nak capai.

Pembakar semangat ialah bila jumpa kawan² mereka puji kita dah nampak kurus. Pastu bila timbang setiap 2 minggu sekali akan ada kg yang hilang. Masa tu Mas tau diet dah berjaya, jadi terus lebih bersemangat nak teruskan!


Dulu! Mak aihhh tembun betul masa ni, memang membesar bagai johan.




Sekarang! Berjaya kurangkan ketembunan itu dan kecilkan sikit saiz badan.

Rabu, 25 Februari 2015

Pertunangan paling sempoi

Assalamualaikum...(^ ^)

Masa cuti Tahun Baru tu memang adik lelaki Mas ada cakap keluarga makwe dia ada suruh datang. Mereka nak jumpa dan bincang mengenai hal adik Mas dan makwe dia. Kan mereka terpaksa batalkan majlis tunang sebab banjir bulan Disember tahun lepas, ini kira datang macam merisiklah.

Jadi hari Jumaat selepas solat Jumaat kami pun datang dengan 2 buah kereta. Yang pergi hanya Along Mas sekeluarga, Mas dan anak² serta adik bongsu Mas. Kami hanya bawak 2 bentuk cincin, 1 cincin risik dan 1 cincin tanda. Wakil belah kami pun hanya husband Along.

Bila dah sampai dan perbincangan bermula pihak perempuan mintak terus bertunang. Mereka cakap senang camtu, tak perlulah keluarga kami datang 2 kali. Memang terkejut jugak masa tu sebab hantaran satu pun takde. Tapi keluarga pihak perempuan memang baik, bagi mereka tak perlu hantaran janji mereka bertunang terus. Hantaran boleh bawak masa kahwin nanti!

Syukur sangat, memang pertunangan yang paling sempoi. Niat asal nak datang merisik akhirnya terus bertunang. Insya Allah dalam tempoh setahun mereka bertunang dan kalau ada rezeki memang keluarga perempuan mintak lepas 6 bulan terus nikah, harap dipermudahkan urusan nanti.

Ini Mas kongsikan gambar sekitar majlis.

 Along kena jadi bidan terjun sarungkan cincin



 Adik bersama tunang dan bakal mak mertua

Kek ni memang mereka saja letak Selamat Bertunang sebab tak kan nak letak Selamat Merisik pulak. Alih² bertunang betul! Lagi pun kek ni memang mereka dah lama tempah masa nak bertunang bulan Disember tahun lepas.


Moga pertunangan mereka kekal hingga ke jinjang pelamin, amin!

Isnin, 23 Februari 2015

Kampung halamanku

Assalamualaikum...(^ ^)


Seronoknya berada di kampung! Semua orang pasti suka kan? Udara segar dan nyaman, tiada bunyi bising kenderaan dan suasana sangat sejuk pada waktu malam. Memang tak perlu pakai aircond pun, sejuk yang semulajadi.

4 hari berada di kampung buatkan Mas memang berat hati nak balik ke bandar. Rasa nak menetap selamanya di kampung. Bila tengok rumah arwah mak abah lagilah sayu rasa hati. Segala kenangan di situ terimbau kembali, segar dalam ingatan!


Di kampung memang berbeza, makanan pun berbeza. Boleh dapat ikan sungai yang segar dan sayur kampung yang jugak segar. 2 pagi Mas dapat jogging di kampung, memang sangat nyaman. Tak rasa penat langsung walaupun dah berlari 10 round. Rasa bersih, sejuk, segar dan semulajadi!

Memang ada bercadang dengan husband nak menetap di kampung, nak bina rumah sendiri dan bekerja di sana. Insya Allah impian tu akan tercapai!



Sabtu, 21 Februari 2015

Dugaan balik kampung

Assalamualaikum...(^ ^)

Baru dapat jenguk blog tersayang. Kat kampung Mas ni line internet memang macam siput sedut, nak dapat 1 bar line pun susah!


Balik kampung kali ni banyak betul dugaan. Mula² cadang balik satu keluarga tapi tetiba cuti husband dibekukan, memang kecewa sangat. Jadi nak tak nak kena balik dengan anak² je.

Mas gerak dari rumah seawal jam 9.30 pagi, bukan apa tak nak menempuh jammed. Tapi sangkaan tu meleset, sampai di tol Gombak dah berpusu² kereta menghala ke pantai timur. Redha jelah tempuh jammed! Balik kampung kali ni Mas bawak kereta kawan husband sebab aircond kereta Mas rosak. Mula² perjalanan tu memang takde masalah apa² tetapi bila dah nak menghampiri Bukit Tinggi tiba² temperature kereta naik! 


Terus Mas berhenti kat tepi jalan dah telefon husband, dia suruh tengok kipas berpusing atau tidak. Tapi Mas tengok kipas takde masalah, Mas pun teruskan perjalanan. Masa nak mendaki Bukit Tinggi sekali lagi temperature naik. Telefon husband lagi dan dia suruh matikan aircond. Bila Mas matikan aircond tiba² enjin kereta terus mati, kat tengah jalan pulak tu. Ya Allah memang terkejut giler Mas, fikir apalah yang dah jadi dengan kereta orang ni.

Mas memang panik tapi nasib baik ada polis datang bantu tolak kereta ke tepi. Bila check enjin rupanya air radiator kering dan radiator bocor. Dugaan betul, terus terfikir camne nak teruskan perjalanan. Terpaksa husband datang tukar kereta dan Mas teruskan perjalanan ke kampung bawak kereta sendiri walaupun aircond rosak. Alhamdulillah, jam 5.30 petang selamat sampai di kampung setelah 8 jam perjalanan.

Begitulah dugaannya, nasib Allah permudahkan!

Selasa, 17 Februari 2015

Keperluan air

Assalamualaikum...(^ ^)

"Ramai yang beranggapan minum air dalam kuantiti yang lebih banyak adalah lebih baik untuk badan mereka. Namun ramai jugak yang tidak mengetahui kesan bahaya sekiranya seseorang itu minum air secara berlebihan dari keperluan badan mereka.

Berapa jumlah air yang optimum untuk kesihatan yang baik? 
Ianya bergantung kepada situasi masing² termasuk diet harian, amalan bersenam dan jugak persekitaran. Apa yang diperlukan adalah cecair yang cukup untuk menggantikan apa yang anda hilang setiap hari samada dalam bentuk peluh, urine, pernafasan dan proses tubuh yang lain. Itu semua memerlukan 8-10 gelas sehari! 

Jika anda banyak memakan makanan yang mengandungi jumlah air yang banyak seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta serat penuh padanya terdapat lebih kurang 4 cawan cecair, anda perlu menambah sekurangnya 4-6 gelas lagi air." (Petikan dari kevinzahri.com)

Jadi maknanya salahlah apa yang orang pernah cakap pada Mas kalau nak diet kena minum sekurangnya 4 liter air sehari. Barulah diet kau menjadi dan berkesan! Tapi Mas tak terus ikut, Mas rujuk dulu website KZ kerana di web beliau banyak info berguna.


Maknanya betullah yang Mas amalkan, biasanya Mas minum 1-2 botol ini sehari kerana ia menyamai 6 gelas air. Lagi pun Mas memang banyak makan sayur dan buah-buahan. Setiap kali breakfast, lunch dan dinner Mas akan ambil sebiji epal hijau dan makan banyak sayur bila waktu lunch.

Apa pun kita kena minum air ikut keperluan badan kita. Janganlah sebab nak kurus cepat kita minum air berlebihan, bahaya tau! Sebab itulah bila kita nak berdiet kena ikut cara yang betul. Banyakkan membaca info dari pakar² kesihatan, barulah diet kita sempurna!

Sabtu, 14 Februari 2015

Menu sihat saya

Assalamualaikum...(^ ^)

Sejak berazam nak hilangkan lebih banyak kg ni Mas amalkan pemakanan sihat. Mas sentiasa ingat kalau kita nak kurus dan dapatkan berat badan unggul kena mulakan dengan jaga pemakanan.

Pada awalnya memang payah nak mulakan sebab kita dah terbiasa makan sedap² setiap hari. Tapi Mas cuba dah terus mencuba sebab dah berazam nak capai berat 60kg hujung tahun ni. Sekurang²nya Mas nak cuba hilangkan 2kg setiap 2 minggu.

Untuk sarapan Mas biasa buat sendiri kat rumah sebab menu sihat Mas untuk sarapan biasanya ringkas je, janji perut kenyang. Inilah menunya, sebiji telur atau 2 keping beef salami, baby tomato dan 2 keping roti gandum penuh. Semuanya dimasak tanpa minyak, Mas hanya letak lada hitam dan sedikit mayonis. Sangat lazat dan mengenyangkan!



Untuk lunch, biasanya Mas akan beli di kafe kalau hari bekerja. Selalunya beli ikan bakar dan sayur, kadang² sayur je. Kalau hari cuti barulah Mas masak sendiri, menunya macam biasa sayur dan ikan atau ayam. Pastu mesti ada sebiji epal hijau. Nasi memang Mas tak ambik, tapi kalau rasa teringin sangat Mas akan makan 2 atau 3 suap.



Untuk dinner kalau lapar baru Mas makan, itu pun Mas cuma ambil fitness cereal dan sebiji epal hijau. Air sudah semestinya infused water setiap hari.


Jumaat, 13 Februari 2015

Perginya 2 insan hebat

Assalamualaikum...(^ ^)

Di hari Jumaat yang hiba, ramai yang bersedih dan menangisi pemergian 2 insan hebat ini. 



Perginya mereka tiada galang ganti. Jasa dan pengorbanan mereka sentiasa dikenang dan diingati. Moga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang² yang beriman dan bertakwa dalam syurgaMu Ya Allah, amin!

Al-Fatihah


Khamis, 12 Februari 2015

Kejohanan Boling MSS Selangor 2015

Assalamualaikum...(^ ^)


Setelah 3 hari berhempas pulas bermain, semalam habis sudah Atikah main boling untuk Kejohanan MSS Selangor 2015. Kejohanan tu berakhir hari ni, tapi sebab Atikah tak berjaya masuk master. Dia dapat nombor 8 dari 44 orang pemain, master hanya top 6 sahaja!

Mas sedih jugaklah dia tak dapat masuk master sebab tahun ni tahun akhir dia main boling untuk sekolah rendah. Beza markah dia dengan pelajar tempat ke-6 tu hanya 80 mata je, sikit sangat. Kalau dia dapat markah bagus semalam pasti berjaya!

Tapi takpelah, Mas tetap berpuashati sebab dia di antara top 10. Dia dah masuk peringkat negeri ni pun Mas dah cukup bangga, bukan senang nak capai ke tahap ini kalau tak usaha bersungguh². Antara semua peserta bagi zon Sepang dia adalah yang terbaik!

Tahun depan dia dah berkira² nak masuk Sekolah Sukan di Bukit Jalil tu. 

Rabu, 11 Februari 2015

3 beradik

Assalamualaikum...(^ ^)


Besar dah 3 beradik ni. 

Si kakak dah akil baligh, makin berat tanggungjawab mama babah. Badan dah tinggi melonjong, lebih kurang sama tinggi dengan mama dah. Tahun ni 12 tahun umur dia, bakal duduki periksa UPSR.

Si abang pulak darjah 3 tahun ni tapi perangai masih macam budak². Betullah kan, anak lelaki memang lambat matang. Kalau belajar tu kena paksa sikit, kalau tak dia asyik nak main je!

Si kecik Airis semakin bijak! Perangai kalah kakak dan abang dia, macam dah besar sangat dah. Walaupun baru 2 tahun 2 bulan tapi dia memang dah pandai macam² dan nak buat macam². Pastu garang macam mama, hehehee!

Apa Mas rasa bila tengok mereka dah makin besar ni, rasa sebak sangat. Cepat betul masa berlalu, rasa makin berat tanggungjawab nak mendidik mereka jadi insan berguna. Pastu rasa tua dah walaupun jiwa sentiasa muda!

Moga mereka membesar jadi insan yang berguna dunia dan akhirat.

Isnin, 9 Februari 2015

Dah lost 8kg

Assalamualaikum...(^ ^)

Memang seronok bila berat badan dah turun, satu bonus atas usaha yang kita lakukan. Mas mula² bukan nak kurus sangat tapi lebih kepada nak amalkan gaya hidup sihat. Tapi bila dah hilang 8kg dalam masa sebulan lebih ni terus rasa lebih semangat nak hilangkan lebih banyak kg!

Mas bermula masa minggu ketiga Januari, masa tu Mas cuba kurangkan pengambilan nasi, gula dan minyak. Pastu awal Februari Mas mulakan dengan lakukan senaman setiap hari. Mas mulakan dengan jogging 2km sehari dan sekarang dah berjaya 5km sehari. Kalau tak dapat jogging Mas akan buat aerobik dan zumba 30 minit setiap sesi, pastu dah masuk 2 minggu Mas amalkan senaman cardio dan senaman squat. Memang bagus senaman ni untuk hapuskan lemak² degil yang dah lama berkumpul kat badan. Nanti Mas cerita lebih lanjut pasal senaman ni.

Mas cuba ikut cara diet Kevin Zahri, jaga pemakanan dan lakukan senaman sekurangnya 30 minit setiap hari. Info dari KZ, untuk kurus dan sihat ialah 80% jaga pemakanan dan 20% bersenam. Jangan berlapar tapi makan dengan diet yang seimbang dan teratur. Mas pun cuba ikut sedikit demi sedikit dan masih banyak kg yang perlu dikurangkan!

Ini gambar Mas masa berat 84kg, bulat kan?


Ni beza sebelum mula dan gambar hari ini, nampaklah perbezaan tapi masih banyak lagi yang perlu dikurangkan. Yakin boleh!


Jumaat, 6 Februari 2015

Final Maharaja Lawak Mega 2014

Assalamualaikum...(^ ^)


Malam ini bakal menyaksikan 5 peserta berentap di final MLM. Tema pada malam ini adalah bebas dan muzikal. Mas suka tema muzikal sebab dari lagu peserta boleh hasilkan lawak yang lucu dan terbaik. Ingat lagi persembahan Sepahtu masa minggu tema muzikal, sangat sempoi dan kelakar! 

Sedikit ulasan Mas sebelum final MLM malam ni.

Sepahtu ada peluang untuk merangkul gelaran juara buat kali kedua, mereka memang peserta favourite! Walaupun kadang² lawak mereka terlalu ringkas tapi ianya tetap mencuit hati dan ada mesej yang berguna disampaikan.

Bocey jugak adalah peserta favourite. Mereka bertiga memang sentiasa buat penonton gelak ketawa, ada antara lawak mereka lain dari yang lain. Ada peluang jugak mereka nak jadi juara!

Zero pulak baru pertama kali masuk pentas akhir. Mereka ni konsisten jugak walaupun kadang² lawak mereka merapu dan tak menjadi. Penonton pun banyak mengundi mereka.

Shiro dan Nabil sentiasa pamerkan lawak yang lebih kurang je, suka jadikan orang lain sebagai bahan lawak mereka. Cara lawak mereka dari minggu ke minggu mendatar, tak banyak perubahan. Macam Nabil kadang² kita boleh agak apa lawak yang dia nak buat.

Pemilihan juri bagi Mas memang sesuai dari kalangan artis yang bukan berlatarbelakangkan pelawak. Sebab kita boleh umpamakan mereka seperti penonton kerana penonton bukan pelawak, jadi penilaian dan komen mereka lebih jujur!

Jadi jangan lupa saksikan malam ini, kita tengok siapa yang bakal bergelar Juara MLM!

Khamis, 5 Februari 2015

Aktiviti menarik di Farm In The City

Assalamualaikum...(^ ^)

Mas sambung sikit lagi cerita jalan² di Farm In The City. Kali ni Mas cerita antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sana.

Kalau tengok tempat ni ada sedikit macam zoo, tapi di zoo ada binatang liar dan binatang jinak. Di FITC hanya ada binatang jinak. Di sini kita diberi peluang melakukan aktiviti animal feeding. Bukan kita sahaja boleh lakukan, anak² pun boleh. Mesti mereka akan rasa seronok dan teruja nak bagi makan haiwan sambil merasa pegang haiwan tersebut. Airis yang kecil pun tak takut, lagi seronok dia!

Antara haiwan² yang kita boleh bagi makan ialah kura-kura gergasi, rusa, kambing, pelbagai jenis burung dan ikan. Seronok sangat!





Selain bagi makan kita jugak boleh pegang dan sentuh haiwan² di situ. Antaranya kura-kura gergasi, arnab dan hamster, cicak batu, anak ayam, iguana dan pelbagai jenis haiwan lagi.






Bila dah puas bagi makan dan bermesra dengan haiwan² tu, ada jugak aktiviti menangkap anak ikan. Bukan anak je yang seronok lakukan aktiviti ni, mak pun seronok. Selain tu boleh jugak bawak anak rasa pengalaman menunggang kuda, harga tiket yang dikenakan ada RM7 seorang. 




Jadi FITC memang satu tempat yang wajib dikunjungi bersama keluarga. Bagi anak² kita bermesra dengan alam semulajadi dan haiwan, pasti kawan² seronok datang ke Farm In The City.

Rabu, 4 Februari 2015

Jom ke Farm In The City

Assalamualaikum...(^ ^)


Pertamanya nak ucapkan terima kasih pada Ben sebab bagi peluang pada Mas untuk ke Farm In The City ni atas tiket blogger. Lepas dah bincang dengan Ben, dia terus bagi nombor telefon person in charge. Mas pun whatsapp Mr. Rajagopal dan bincang dengan dia yang Mas nak ke sana semalam.

Mas sampai di sana lebih kurang jam 10.30 pagi. Terus jumpa Mr Raja dan kami diberi pas pelawat dan dapat masuk percuma sebab Mas datang sebagai blogger. Kalau ikutkan harga tiket untuk masuk kalau tak silap Mas RM30 untuk dewasa dan RM25 untuk kanak² dengan gunakan myKad. Waktu operasi pulak adalah seperti berikut:

(i) 10 pagi hingga 6 petang pada hari biasa
(ii) 9.30 pagi hingga 6 petang pada hari minggu dan cuti umum/cuti sekolah
(iii) tutup pada hari Selasa kecuali hari tersebut adalah cuti umum dan cuti sekolah

Di dalam Farm In The City bukan sahaja kita boleh lihat pelbagai jenis binatang tetapi terdapat jugak pelbagai jenis pokok buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada jugak telaga yang menjadi sumber air petani untuk berkebun pada zaman dulu kala. Suasana dan permandangan di sini jugak sangat segar dan nyaman. Yang paling seronok pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan bersama anak². Nanti Mas akan ceritakan apa aktiviti tersebut di dalam satu entri khas.

Jom tengok gambar menarik kami di sana.








Bersama Mr Raja, Marketing Manager FITC. Sangat peramah dan kami dilayan dengan baik.


Dapat sijil yang menunjukkan kita telah sampai ke Farm In The City. Menarik dan seronok jalan² di sini.


Blog ini berkongsi tentang kisah kehidupan dan apa yang penulis rasa dan percaya. Semua bentuk penulisan lahir dari pemikiran penulis yang tidak berapa kreatif tanpa mencilok idea sesiapa. Sebarang COPYPASTE dari blog ini perlu mendapat kebenaran daripada penulis dan dikreditkan ke blog ini. Terima kasih dari massaari.com.

Pemilik Blog: Mas Saari
Email: mas7977@gmail.com